KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) mengecam kenyataan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan Barisan Nasional (BN) menggunakan taktik kotor untuk merampas kerajaan Perak daripada pembangkang. Setiausaha Pemuda PBS, Webley Disim, berkata Anwar tidak wajar mengeluarkan kenyataan sebegitu kerana beliau (Anwar) pernah memujuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PBS untuk berpaling tadah kepada BN sebelum ini. "Kenyataan Anwar yang mengatakan BN membeli Adun pembangkang dan mengeluarkan ugutan adalah tidak benar," katanya yang turut menambah Anwar kini sudah 'rasa' bagaimana sakitnya Adun partinya menjadi pengkhianat.
Disim berkata, ketika pilihan raya negeri pada 1994, PBS yang ketika itu pembangkang memenangi 25 daripada 48 kerusi, manakala BN memenangi 23 kerusi, sekali gus membolehkan PBS menubuhkan kerajaan negeri dengan majoriti mudah. Bagaimanapun, kerajaan negeri yang diterajui PBS tumbang tiga minggu selepas berkuasa apabila tiga Adun partinya menyertai BN. "Kenapa Anwar perlu bersikap hipokrit dan marah apabila Adun dari Perak mengkhianati dirinya kerana beliau pernah melakukan perkara sama terhadap PBS," katanya.
Anwar sebelum ini pada sidang media di Ipoh, berkata faktor wang menjadi punca tiga Adun pembangkang di Perak meninggalkan parti itu.
No comments:
Post a Comment