Lebih 30 tahun lalu, ada satu kejadian menggemparkan di kawasan kediaman Awang di Kampung Padang, yang terletak di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Seorang remaja dikenali sebagai Kongo meninggal dunia ketika dalam tahanan. Dia adalah suspek satu kes jenayah curi. Awang masih ingat cerita jiran-jiran bagaimana anggota keluarga Kongo mencampakkan wang sumbangan polis untuk perbelanjaan pengkebumian, disebabkan terlalu marah. Tetapi setakat itu sahaja kemarahan penduduk, yang kemudian kembali tenang semasa membawa jenazah ke upacara pengkebumian. Mungkin ini kerana keluarga dan penduduk menyedari ia kes terpencil dan kesalahan tidak wajar diletakkan pada seluruh pegawai dan anggota polis.
Selepas apa yang menimpa Kongo, Awang yang menceburi dunia kewartawanan, dari semasa ke semasa mendengar beberapa cerita tidak rasmi penderaan terhadap tahanan yang melibatkan orang Melayu dan beragama Islam. Malah ada satu kejadian beberapa tahun lalu, tahanan dikatakan turut mati tetapi diisytiharkan puncanya kerana sakit. Sejauh mana kesahihan cerita-cerita itu, Awang tidak pasti. Tetapi kesemua kejadian itu, tidak silap Awang berlalu tanpa kegemparan dan tidak dipolitikkan. Awang bangkitkan kisah tersebut dalam konteks kes kematian tahanan lokap polis. S. Kugan, baru-baru ini. Kematian Kugan menjadi kecoh sehingga sekumpulan orang menyerbu bilik mayat seumpama aksi filem Bollywood. Kumpulan itu kemudian turut disertai dua orang kenamaan. Lantas isu itu dibesar-besarkan termasuk di internet dan dijadikan isu perkauman. Majlis pengkebumiannya juga mendapat perhatian besar termasuk NGO kaum tertentu. Malah jenazahnya diarak di jalan raya utama.
Dalam Awang bersimpati terhadap apa yang menimpa Kugan dan mahu tindakan diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab, Awang tertanya-tanya beberapa soalan kepada diri sendiri. Jika ada kejadian tahanan Melayu mati di lokap sekarang, apakah reaksi orang Melayu akan sama sebagaimana kes Kugan? Lalu Awang teringatkan reaksi luar biasa kepada insiden tahanan ‘wanita China’ ketuk ketampi dalam keadaan berbogel di lokap polis, seperti yang didedahkan oleh seorang pemimpin DAP beberapa tahun lalu. Disebabkan tuduhan itu, kerajaan terpaksa menghantar menteri kabinet untuk meminta maaf kepada kerajaan China di Beijing. Tetapi apabila wanita itu disahkan sebagai orang Melayu, reaksi gegak gempita bertukar menjadi sepi dan nasib wanita itu tiada siapa yang peduli termasuk pihak yang membuat pendedahan.
Persoalannya, kenapa reaksi bukan Melayu begitu keterlaluan apabila melibatkan seseorang mangsa daripada kaum mereka (kononnya atas nama hak asasi dan keadilan) sehingga menyebabkan kerajaan dan pihak berkuasa menghadapi tekanan yang hebat? Atau masyarakat Melayu yang sudah tidak lantang dan banyak beralah sehingga kerajaan serta pihak berkuasa dilihat seakan mengambil mudah perasaan orang Melayu? Dua kisah tersebut dan sebenarnya banyak lagi boleh membuka persoalan, kaum manakah yang ketara lebih rasis dan agresif?
Awang sekadar lontarkan untuk renungan.
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT
No comments:
Post a Comment