Dipetik dari Blog : Dato A. Kadir Jasin
PEMBAHAS Mohdainul yang mengulas dalam tampalan saya yang lalu, antara lain, berkata:“Belum lagi reda dengan kita dikejutkan oleh pengumuman PM mengenai dasar liberalisasi ekonomi dan langkah-langkah affirmatifnya, sekarang TPM pula mengumumkan pengajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris akan dimansuhkan secara berperingkat-peringkat.
"Baru saja PM mengumumkan yang kita harus bersedia di dalam menghadapi era globalisasi dan sebagaimana yang kita maklum, globalisasi ini didukung oleh negara-negara barat seperti AS dan Kesatuan Eropah. Bahasa rasmi pertuturan mereka adalah Bahasa Inggeris dan Perancis. Pusat pembelajaran sains dan teknikal serta bahan-bahan ilmiah kebanyakannya di tulis didalam Bahasa Inggeris, Perancis dan Jerman.
”Kata orang putih, “spot-on”. Terima kasih kepada pembahas Mohdainul dan semua yang membangkitkan isu itu walaupun saya tidak membincangkannya.I still do not propose to comment on the decision.Rasa-rasanya saya tidak mempunyai kemampuan dan kecekalan minda untuk memahami dan menghadapinya.
Ada tidak pun, saya hanya hendak bercakap sedikit mengenai betapa nenek moyang kita sudah memberikan kita pelbagai ilmu, petunjuk dan peringatan. Mungkin elok kita melawati semula kebijaksanaan mereka.Mereka berkata, di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Tetapi, kata mereka, kalau malu bertanya (atau dalam konteks semasa tak tahu guna Google Maps) sesat jalan.Bunga yang cantik warnanya dan wangi baunya, akan hancur rosak jika diberikan kepada kera.
Kera yang diberikan bunga itu tetap kelaparan. Kara tidak tahu apa gunanya bunga.Tetapi jika bunga yang wangi dan cantik itu ditemui oleh lebah ia akan mengumpul madunya dan diterbangkannya balik ke sarang. Madu yang manis banyak khasiatnya.Beri labu kepada tikus, labu yang baik menjadi rosak labu yang rosak jahanam terus.
Berikan labu tempat mengisi air kepada si Luncai dia akan terjun ke sungai bersama-samanya. Biarkan, biarkan.Tidak mengapalah jika labu itu milik si Luncai, tetapi apa halnya jika labu itu milik kita semua dan yang terjun ke sungai itu bukan si Luncai tetapi para Yang Berhormat kita?Kerbau suka tanah berlumpur. Dijadikannya kubang.
Seekor kerbau membawa lumpur habis satu kandang terpalit.Tetapi ada rahsia di sebalik kegemaran kerbau berkubang. Lumpur menyejukkan badan, membunuh kutu dan pijat serta mengelak lalat dan langau.Beri ketulan tanah dan kayu mati kepada anai-anai dan ia akan membina busut yang kukuh dan kalis air.
Kata nenek moyang kita, berdikit-dikit, lama-lama menjadi bukit.Buatlah dasar dan rancangan sehebat mana pun tetapi kalau ibarat bunga ia diberikan kepada kera ia tidak akan berjaya. Akhirnya anak cucu kita menjadi kera sumbang – tak laku dan diketepikan.Teringat saya kepada lirik lagu Allahyarham seniman agung P Ramlee yang, antara lain, berbunyi:Walhasil balik asalWalasal balik hasilWalhasil cari fasalItu fasal tak hasil.
Mantan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad, melalui blog raksasanya membuat pungutan suara dengan bertanya soalan berikut:“DO YOU SUPPORT THE GOVERNMENT'S DECISION TO TEACH MATHS & SCIENCE IN BAHASA MALAYSIA?”(Adakah anda penyokong keputusan Kerajaan mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Malaysia?)
Sehingga beberapa waktu sebelum saya membuat tampalan ini, 23 peratus (4,117 orang) berkata “yes” dan 77 peratus (13,603) berkata “no”.Saya akhiri dengan mengucapkan syabas kepada para “pejuang bahasa”. Tahniah kepada para cauvinis semua kaum. Bravo kepada si penakut dan yahoo kepada para hipokrit.
Posted by A KADIR JASIN at 7:19 AM
No comments:
Post a Comment