FOLLOWERS

Monday, 8 June 2009

Perbetulkan perjuangan pribumi :YB Dato Ibrahim Ali


Utusan Malaysia ( Rencana )
8 jun 2009


Pribumi Malaysia, terutamanya orang Melayu, sedang dilanda dilema politik dan ekonomi. Hakikat ini tidak boleh dinafikan. Faktor-faktor penyebabnya berada di depan mata. Kesannya sedang kita rasakan. Implikasinya semakin mencabar. Kalau gagal ditangani, dilema ini boleh menyebabkan nasi menjadi bubur, orang Melayu rugi besar, ayam di kepok mati kelaparan, itik di air mati kehausan, Tanah Melayu mungkin menjadi milik orang.

Contohnya, satu: kuasa Melayu dalam pemerintahan Malaysia kini semakin hari kelihatan seolah-olah kian terhakis. Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) pada tahun 2008 adalah manifestasinya.

Dua: baru-baru ini, UMNO dilanda krisis kredibiliti dan dicemari amalan rasuah politik yang serius. Tindakan disiplin kepada beberapa calon jawatan utama UMNO dalam pemilihan parti berkenaan pada Mac 2009 yang lalu adalah buktinya.

Tiga: pada hujung tahun lalu, wibawa UMNO selaku teras kepada Barisan Nasional (BN) dipersendakan oleh beberapa parti komponen BN sendiri. Kontroversi mengenai ketuanan Melayu dan asal-usul Melayu yang dicetuskan oleh MCA dan Gerakan pada Disember 2008 adalah bukti fenomena ini.

Empat: parti-parti Melayu alternatif, khususnya Pas, juga dalam keadaan yang dipertikaikan. Sikap, gelagat, kenyataan serta tindakan sesetengah pemimpin serta penyokong Pas baru-baru ini menjadikan persepsi ini lebih berasas.

Lima: Parti Keadilan Rakyat (PKR) selaku parti pelbagai etnik yang majoriti pemimpinnya adalah Melayu, kini seakan-akan mempertaruhkan nasib dan masa depan bangsa Melayu kepada segolongan pemimpin politik bukan Melayu, semata-mata kerana pemimpin besar parti berkenaan dikatakan terlalu ghairah untuk berkuasa. Krisis moral pemimpin tertentu dalam PKR kini menjadikan parti itu lebih gawat.

Enam: hak-hak serta keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera dalam perdagangan, perniagaan dan pendidikan, kebelakangan ini diungkit-ungkit oleh segolongan bukan Melayu. Desakan terhadap kuota biasiswa pelajar Melayu dan Bumiputera, serta kritikan mereka terhadap kuota 30 peratus dalam ekonomi negara yang dikhaskan kepada orang Melayu dan Bumiputera adalah contoh mengenainya.

Inilah dilema pribumi, khususnya orang Melayu di abad ke-21. Dilema ini perlu segera diatasi oleh semua orang Melayu, professional Melayu, cendekiawan Melayu, parti politik Melayu dan seluruh pemimpin Melayu melangkaui batas-batas kelompok serta ideologi.

Takrif dilema

Menurut Kamus Besar Utusan Melayu, dilema maksudnya masalah yang menyebabkan manusia jadi serba salah, sulit, sukar dan bingung. Ikut tafsiran Kamus Dewan Bahasa, dilema ertinya keadaan yang menyebabkan manusia terpaksa membuat pilihan antara dua tindakan, tetapi kedua-duanya tidak menyenangkan atau tidak menguntungkan. Kamus Besar Indonesia menyatakan, dilema adalah situasi sulit, membingungkan dan tidak menyenangkan.

Menurut pepatah, bidalan atau peribahasa Melayu, dilema adalah keadaan di mana yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran; ditelan mati emak, diluah mati bapak; ayam ditambat disambar helang, padi ditanam tumbuhnya lalang. Pendek kata, dilema adalah keadaan yang merunsingkan, membimbangkan, membingungkan, merugikan, dan membahayakan umat manusia.

Definisi Melayu

Orang Melayu adalah pribumi Malaysia yang bertutur dalam bahasa Melayu, beragama Islam, menjalani tradisi dan adat-istiadat Melayu (Perlembagaan Persekutuan Artikel 160).

Orang Cina dan orang India yang kini jadi rakyat Malaysia, asal usulnya adalah daripada tanah besar China dan India. Nenek moyang mereka dibawa masuk ke Tanah Melayu secara besar-besaran oleh penjajah British mulai tahun 1871.

Inilah bezanya orang Melayu dengan keturunan Cina dan India di negara ini. Orang Melayu adalah pribumi. Oleh sebab itulah 'Kepala Utama Negara' bagi Malaysia adalah orang Melayu, iaitu Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (Perlembagaan Persekutuan Artikel 32).

Oleh sebab itu agama rasmi kita adalah Agama Islam (Perlembagaan Persekutuan Artikel 3). Oleh sebab itu bahasa kebangsaan Malaysia adalah Bahasa Melayu (Perlembagaan Persekutuan Artikel 152).

Oleh sebab itu juga, walaupun Perlembagaan Persekutuan Artikel 8 memaktubkan soal-soal equality kepada semua rakyat Malaysia, orang Melayu dan Bumiputera tetap menerima hak dan keistimewaan menerusi Artikel 153 dalam Perlembagaan yang sama.

Berdasarkan semua ini, orang Melayu dan Bumiputera mestilah pertahankan keistimewaan ini. Kita wajar bersuara dengan tegas, kita adalah pribumi Malaysia. Patah sayap bertongkatkan paruh, negara mesti kita pertahankan pada setiap masa.

Dilema Politik

Kita semua arif mengenai politik. Mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri di bawah pokok adalah politik. Kumpulan baju kuning menyerang puak baju merah di Thailand adalah politik. Karpal Singh membidas Anwar Ibrahim adalah politik. Ibrahim Ali dikecam orang Pas, pun politik. Kesemuanya adalah politik kerana politik adalah mengenai manusia dan kuasa.

Ramai sarjana Islam membicarakan soal politik. Pemikiran politik Islam moden boleh dibaca dalam buku-buku Jamaluddin al-Afghani, Mohammad Abduh, Muhammad Rasyid Rida, Hasan al-Banna, Sayyid Qutub, Muhammad Husein Heikal dan lain-lain.

Imam Al Bujairimi contohnya, menyatakan, politik atau siasah, adalah kaedah memperbaiki dan merencanakan urusan rakyat. Ibnul Qoyyim menyebutkan dua jenis politik. Satu: siasah shohihah atau politik yang benar. Dua: siasah fasidah atau politik yang salah.

Ibn Khaldun pula berpendapat, politik adalah kaedah penyusunan sesebuah bandar raya berasaskan etika dan kebijaksanaan supaya para penduduknya boleh mengikut satu jalan ke arah memelihara serta melindungi umat manusia seluruhnya.

Para sarjana Barat juga membicarakan politik. Adam Smith, Immanuel Kant, John Locke, Karl Marx, Max Weber, dan Thomas Hobbes, secara umumnya mentakrifkan politik sebagai seni kekuasaan.

Sarjana realis klasik seperti Machiavelli menyatakan, kuasa politik perlu dipertahankan secara berani dan bijaksana. Morgenthau selaku sarjana realis neo-klasik berpendapat, politik adalah perjuangan mengenai kuasa. Demi kuasa, matlamat boleh menghalalkan cara.

Kepada saya, politik adalah seni memperolehi kuasa secara berhemah, demokratik dan menurut lunas undang-undang. Setelah kuasa diperolehi, ia hendaklah digunakan dengan sebaik-baiknya, seadil-adilnya dan setegas-tegasnya demi kesejahteraan rakyat jelata.

Di Malaysia, kuasa yang diberikan oleh rakyat kepada pemimpin, mestilah pertama sekali digunakan untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Agama Islam, Bahasa Melayu, Raja-Raja Melayu, bangsa Melayu, Bumiputera dan kesejahteraan lain- lain rakyat jelata.

Pendek kata, politik di Malaysia mestilah mengutamakan pencegahan apa jua tindakan dan keputusan yang boleh menghakis atau melenyapkan Islam sebagai Agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, Raja-Raja Melayu sebagai payung rakyat, bangsa Melayu serta Bumiputera sebagai pribumi dan lain-lain etnik sebagai rakyat senegara.

Sejarah Bangsa Melayu

Dalam konteks perjuangan di atas, wujud dilema politik orang Melayu dan umat Islam Malaysia pada hari ini. Sebabnya, hari ini ada orang Melayu yang lupakan bangsanya, asal-usulnya dan kegemilangan sejarahnya.

Mereka lupa bahawa bangsa Melayu adalah bangsa yang besar dan bermaruah. Menurut Nik Azmi Nik Daud (2000), kebanyakan orang Melayu beranggapan bangsa Melayu adalah masih muda dan sejarah bangsa Melayu cuma bermula dengan tegaknya Kesultanan Melayu Melaka. Orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu telah wujud lebih lama daripada Kesultanan Melayu Melaka.

Menurut Nik Azmi, Kedah di utara Semenanjung, telah dirakam dalam sejarah China, sejak Dinasti Liang (502-557). Di Perak, para pengkaji sejarah mempunyai bukti wujudnya kerajaan-kerajaan purba sejak kurun ke-5 Masehi. Lebih 1,300 tahun dulu kerajaan Gangga Negara yang dipercayai di Beruas, Perak, telah tegak sebagai sebuah kerajaan besar.

Peta Tanah Melayu yang dilukis oleh Ptolemy pada kurun kedua, menunjukkan terdapat dua buah pelabuhan di pantai timur Semenanjung, iaitu Kole dan Perimoula. Kedua-duanya terletak di Terengganu. Batu Bersurat yang ditemui di Kuala Berang, Terengganu menunjukkan seawal tahun 1303 Islam telah tiba di Terengganu.

Menurut Nik Azmi lagi, dalam eksiklopedia Ma Tuan-Lin ada dinyatakan mengenai suatu tempat bernama Ko-lo yang dikatakan mempunyai hubungan dengan China sejak zaman pemerintahan Dinasti Han (206 S.M-221 Masehi).

Kebanyakan sejarawan yakin, Ko-lo adalah Kelantan. Catatan-catatan China pada kurun ketujuh Masehi juga ada menyebut mengenai Ho-lan-tan dan Kou-lan-tan, iaitu Kelantan. Pendek kata, daripada sudut mana sekali pun, bangsa Melayu memang mempunyai sejarah yang amat panjang dan lama di Tanah Melayu.

Demikianlah hakikatnya sebelum Empayar Melayu Melaka wujud pada 1403. Sesudah kebangkitannya, Empayar Melayu Melaka pula disifatkan sebagai emporium perdagangan antarabangsa.

Menurut Asrul Zamani (2002), seorang penulis Portugis bernama Tom Peres menyatakan, Melaka adalah pelabuhan perdagangan yang terbesar di dunia sewaktu Portugis mula menerokai dunia Timur.

Malangnya, Empayar Melayu Melaka yang menjadi pelabuhan strategik kepada perdagangan antara Asia Timur dan Asia Tenggara dengan Asia Selatan dan Asia Barat, ditawan oleh Portugis pada 1511.

Menurut Afonso de Albuquerque (1995), Portugis menyerang dan menjajah Melaka untuk menghalau orang Melayu dan umat Islam daripada Tanah Melayu bagi menghalang pengaruh Islam daripada terus berkembang.

Dengan cara ini, umat Islam akan hapus sama sekali. Ini kerana sebelum kedatangan Portugis, kebanyakan orang Melayu dan umat Islam adalah golongan berkuasa, kaya, berpengaruh serta memiliki harta yang tidak ternilai jumlahnya.

Oleh sebab itu Raja Portugis berpendapat, Melaka adalah tempat terbaik untuk menghalang pedagang Islam Kaherah, Mekah dan Jeddah daripada meneruskan kegiatan mereka.

Keagungan sejarah bangsa Melayu ini adalah berasaskan bukti-bukti nyata. Oleh sebab itu, Nik Azmi menyatakan, orang Melayu sesungguhnya mempunyai hak yang istimewa ke atas Tanah Melayu. Hak ini mesti dipertahankan. Hak ini tidak boleh diganggu gugat oleh sesiapa.

Tetapi, perjuangan mempertahankan hak orang Melayu kini menjadi satu daripada dilema politik orang Melayu di abad ke-21. Banyak faktor yang menyebabkan dilema ini. Antaranya adalah seperti berikut.

Pada penghujung 2007, satu pertubuhan haram bernama Hindraf menuduh kononnya UMNO melakukan genocide dan pembersihan etnik ke atas keturunan India di Malaysia. Pertubuhan itu menuntut ganti rugi RM1,000,000 bagi setiap mereka yang terkorban (butiran 12 dalam memorandum Hindraf kepada Perdana Menteri Malaysia 12 Ogos 2007).

Pada 28 November 2008, Ketua Wanita MCA menyifatkan konsep ketuanan Melayu tidak relevan pada hari ini kerana semua rakyat menyumbang kepada pembangunan negara. Beliau menyokong kenyataan seorang Timbalan Presiden MCA mengenai perkara yang sama pada 27 November 2008 (Utusan Malaysia).

Pada 30 November 2008, Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon menyatakan istilah ketuanan Melayu di negara ini tidak sesuai digunakan kerana ia menggambarkan seolah-olah seperti hubungan tuan dengan hamba (Utusan Malaysia).

Pada 6 Februari 2009, seorang pemimpin Pas diberitakan akan memfailkan saman terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, di Mahkamah Tinggi Ipoh.

Pada 26 Februari 2009, ADUN DAP Skudai di Johor, Dr. Boo Cheng Hau menuduh kononnya dasar-dasar afirmatif untuk Melayu dan Bumiputera adalah serupa dengan dasar aparteid (The Malaysian Insider 26.2.2009).

Pada 14 Mei 2009, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat mahu kerajaan mengkaji semula dasar biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) setelah mendapat banyak aduan mengenai pelajar terbaik dari beberapa negeri yang tidak menerima biasiswa tersebut. Beliau juga mahu pemberian biasiswa itu dilakukan berasaskan meritokrasi, dengan tidak menafikan peluang pelajar cemerlang (Utusan Malaysia).

Pada 17 Mei 2009, Naib Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Yong Khoon Seng juga mendesak supaya pemberian biasiswa JPA diberikan mengikut sistem meritokrasi tanpa mengira pelajar itu daripada kaum Bumiputera atau bukan Bumiputera (mysarawak.org 17.5.2009).

Pada 20 Mei 2009, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Datuk Dr. Teng Hock Nan meminta Chin Peng selaku bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) diizinkan pulang ke Malaysia atas dasar kemanusiaan (Malaysiakini 20.5.2009).

Pada awal Jun 2009, Presiden MIC mengatakan Awang Selamat, kolumnis Mingguan Malaysia, perlu dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan semata-mata kerana kolumnis itu memperkatakan fakta sejarah mengenai etnik India di Malaysia.

Banyak lagi contoh jika mahu dihuraikan satu persatu, temasuklah tuntutan supaya bukan Melayu dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Apapun, seluruh kenyataan di atas menyebabkan adanya orang Melayu yang mulai bimbang terhadap masa depan bangsa Melayu di Malaysia.

Ada orang Melayu yang mulai dibelenggu dilema siasah. Ada golongan Melayu yang mulai jadi acuh tak acuh terhadap nasib serta kelangsungan bangsanya. Ada pula kelompok Melayu liberal dan universalis yang rela mengetepikan fakta-fakta sejarah bangsanya sendiri.

Kecelaruan seperti ini di kalangan orang Melayu adalah berbahaya. Ia boleh menyebabkan survival bangsa Melayu di Malaysia di hari muka terumbang-ambing bagaikan layang-layang terputus tali.

Inilah dilema politik Melayu di abad 21. Jika sewaktu perjuangan menentang penjajah British pada 1946, orang Melayu sentiasa bersatu padu untuk menjadi kuat dan teguh, hari ini orang Melayu berpecah belah.

Pendek kata, segolongan orang Melayu pada ketika ini sudah tidak lagi menghargai kata-kata Datuk Onn Jaffar pada tahun 1946, bahawa orang Melayu wajarlah melonjak dan memelihara maruah serta kesopanan bangsa Melayu menerusi perpaduan supaya tanah air dan bangsa Melayu terselamat dan kuat.

Oleh itu, orang Melayu mestilah insaf akan hal ini. Maruah kita sedang dicabar. Masa depan kita terumbang-ambing. Keistimewaan kita dipersoalkan. Raja-Raja Melayu dipersenda-sendakan. Kita perlu kembali bersatu demi masa depan kita bersama.

Kita perlu gabungkan seluruh tenaga dan pemikiran kita untuk mempertahankan Melayu dan ketinggian syiar Islam dalam konteks Malaysia yang majmuk. Kalau kita berpecah belah, kita akan kalah. Kalau kita terus berbalah, kita akan dibelah-belah.

Kalau kita bersatu, suara dan tindakan kita akan jadi jitu, dihormati dan digeruni oleh pihak kawan dan lawan. Oleh sebab itu, marilah kita bersatu padu demi orang Melayu dan demi rakyat Malaysia seluruhnya.

Orang Melayu juga mesti tidak takut dan tidak gentar untuk memperjuangkan hak dan keistimewaan kita di bumi bertuah ini. Kita tidak perlu curiga untuk menyatakan hakikat bahawa Melayu adalah paksi kepada segala-galanya di Malaysia yang berbilang keturunan.

Sejarah Melayu adalah paksi kepada sejarah Malaysia. Kebudayaan Melayu adalah paksi kebudayaan Malaysia. Kesejahteraan Melayu adalah paksi kepada kesejahteraan Malaysia. Kemakmuran Melayu adalah paksi kepada kemakmuran negara. Kestabilan politik Melayu adalah paksi kepada kemantapan siasah nasional.

Segolongan pihak bukan Melayu yang sering mempertikaikan keistimewaan orang Melayu di Malaysia mestilah insaf bahawa orang Melayu memang sentiasa rela untuk berkongsi kuasa dengan bukan Melayu di negara ini.

Hakikat ini terbukti bila orang Melayu langsung tidak membantah tindakan British menjadikan pendatang Cina dan India sebagai warganegara Malaysia menerusi kemerdekaan tanah air pada 1957.

Tapi, janganlah bersikap seperti Belanda minta tanah: dah diberi seinci, nak lagi sekaki. Janganlah jadi duri dalam daging. Jangan pura-pura lupa kepada sejarah. Jangan dicabar kewibawaan Melayu. Jangan diuji kesabaran orang Melayu.

Hidup kita bersama yang aman, makmur, rukun dan damai selama ini jangan diharu-birukan. Masa depan kita bersama sebagai rakyat Malaysia, jangan digerhanakan dengan tuntutan demi tuntutan yang ekstrem dan melulu. Hormatilah orang Melayu dan Bumiputera sebagai pribumi.

3 comments:

PETA PELAYAR