FOLLOWERS

Thursday, 7 May 2009

KRISIS PERAK : TRANSKRIP TAKLIMAT ISU SEMASA DATO SERI DR RAIS YATIM

TRANSKRIP
TAKLIMAT ISU SEMASA
TETAMU:
Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim
4 MAC 2009, 9:00 PAGI

AUDITORIUM PERDANA ANGKASAPURI
DISEDIAKAN OLEH :

BAHAGIAN PENERBITAN DASAR NEGARA
JABATAN PENERANGAN Malaysia
TRANSKRIP

PENGACARA MAJLIS:

Bismillahhirrahmannirrahim. Assalammualaikum w.b.t dan Salam Muhibah. Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri Luar Negeri, Yang Berbahagia Dato’- Dato’, Datin-Datin dan hadirin sekalian. Bagi pihak majlis mengucapkan selamat datang kepada Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim ke sessi taklimat isuisu semasa pada pagi ini. Sebelum memulakan sessi taklimat, eloklah saya memperkenalkan penceramah kedua pada pagi ini, iaitu Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim dan dilahirkan pada tahun 1942, nama isteri Datin Maznah dan bilangan anak dua orang, bilangan isteri tidak dinyatakan.


Berpendidikan pada tahun 1964 di Institut Bahasa Kuala Lumpur, Honor Degree National Universiti of Singapura, pada tahun 1994, PHD di King College London, pengalaman dalam perkhidmatan pada tahun 1978 hingga tahun 1982 sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Besar Negeri Sembilan, pada tahun 1982-1984 sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah, 1984-1986 sebagai Menteri Kementerian Penerangan, 1986-1987 sebagai Menteri Kementerian Luar Negeri, 1987-1999 berkhidmat di Firma Guaman di Rahim & Rais Partner. Itu sahaja biodata yang saya terima. Seterusnya, majlis dengan segala hormatnya mempersilakan Yang Berhormat Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim Menteri Luar Negeri menyampaikan tajuk Isu Kemlut Politik Negeri Perak Perspektif Perlembagaan Negara. Dengan itu majlis mempersilakan.

YANG BERHORMAT DATO’ SERI UTAMA DR. RAIS YATIM:

Bismillahhirrahmannirrahim. Assalammualaikum w.b.t. Di bentang tikar sebelah sana. Dibentang tilam sebelah-sebelah, apa khabar anda semua, semoga dalam peliharaan Allah. Kalau dengar dari tepuk saudara-saudari, Barisan Nasional, menang. Tetapi jika ditilik dalam hati, belum tahu tenggelam ataupun timbul. Justeru, pada pagi ini setelah Tan Sri Muhammad Taib tadi menyampaikan buah butir perjuangan menerusi Penerangan, saya diminta oleh pihak berkuasa JASA dan Kementerian Penerangan, untuk menyampaikan sedikit sebanyak berkaitan

Kemelut Politik Negeri Perak Perspektif Perlembagaan Negara.
Topik ini, adalah topik yang luas. Jadi, pada pagi ini saya ingin menyimpulkannya sebagai sesuatu yang harus kita lihat dari segu jurusan undang-undang negara, di samping pengertian kita tentang perkembangan politik di tanah air kita sendiri. Oleh kerana perkembangan hal-hal yang telah disebutkan tadi, termasuk pengenalan terhadap diri saya, oleh kerana banyak sangat jawatan sudah dipegang, juru acara tidak ingat sudah apa yang hendak disebut. Cuma tadi, dia sebut pada tahun 1984, kemudian Menteri penerangan, kemudian Menteri Luar, ada dia tak sebut tadi, kemudian keluar. Jadi, biodata tu nanti, saudara masukkan di situ. Tahun 1988 hingga 1996 berkhidmat menerusi perjuangan ‘semangat’.

Yang Dihormati, Dato’ Lah, Dato’ Abu, Dato’-Dato’, rakan yang saya hormati sekalian. Isu kita dalam tanah air pada hari ini ialah isu pendirian terhadap perkembangan perkembangan yang tidak kita ambil sebagai perbandingan ke arah membina negara mengikut Rukun Negara. Kita sentiasa lupa terhadap perkara ini. tentang bagaimana kita mempunyai kepercayaan terhadap tuhan, tentang pendirian asuhan pendidikan berkaitan Raja, tentang pendirian kita berhubung dengan keluhuran undang-undang dengan perlembagaan, dengan ketatasusilaan.


Perkara ini terpijak pergi dan terlanda pulang. Ianya tidak diterap dalam perjuangan kita sehingga pemimpin di Kelantan kata, keadaan di negeri Perak, katanya haram. Tidak ada orang mengatakan kepada beliau, adakah beliau itu seorang mufti yang mempunyai kedudukannya supaya mengeluarkan fatwa. Sebab nak mengatakan haram itu bukan sesuatu yang mudah. Isu itu pun pada pagi ini, membuat rumusan menerusi ilmu keislaman kita bagi pihak yang arif berkaitan dengan perkhidmatan JASA, Penerangan, dan lain-lain.

Tadi saya katakan, seramai ini kita dalam tanah air, degupan jantung kita setiap hari ialah berkhidmat untuk negara dan Rukun Negara tadi ialah piagam kita. Setakat mana kita boleh menghuraikan pandangan supaya pandangan yang dibuat seperti saya sebutkan tadi dapat kita ketepikan. Sejarah Perlembagaan Persekutuan Begitu juga dengan hal-hal berkaitan dengan negeri Perak dan undang-undang di tanah air kita.


Sebenarnya, soal perundangan di tanah air, adalah soal yang amat berat dan besar. Lantaran ia berkaitan dengan perlembagaan tanah air yang dinamakan Federal Constituition atau Perlembagaan Persekutuan. Saya mengambil masa sedikit, buku kuning ini yang juga didasarkan dalam bentuk Bahasa Malaysia, diwujudkan menerusi Kontrak Sosial tanah air kita. Melayunya, Cinanya, Indianya bersetuju tahun 1956 tentang setiap perkataan, setiap versi, stanza, setiap bahasa di dalamnya untuk itu kedudukan orang Melayu, kedudukan Islam, kedudukan Raja-Raja Melayu, Kedudukan budaya, kedudukan Islam dan kuat kuasanya di bidang-bidang tertentu termasuk kuasa-kuasa negeri tidak boleh dirubah, kecuali syarat-syarat tertentu diwujudkan.


Namun, jawatankuasa yang mewujudkan perlembagaan ini dulu ialah Suruhanjaya Reid dan hakim Reid ini, tidak membuat keputusan sendirian. Beliau mempunyai tujuh orang, ada wakil-wakil Raja-raja Melayu, ada wakil-wakil UMNO, ada wakil-wakil yang telah termaktub sebagai wakil tetap dalam suruhanjaya tersebut. Apa yang boleh dipinda, apa yang tidak boleh dipinda, ada dalam ini. Hak orang Melayu bagaimana, hak orang beragama, bagaimana. Perkara 153 keistimewaan orang Melayu bagaimana dan juga hak untuk beragama bagaimana.

Perkara 154, Perkara 4 dan Perkara 11 berkaitan dengan keagamaan, jelas dalam buku kecil ini. Pada tahun 1978 Syariah dapat kausa khas, sebelum itu semuanya di bawah perlembagaan ini. Selepas tahun 1988, maka syariah menerusi pindaan tahun itu disisihkan daripada sistem sivil. Maka, menjadilah ia satu payung jurisdiction atau bidang kuasa yang khusus di bawah perlembagaan kita. Inilah hasil daripada Suruhanjaya Reid itu tadi. Tapi harus kita sebutkan di sini, iaitu berkaitan dengan hak keistimewaan orang Melayu yang menjadi Kontrak Sosial tadi, bahasa Melayu tadi, kebudayaan tadi, dapat kita mengertikan sebagai perkara yang tidak boleh disentuh lagi sebab telah dipersetujui untuk perwujudan negara dan segmen kuasa-kuasa tertentu.

Jika ada pihak yang mencuit balik, membangkitkan balik, mesti ada cukup suara di kalangan masyarakat kita mengatakan hentikan itu. Sebab tidak ada suara inilah hari ini orang bangkitkan soal di negeri Perak tadi. Sebab tiadanya pihak penguatkuasaan yang tegas kita kehilangan beberapa imej yang sepatutnya terus digilap dan beroleh kejayaan. Kefahaman Terhadap Rukun Negara Sebab kita tidak merujuk kepada hal-hal yang sahih dan sah, maka kita sentiasa dalam keadaan terumbang-ambing seolah-olah kita tidak mempunyai pegangan dalam tampuknya.


Seolah-olah kita pada masa kini tidak memegang pada hulu kalau kerisnya, seolah-olah kita memegang mata keris. Orang yang memegang tangkai dan hulunya, mukadimahnya ini perlu saya sebut sebab hal berkaitan perundangan negara dan negeri tidak boleh jadi mainan. Sebab itu orang tua-tua berkata, kalau mahir undangundang, kita mesti menang bicara. Tetapi tak ada guna kalau kita mahir undang-undang bila bicara kita salah. Sama lah juga, begitu ramai pihak penguat kuasa dan juga pihakpihak yang bertanggungjawab semasa pilihan raya, pilihan raya kecil, kita kalah. Pilihan raya sedang-sedang kecil pun kita kalah. Ini keadaannya. Jadi, biar saya teruskan Federal Constituion tadi, terletak pada Rukun Negara, yakni keluhuran undang-undang.


Di sekolah, saya sudah lama tidak melihat silibus, atau sukatan pelajarannya. Adakah Rukun Negara ini, diajarkan terus menerus oleh cikgu, guru-guru kita agar termasuk dalam penjiwaan anak-anak. Seterusnya, kepada guru, graduan, profesor dan lain-lain. Adakah sama dengan Panca Susila di Indonesia? Di mana anak kecil diajar Tatasusila, difahamkan tentang satu persatu ayat Panca susila.

Sebab dari situ saya nak masuk kepada perlembagaan kita. Jika tabii untuk mengenal apa yang asas kepada negara kita iaitu perlembagaan, iaitu Rukun Negara tidak dapat kita semai, menerusi sistem pendidikan, kita akan gagal. Sebelum kita jadi Pegawai JASA, Pegawai Penerangan, adakah kita dimestikan mengetahui pecahan-pecahan Rukun Negara tadi, atau bab yang asas kepada perlembagaan tanah air kita? Soalansoalan ini mencabar kepada kita dan soalan ini penting bagi kita untuk berjuang dan melandaskannya.

Kepentingan Perkara 32

Hadirin,

Tahun 1985 pernah saya berdiri di sini. Hari ini kita bertemu semula, cuma orang di depan semuanya dah pencen. Kecuali orang yang berceramah pada pagi ini. Jadi, bolehlah saya anggap, adik-adik, saudara-saudari yang terasa hal ini sudah anachronistic atau tak menyisip zaman, minta maaf. Lantaran buku ini, hanya dipinda 42 kali. Buku ini masih relevan. Buku inilah yang menentukan sama ada Malaysia menjadi Malaysia atau Malaysia menjadi Malaysoya. Inilah bukunya.

Saya berkata begitu, oleh kerana tidak ada degupan begitu dalam jantung kita. apa yang nak saya huraikan tentang undang-undang sedikit sebanyak ini, mungkin tidak kena percikkannya pada perjuangan kita. Dari situ, marilah kita melihat tentang perlembagaan yang memberi kuasa kepada pihak-pihak tertentu. Semua kuasa di negara ini, dinyatakan sebagai kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 32.

Perkara itu menyatakan hal-hal eksekutif di tanah air berada di tangan paramount ruler, iaitu Yang Di Pertuan Agong. Cuma pelaksanaan semua perkara tersebut adalah di bawah pihak-pihak eksekutif yang dilantik. Siapakah yang boleh menyatakan sekarang, kalau begitu Yang Di Pertuan Agong boleh lah mengarahkan semua perkara? Tidak pula sedemikian. Cuma lambang baginda sebagai mercu kuasa pemerintah dan eksekutif diletakkan di situ sebagai mana juga, Ratu Queen Elizabeth diletakkan sebagai lambang mercu kekuasaan Britannic Government of the United kingdom.

Kuasa Eksekutif Dipersetujui Kita, Yang di Pertuan Agong bagi Malaysia. Jadi, Perkara 32 ini, adalah penting bagi kita mengetahui bagaimana kita sekarang sebagai anggota pentadbiran perkhidmatan awam wujud di bawahnya, bermakna apa-apa yang diputuskan oleh Yang di Pertuan Agong menerusi Perdana Menteri baginda dan kabinet baginda perlu mendapat satu sokongan fahaman yang jelas. Jika tidak, kita akan berkata apa pula, Raja pula suruh buat begini, apa pula Perdana Menteri suruh kita buat begini.


Jadi, saya nak menghuraikan secara ringkas., kuasa eksekutif yang diberi kepada yang di-Pertuan Agong itu, telah dipersetujui di dalam pembentukan awal perlembagaan ini, dan pembentukan awal itu berkata, all executive function shall live with Yang Di Pertuan Agong. Tetapi di bawah yang di-Pertuan Agong itu adalah sekutu-sekutu segmen untuk mentadbir tanah air kita. Dengan hal yang demikian sebelum sesuatu pemerintahan berlaku, hendaklah diwujudkan sistem pilihan raya yang kita semua sudah maklum, tidak perlu saya sebut, berada di bawah Perkara 114 dan seterusnya di dalam perlembagaan kita.

Jadi, soalan untuk kita menyatakan kini, bagaimanakah harus kita laksanakan dasar-dasar di bawah kerajaan kita Yang di-Pertuan Agong melantik sebuah kabinet atau jemaah menteri di bawah Perkara 43 Perlembagaan kita. Lantikan ini tak boleh sekali terus dilakukan oleh baginda melainkan baginda harus melakukan pelantikan ketua jemaah menteri dahulu iaitu Perdana Menteri. Perdana Menteri dilantik di bawah Perkara 43 ini, ceraian 2 (A) dan sebelum Menteri-menteri Diraja dilantik, Perdana Menterilah dilantik dahulu. Tidak boleh dilantik Exco ataupun Jemaah Menteri terlebih dahulu.


Dilantik Perdana Menteri dahulu. Melantik perdana menteri di pusat, dan melantik Menteri Besar di negeri-negeri adalah salah satu daripada kuasa mutlak raja. Kuasa Yang di-Pertuan Agong Berasaskan amalan demokrasi yang wujud. Jadi, kalau di Persekutuan, peruntukannya yang seharusnya saya sebut ringkas ialah katanya di sini yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik satu Jemaah Menteri untuk menasihatkan baginda dalam melaksanakan fungsi-fungsi baginda sebagai pemerintah utama dan di bawah itu Dikatakan ceraian 2(A) tadi Kabinet hendaklah dilantik seperti berikut . Pertama, Yang di-Pertuan Agong hendaklah, bukan boleh lah, hendaklah dalam bahasa undang undangnya, wajib, mesti. Boleh lah, ”May”.


Jadi beliau berkata di dalam undang-undang kita, yang kita wujudkan melalui terpakai dulu sampai hari ini melantik sebuah jemaah menteri dan perdana menteri hendaklah dilantik pertama. Di dalam perlembagaan negeri Perak pun begitu, dan kedudukan di negeri Perak, “his royal highness shall appoint an executive council” katanya . Dan seterusnya “his royal highness shall appoint first menteri besar to precide over the executive council.sama, persekutuan sama, negeri sama.


Saya ulangi, kuasa ini, kuasa “intrincide” namanya atau kuasa asas yang tidak boleh dipertikai oleh mana-mana pihak. Soal tadi saya kata “kalau dipertikai macam mana” Di situlah penguat kuasa undang- undang tanah air kita segera dan lekas bertindak. Kalau penasihat undang-undang di negeri Perak misalnya, beliau yang membawa isu ini ke peguam negara


“Bos apa kita buat?” dalam tempoh yang secepat mungkin untuk melaksanakan semangat peruntukan dan provisi kedua- dua undang- undang tadi.

Kalau ada pihak yang kata, “Sultan Perak tiada kuasa” kata dia, habis apa nak sebut, siapa nak bertindak?.


Di sinilah sepatutnya ada jawatan kuasa bertindak terus menyatakan ini tidak boleh dilakukan, ini harus dilakukan”. Ada tiga perkara yang Raja boleh buat tanpa minta nasihat. Satu, melantik Perdana Menteri atau Menteri Besar.

Kedua, bersetuju atau tidak bersetuju membubarkan Dewan Undangan negeri bagi Negeri atau Parlimen bagi Persekutuan.


Ketiga, untuk meminta untuk mengadakan mesyuarat Majilis Raja-raja atau yang berkaitan dengan adat istiadat Melayu dan agama Islam. Ketiga-tiga ini seperti orang kata tiang araslah Kepada seseorang Raja di Malaysia kecuali di Pulau Pinang, di Melaka, di Sabah, di Sarawak yang tiada Raja. Jadi di situ, saya bawa perhatian kita kepada, syarat-syarat yang seseorang boleh menjadi Perdana Menteri dan Menteri Besar di bawah Perkara 43, seseorang yang hendak dilantik oleh Yang Dipertuan Agong sebagai Perdana Menteri ialah am sahaja.


Yakni seorang anggota Dewan Rakyat yang pada pandangan baginda yang mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat. Saya ulangi pada pandangan baginda, bermakna ini keputusan subjektif bukan objektif. Kalau ada dua orang di Dewan Rakyat. Misalnya Yang Dipertuan Agong rasa yang boleh diganding-gandingkan. Macam yang kita kata dalam pantunlah:

Anak dara di tepi sungai,
Tengok gelagat si ketam batu,
Sama elok sifat perangai,
Pilihlah di badan mana yang satu.

Yang dua tadi, kalau baginda memilih B dan tidak A, siapa nak cabar Baginda? Tidak ada sebab baginda boleh kata pada pandangannya, ïn his judgement” dia boleh buat. Lantaran itulah, Tuanku Duli yang maha mulia Sultan Perak membuat keputusannya dan melantik Dr. Zambri. Dan tidak lagi calon Pas, Datuk Nizar seperti yang kita maklum.


Salahkah baginda? Dari soal peruntukan ini tidak, dan dari situ kita turun ke bawah sedikit kepada Perkara 16(4) dan dalam peruntukan perkara 16(4) negeri Perak ini pelik sebab peruntukan ini hanya ada dalam 3 negeri, pertama, di Perak, kedua, di Perlis dan ketiga di Terengganu.


Apa bunyinya, bunyinya begini

“Dalam melantik seseorang Menteri Besar, baginda Sultan boleh, mengikut budi bicara baginda mengetepikan mana-mana peruntukan di bawah perlembagaan negeri Perak ini untuk memilih Menteri Besar. “

Dengan lain perkataan, beliau boleh mengetepikan apa saja syarat yang ada dalam perlembagaan ini, memilih Dr. Zambri. Jadi kalau begitu, dia kata lagi:

“Sekiranya pada pandangannya ianya perlu dilakukan bagi mengisi tuntutan
artikel ini iaitu artikel 16(4).”

Peruntukan ini ada di Perlis di dalam seksyen 39. Ada di negeri Terengganu di bawah peruntukan 14. Sebab itulah tempoh hari bulan Mac, Pegawai Penerangan masih ingat pihak berkuasa dari pusat parti mencadangkan si anu, si anu di Perlis. Kemudian pihak berkuasa di negeri mencadangkan si anu, si anu di Terengganu. “tembak itik, kena ayam” ini mesti kita ingat, dulu tidak pernah berlaku ini .

Tapi sekarang dah berlaku. Peruntukan inilah yang digunakan oleh raja-raja berkenaan. Jadi mereka tak salah. Mereka kata saya ada kuasa di sini, yang saya minta kita fahami ialah di sini ada dikata budi bicara “in his discretion”. Kalau nak budi bicara, Raja buatlah ikut yang raja fikir perlu.

Jadi oleh kerana Sultan kita di Perak bukan calang- calang orang , beliau bekas Ketua Hakim negara. Dan beliau faham benda ini seperti belakang tangan dan tapak tangan baginda. Apa jadi sekarang, yang jadi ialah orang-orang yang membangkang yang tidak suka pada raja barangkali dan tidak suka kepada Barisan Nasional, mengkritik mengatakan sepatutnya katanya diadakan Dewan Undangan Negeri bersidang baru putus masalah ini. Jadi orang yang kata yang jadi “Pak Cokok” ini yang sekejap ke sana, sekejap ke mari.


Dia berkata kenapa tiada dewan undangan negeri?.

Jawabnya begini: Peruntukan 16(4) dia tidak sebut “you shall have an assembly at the DUN” diacuma sebut, dalam hemah atau pendapat baginda boleh menjadi Menteri Besar dan boleh mengetepikan mana-mana peruntukan Perlembagaan negeri Perak untuk melantik Menteri Besar. Cuma soal majoriti nak menyesuaikan dengan kelaziman demokrasi. Ini mungkin dipersoalkan kenapa dewan undangan negeri tidak bersidang nak menentukan siapa yang dapat majoriti dan siapa yang tidak dapat majoriti.

Dewan Tak Sidang, Raja Tak Silap

Sidang yang dihormati sekalian,

Dari situ harus kita lihat situasi yang berlaku pada tahun 1994 iaitu dalam satu kes yang bernama, Datuk Amir Kahar bin Tun haji Mustafa yang melawan Syed bin Kruak Yang Dipertuan Negeri dalam kes tahun tersebut. Di situ telah diputuskan dalam nas undang-undangnya katanya “menentukan sesuatu suara majoriti dari Dewan Undangan Negeri hanyalah salah satu kaedah dari kelaziman yang boleh dibuat. Ianya bukan kemestian. Oleh kerana bahasa ini Bahasa Inggeris dari Sabah, saya membacakan sekadar yang penting sahaja. Kata mahkamah pada masa itu, yang diwakili oleh Justice Abdul Hamid

“ a vote in assembly is not the only means to determine the confidents of the members of the assembly of the chief minister”

Jadi dah jelas, satu dari kaedah. Dengan yang demikian dengan tiadanya sultan yang mengarahkan supaya diadakan perhimpunan di dewan negeri. Adakah salah? Jawabnya tidak. Tetapi hujah ini saya belum dengar lagi, daripada pihak-pihak yang berkuasa di negeri Perak untuk menerangkan kepada orang ramai. Pendeknya kita boleh kata kepada orang kampung “pakcik-pakcik, makcik-makcik jangan gaduh bukan makna bahawa dewan tak sidang ini raja kita silap”


Tidak, kuasa baginda ada ini. Kalau hendak adakan satu perhimpunan,di dewan undangan negeri itu hanya satu cara. Apa cara yang dibuat oleh Tuanku kita di negeri Perak? Caranya ialah, memanggil anggota-anggota tempoh hari termasuklah mereka yang namanya sudah kita kenal. Iaitu baginda telah mencari penyelesaian dan menentukan agar mereka yang telah dipanggil itu terdiri daripada wakil-wakil PKR (2 orang) dan Yee, daripada DAP seorang. Termasuk Datuk Nasaruddin Hashim.dari Bota. Dengan empat orang dipanggil bersama-sama yang lain, baginda puas hati iaitu majoriti terhadap Menteri Besar yang dahulu itu, iaitu Datuk Nizar tidak berlaku lagi.


Sama juga, jika baginda buat “pergilah ke Dewan Undangan Negeri sekarang tentukan siapa yang hendak menjadi suara lebih ramai berbanding dengan apa yang telah ditentukan di bawah Perlembagaan ini. Jadi dengan itu jelas bahawa dengan kedudukan di Perak ini bukanlah sesuatu yang di luar undang-undang. Cuma kita mahir cakap, “orang di luar sana tidak mengiktiraf kedudukan tersebut.”


Saudara-saudari perlu menggunakan sedikit sebanyak huraian seperti ini supaya kita mempunyai satu darjat yang lebih jelas dan juga satu “pedestal” yang boleh kita pertanggungjawabkan nanti. Terima Keputusan Dari situ saya suka membawa perhatian kita kepada keadaan kemelut di negeri Perak berhubung dengan peranan-peranan tertentu apabila perkara 16(2) dan 16(4) tadi, kita bawa kes-kes yang melibatkan Muhammad Osman Bin Muhammad Jailu (PKR) dari Changkat Jering saya rasa, kemudian Jamaluddin Mohammad Razi (PKR) Behrang seterusnya Yee Hit Fong (DAP) dari Jelapang.


Ketiga-tiga ini tidak lagi menyokong terhadap parti PKR dan DAP. Jadi Raja yang bertindak di bawah perkara 16(2) dan 16(4) tadi beranggapan bahawa Menteri Besar ketika itu sudah hilang kepercayaan. Baginda pun membuat keputusan setakat itu kita harus terima satu hakikat sudah ke di tulis pengakuan ini dalam bentuk yang boleh dibaca.


Itu saya tidak tahu. Seharusnya, penasihat undang-undang di Perak masa itu “Mohon Tuanku, mohon yang berempat ini tolong catit, beliau semua tidak mirip lagi menyokong DAP atau PKR. Ampun Tuanku” Satu tenyehan dibuat dengan sebaik-baiknya.

Maklumlah masa ini ya, orang kata anak sungai lagi berubah, inikan pula hati manusia. Patut pada masa itu diwujudkan. Saya harap adalah dokumen itu , kalau tidak saya ingat penasihat undang-undang kita di negeri Perak mungkin sudah keterlaluan dalam melangkaui pandangannya.


Walau bagaimanapun ada orang lain yang cakap, ini tidak adil kalau saya kata ini hanya pandangan kita yang betul. Ya. Ada seorang lagi yang bercakap, beliau ini menjadi bekas hakim nama beliau N.H Chan. Beliau mengatakan “no,no,no the sultan has earth”. Bermakna dia kata Tuanku Sultan dah silap sikit dan Chan berkata, oleh kerana pihak-pihak lain tidak diberi peluang didengari oleh Raja katanya. Jadi saya nak katalah pada Chan “sebenarnya Encik Chan ini tiada chance nak cakap”.


Dia tengok dari luar sahaja. Sultan kita dah panggil semua dan dah panggil pun Timbalan Perdana Menteri. Dia mempertikaikan kenapa Timbalan Menteri itu dipanggil dulu,dan tidak kemudian. Kenapa orang-orang yang bertiga,berempat tadi tidak dipanggil dulu dan hanya dipanggil kemudian? Itu biarlah Sultan yang tentukan siapa yang hendak dipanggil dahulu atau siapa yang hendak dipanggil kemudian. Jadi saya ambil kertas N.H Chan ini taklah yang termasuk kepada golongan yang boleh kita pakai untuk menghujahkan dari sisi peruntukan undang-undang sebenarnya. Beliau cuba menghuraikan dari segi kepentingan natural justice atau keadilan sejagat. Undang-undang Jelas .

Pada hemat saya, peruntukan undang-undang negeri Perak terlalu jelas ianya tidakmemerlukan sesuatu sisipan berkaitan dengan natural justice yang berada pada tahap hujah-hujah universal berlaku. N.H Chan seharusnya tidak membuat penentuan sedemikian. Namun saya mempersoalkan sebagai Menteri Luar bukan dan ahli kabinet pun bukan. Hanya sebagai seorang yang ada sedikit pengalaman menerusi undangundang, apa sebab kita tidak ambil tindakan kepada beberapa pihak. Satu, ahli Parlimen yang di tolak ke hulu di tarik ke hilir duduk sahaja.


Tapi dia lebih perkasa nampaknya daripada orang yang berdiri sama- sama pensyarah. Kerjanya duduk sahaja, kemudian dia lentung kita, kemudian dia sengat kita. Tiada tindakan. Ini tidak usah tanya saya, ini kena tanya orang yang menguatkuasakan undang-undang tadi. Apa jadi kepada Akta Hasutan tahun 1948 Seksyen 3 dan 4. Seseorang yang mencerca dan menjatuhkan imej, mempersenda dengan niat untuk melaga-lagakan sentimen memecahkan masyarakat mesti diambil tindakan.


Selepas itu, orang yang disorong tadi sudah diam, Bloggers bangkit. Ada tujuh bloggers yang sudah bangkit tetapi ada satu blogger. Saya sebut namanya iaitu, ianya adalah blogger Malaysia dan beliau menyatakan dalam Merah Tinta Blog Shot. MSO Melayu blogshot mempertikaikan kerajaan, memperkecilkan Sultan Perak. Tidakkah itu berupa sesuatu yang perlu diambil tindakan dibawah Akta Hasutan? Soal itu masih tergantung, Soal ini mesti dibereskan oleh Jabatan Peguam Negara dan beliau harus memberi penerangan kepada umum. Kenapa sesuatu tidak diambil tindakan?


Wujud Pemerhatian Saya berasa dengan blog-blog yang sempat saya sebutkan tadi Merah Tinta Blog dan MSO Melayu, darjat Sultan sudah jatuh, dijatuhkan, diperli. Jadi dengan yang demikian perlu diambil tindakan agar kita dapat fahami negara ini masih ada struktur dan prasarana perundangannya. Pergi kita sekarang ke Parlimen bawah pokok, ia apabila orang berkata berunding waktu malam dia kata, bertindak waktu siang. Yang kawankawan kita ini, masuklah pakat ke, berunding ke, siang malam sama sahaja. Jadi itu tidak mengapa, inilah pertama kali dapat saya nyatakan sesuatu kumpulan dewan undangan atau legislatif bermesyuarat di bawah pokok dan tidak di dalam dewan.


Untuk itu kita perlu wujud satu pemerhatian kita terhadap “perintah – perintah tetap Dewan Undangan Negeri Perak Darul Ridzuan”. Kelakuan di dalam dewan ditentukan oleh peraturan ini. Tetapi peraturan ini tertakluk kepada perkara 30 Perlembagaan negeri Perak. Jadi saya di sini bacakan supaya kita sebagai pegawai boleh kenal tentang apa yang hakiki, dan apa yang cakap-cakap.


Perkara 36 dalam Perlembagaan negeri Perak “Ke bawah Duli Tuanku hendaklah dari masa ke masa memanggil yakni mewujudkan assembly legislative atau perhimpunan perundangan. Perkataan itu “hendaklah” dengan lain perkataan, sebelum sesuatu sidang lain dilakukan, wajar atau tidak dipohon persetujuan Diraja, jawabnya wajar. Di Persekutuan, Parlimen terdiri daripada tiga komponen;

• Yang di-Pertuan Agong,
• Dewan Rakyat.
• Dewan Negara

Tetapi di negeri ada dua komponen sahaja, Raja dan Dewan Undangan Negeri. tiada Raja, tiada kelulusan raja, dewan undangan negeri tidak boleh bersidang. Tidak boleh diadakan perhimpunan sidang, apatah lagi berhimpun di bawah pokok. Mudah, tinggal lagi mahu tak mahu kita membawa ini sebagai deklarasi dalam mahkamah. Ini bukan kerja sebarang pihak, ini kerja seorang yang mentelaah undangundang dan mentadbir negara menerusi enforcement atau penguatkuasaan. Bersidang sahaja yang bernama Siva Kumar dengan rakan-rakannya di bawah pokok, kita dah siap dah untuk menyatakan menerusi polis diraja dan juga menerusi penguatkuasaan perundangan negara. Anda tidak boleh bersidang di situ.

Pertama, melanggar Seksyen 27 Akta Polis iaitu sebelum kita bersidang, berhimpun lebih daripada lima orang mesti minta kelulusan pihak berkuasa polis Diraja. “adakah dipohon, jika dipohon, siapa yang membenarkan dia bermesyuarat di bawah ramairamai. Ini kita mesti tahu halnya, jadi orang itu berjalan lagaknya ke pokok,Tidak mengapa kalau bersidang di situ. Biarlah kami duduk sahaja di sini.

Kuasa di bawah 89


Perangai macam ini, tindakan macam ini membawa negara kita nanti ke satu tahap di mana orang tidak hormat lagi kepada undang-undang kita. Jadi saudara hendak menyampaikan kepada orang kampung bagaimana? Sebab asasnya di sini tidak sempurna. Itu yang saya nak sebutkan. Jadi, dengan yang demikian di bawah peruntukan ini, hari itu Siva Kumar berkata “I have all the powers under 89” katanya.

Saya bacakan yang 89 itu, kata beliau;

Apa saja persoalan berkaitan dengan prosedur dan kaedah di dalam dewan untuk menyempurnakan tugas adalah keputusan speaker. Baiklah, tetapi hal-hal yang bergantung atau yang berkaitan mana-mana jawatan kuasa khas yang dulu menggantung Menteri Besar dan enam orang Exco tidak boleh dilunaskan tanpa kelulusan Dewan. Dia tidak boleh seorang buat, jadi MB Perak kita janganlah gaduh benar.

Yang saya tidak setuju beliau dengan 6 orang sekutunya pergi menghadap Siva. Itu yang saya tidak setuju , pendeknya beliau tidak payah pergi pada masa itu. Lantaran tiada perkara yang memaksa beliau untuk mendapatkan titah daripada Siva Kumar. Itu saja. Dan yang pelik lagi pada saat undang-undang pada masa itu, tidak tahu di mana, bagaimana dinasihati Ketua Eksekutif Negeri Perak pada masa itu. Ini soal yang perlu kita bereskan, jika tidak kita tidak sampai ke mana dalam perkara yang hendak kita bincangkan ini. Petisyen kepada Dewan Undangan Negeri .

Saudara Saudari yang dihormati sekalian,

89 tadi saya sebut telah dijelaskan. Dan kemudian saya pergi kepada bab di mana kita kehilangan cara, bagaimana kita hendak mengadakan petisyen kepada Dewan Undangan Negeri. Saya hendak tanya rakan-rakan di Perak, sudah kah Timbalan Speaker dilantik? Kalau tidak dilantik, kenapa tidak dilantik?


Sebab kalau dilantik deputy speaker, Encik Siva, beliau boleh berada di luar, deputy speaker boleh jalankan tugas. Dan kalau saudara Shaari ada kenapa tidak dilaksanakan tuntutan Seksyen 18 yakni katanya, tiap-tiap permohonan kepada dewan hendaklah dengan cara petisyen dan tiap-tiap petisyen itu hendaklah dibawa oleh seorang ahli dan ahli-ahli yang membawanya adalah bertanggungjawab bagi menentukan petisyen itu berada dalam bahasa yang beradab. Dengan lain perkataan, orang-orang yang tertentu boleh mengemukakan petisyen untuk membetulkan keadaan dan di bawah 18(2) jelas disebut di situ, jika tandatangan diturunkan pada lebih sehelai kertas maka permohonan petisyen itu hendaklah ditulis di kepala tiap-tiap helai kertas itu.


Bermakna lebih seorang boleh petisyen. Dewan boleh bersidang, tetapi perlu pohon Tuanku. Dengan keadaan begitu saudara saudari, masing-masing sekarang memberi takrif masing-masing. Penyelesaian Politik Jadi saya sebenarnya, tidak mahu mencelarukan pemikiran kita selain daripada apa yang diperturunkan di bawah undang-undang kita. Saya boleh ceramah, celoteh politik hari ini tapi bukan itu tujuan saya.


Tujuan saya adalah menerangkan bab-bab yang seharusnya menerima pemerhatian pihak-pihak berkuasa, tetapi jika saudara saudari dapati perkara-perkara ini tidak diberi satu penumpuan yang tertentu. Itu adalah hal-hal yang diluar kemampuan kita pada pagi ini. Jadi kalau dah sedemikian, apa yang harus kita buat, kalau hendak cakap sahaja, mudah. Pertama, pada hemat saya, jawatankuasa bertindak yang autoritatif diwujudkan. Saya percaya sudah diwujudkan, kalau sudah diwujudkan, lunas-lunas penguatkuasaan tadi dilaksanakan. Jadi sekarang orang kata, lebih baiklah kita tunggu keputusan mahkamah, sebaik-baik penyelesaian perkara ini, ialah penyelesaian politik.


Sebab yang diputuskan oleh mahkamah itu seperti mana kesnya pada tahun 1994, saya sebutkan tadi. Mungkin lambat dan mungkin tidak menepati apa yang kita perlukan sekarang. Bila lewat, orang akan berkata, kerajaan tidak mengambil tindakan cepat dan tidak berkesan lantaran orang ramai masih bercakap-cakap. Sementara itu, bukan sedikit pihak sekarang yang menyuarakan perlu diadakan pilihanraya kecil katanya, perlu dibubarkan dewan. Jadi termasuklah pemimpin PAS di Kelantan yang saya sebutkan tadi, yang menyatakan haramlah, begitu begini.


Kepada orang kampung kita, hal-hal yang saya sebutkan ini, mereka tidak dapat menerima sebagai fahaman biasa. Tetapi kalau dibahaskan mengikut apa yang telah dilaksanakan oleh Tuanku Sultan Negeri Perak, orang kampung akan faham juga. Jawatankuasa Bertindak Undang-undang dan Pentadbiran Negeri Perak Jadi tindakan sekarang, jawatankuasa bertindak ini, perlu siap sedia, menggunakan taktik dan urusan media yang paling tangkas. Bolehlah saya rumuskan hari ini, sekiranya media Malaysia tidak bertindak seperti yang pernah mereka bertindak Sekarang, keadaan ini tidak seburuk itu.


Hari-hari sekarang, cerita Perak ini, sudah meluas. Dan menurut Kementerian Luar di Singapura, mereka sangat minat perkembangan ini. Hari-hari berita besar. Tetapi berita besar ini, tidaklah menyeronokkan kita. Agak-agak memperkecilkan negara kita. Di Australia juga, berita ini meluas disebarkan, menunjukkan seakan-akan kita sudah tidak ada penghulu di kampung.

Seolah-olah, kita tidak tahu mana hendak pegang sebab itu terpegang hulu keris, sekejap, kemudian terpegang mata keris. Dalam pada masa itu pula, kita pula cepat sangat minta maaf. Pegang keris pun, kita maaf dah. Kita harus balik kepada apa yang diperjuangkan dan yang diperjuangkan ialah hak yang ada pada kita mengikut Perlembagaan kita. Orang tidak boleh usik lagi.

Zaman beredar, persaka bergilir, memang, tetapi bila bergilir persaka tadi, dia mesti bergilir pada yang lebih kuat. Dan apabila penghulu tadi bercakap, menyatakan sesuatu, ia mesti jelas. Sebab “clarity of mind” atau kejernihan pemikiran itulah yang boleh kita terjemahkan. Soal apology, apoligatic akan melemahkan kita”.


Jadi sekarang jawatankuasa bertindak undang-undang dan pentadbiran negeri Perak di bawah Menteri Besar kita perlu tangkas dan cepat. Peruntukan 40 perkara di bawah Perlembgaan Berbalik kepada keadan BN, ini saya mohon supaya ditarikan balik perkara 16 tadi. Sekiranya Tuanku sultan Perak, tiba-tiba sekarang berasa, “baiklah” kata beliau, “beta nak bubarkan di bawah perkara 16 (2), 16 (3), boleh dibubar. Kita tidak dapat halang.


Tetapi mesti ada pihak menyuarakan kepada baginda, kalau dibubar, pilihan raya di seluruh negeri Perak ini, bagaimana kemungkinannya, kemenangannya, kemungkinan kekalahannya, disembah kepada baginda?

Jadi untuk itu, kita memuaskan peruntukan 40 perkara di bawah Perlembagaan persekutuan, raja dinasihati, tinggal lagi, baginda setuju atau tidak, di bawah perkara 16, itu terserah kepadabaginda. Sekurang-kurangnya itu diberikan kepada baginda nampak adil. Jadi pihak-pihak yang kritik kita sekarang berkata, BN takut katanya, untuk berpilihan raya, membubar dewan. Jadi itu, sudah jadi satu psikologi atau penjiwaan yang tidak semestinya kita terima dengan terbuka sahaja.

Yang kedua ialah, cara kita menyampaikan kepada orang-orang di kedai kopi tentang tohmahan dan juga sisipan tohmahan-tohmahan dari pihak-pihak yang menentang Kerajaan kita. Saya beranggapan, setiap yang hadir pada pagi ini, adalah pejuang kerajaan kita. Bukan yang lain, sebab itu saya berani mengatakan perkara ini. Tapi kalau kita keluar dari dewan ini, dan “mengciskan”, kita tidak akan pergi ke mana. Jadi setiap pegawai JASA dan Pegawai Penerangan kita lepas ini, sedikit sebanyak mainkan peranan kita tadi.


Kalau perlu kita buat satu kartu, kad, kita catitlah di situ menyokong Sultan, menyokong kerajaan kita, kenapa, apa yang ditohmah oleh Nik Aziz, oleh Karpal Sigh, oleh blogger-blogger ini, adalah penghancur tanah air kita. dalam pada itu, penghulu dan juga juak-juaknya, harus memberi penerangan kepada Sultan, kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar supaya langkah yang hadapan kita ambil.

Saudara Saudari,

Dalam perenggan terakhir penyampaian saya pada pagi ini oleh kerana masa sudah suntuk. Ada satu kes bernama, “Aditbengro Aqintola”, kes ini berlaku di Nigeria . pada tahun 1959. Di situ telah dipertikaikan pelantikan seorang yang tinggi pangkatnya di Nigeria. Tetapi, dengan cara di bawah perlembagaan Nigeria maka diganti beliau itu dengan seorang pada pandangan pihak berkuasa boleh memuaskan peruntukan Perlembagaan.


Samalah dengan Perak hari ini. Pada tahun 1966, ada satu kes namanya “”Stephen Kaloningkan” diputuskan di negeri Sarawak , juga nas nya berbunyi bahawa penentuan majoriti yang ada di dewan itu boleh dipakai. Tetapi bukan hanya untuk menentukan situasi seratus peratus. Kes itu juga disokong oleh kes yang saya sebut tadi Taha bin Haji Mustafa.

Seterusnya, soal undang-undang sekarang tidak sabit sangat lagi Lantaran sudah dibawa ke mahkamah, pintu mahkamah sudah terbuka maka kita terpaksa menunggu satu atau dua deklarasi mahkamah itu sendiri. Pada masa yang sama penerangan kita harus berjalan dan kita harus menitik beratkan kesepakatan point-point yang hendak kita sampaikan tadi. Kalau seramai ini lah kita, sama-sama mainkan peranan jangankan kata di Bukit Gantang, di ketiga-tiga bukit itu kita boleh menang.


Menyatakan pada mereka. sekarang orang tidak pentingkan lagi pembangunan jalan, buat rumah. Sekarang pihak pihak muda dalam blog dan sebagainya, Mereka menggunakan tilaah pemikiran minda yang berlainan. Justeru kita mesti menyesuaikan pemikiran kita kepada situasi tersebut.

Pertahankan Perlembagaan

Baiklah, kalau Sayuti dalam blognya tadi memperkecilkan Raja kita, siapa di kalangan pejuang-pejuang UMNO ke, siapa ke yang membalas balik atau menghentam Sayuti. Puas saya mencari blog, hingga ter block mata saya, tiada. Ini bukan soal undangundang sangat, Sayuti dulu kerja dengan Berita Harian, sekarang dia bantai Sultan kita, dia memperkecilkan Sultan kita, Dengan kata-kata sinis, dengan kedurjanaan yang amat mematahkan kesultanan kita .


jadi saya hendak beritahu satu perkara ini agak pedih sikit. Semua ini dirancang sebab mereka tidak mahu lagi orang Melayu yang bernaung di bawah kerajaan yang kuat wujud di tanah air ini. Ini adalah satu skim untuk menjatuhkan satu tamadun kuasa besar di Malaysia untuk diganti dengan sistem mereka.


Saya faham sekiranya mereka berjaya, buku inilah( Perlembagaan Persekutuan) yang mereka akan tukar secepat mungkin. Mereka akan tukar 153, hak istimewa orang Melayu. Mereka akan tukar bab berkaitan bahasa Melayu. (159 ) Mereka akan menukar berkaitan dengan kekuasaan diraja (38) mereka akan cuba bancuh dan buang hal-hal yang berkaitan memberi kuasa kepada pihak-pihak Diraja dan lain-lain.

Bangkitlah Melayu

Saya faham tahun 1993, sayalah yang membantah supaya pindaan kuasa Diraja itu tidak dilakukan. Pada masa itu tidak tahulah, hadirin berada dalam JASA atau tidak. Ketika itu kita menyatakan Perkara 181. Jangan disentuh sebab itu sinonim dengan mercu lambang simbol kekuatan Diraja masa itu. Tapi saya hilang suara, dipinda juga. Saya tidak mahu memperkecilkan siapa-siapa, tetapi inilah bahangnya yang dirasai pada hari ini. Orang boleh layangkan saman terhadap seseorang raja, boleh diseret ke mahkamah. Soal saya, adakah Queen boleh di buat begitu,?


Tidak.. adakah Raja Belanda boleh dibuat begitu? Tidak. Kenapa kita buat, sejarah telah menjawab. Jadi bagi kita, hendak pergi balik ke 1993, jauh benar, tidak boleh, letih kita. iya tidak
iya, kalau parang beletong, parang beletong lah kita ambil. Kalau tongkat, tongkat lah, kita ambil.Tetapi pemikiran mesti jernih. Tujuan mereka sekarang adalah menjatuhkan Melayu yang ada di bawah UMNO.


Bila jatuh dan pecah ini, ini tidak jadi pasal lagi. Itu dia. Kalau kita tidak mahu menerima itu sebagai hakikat bermakna pandangan kita tidak terus. Dengan itu, barangkali kita boleh merasai pada hari ini , kawan-kawan kita bukan Melayu pun ada di sini. Tapi beliau-beliau ini faham jika, sistem kita diadun baik-baik dan diperkukuh setelah kita tahu kesilapan kita. Dato’ Sri Mohd Najib boleh pimpin negara ini lebih hebat daripada yang lalu.

Beliau boleh mengatur balik apa-apa kesilapan kita yang pernah berlaku dan telah dilakukan. Untuk itu kita mesti jelas tindakan-tindakan yang hendak kita ambil sekarang. Jadi saudara saudari semualah pelengkaplah kepadanya. Boleh lah saya anggap begini, hadir kita di dewan ini seperti rangkap lama “hari sedang tengah hari, sedang lah buntar bayang-bayang , kita semua
datang ke mari, lantaran hanya untuk berjuang.


Ini saudara berjuang, saya berjuang. Perjuangan Belum Selesai Jadi perjuangan ini tidak selesai begitu sahaja. Walaupun orang kata “apalah Rais nasi sudah jadi bubur” inilah perangai orang kita, nasi dah jadi bubur dia kata, tidak boleh buat apa lagi. Saya nak sebut pada mereka , mana dia sempadan kota, nun di sana dekat kubur. Apa lagi nak dikata, nasi terjerang dah jadi bubur. Boleh, tapi bubur boleh kita keringkan balik. Bubur orang cina tambah sawi, tambah ikan bilis, tambah ikan masin, tambah dengan telur.


Kalau tidak suka begitu, kita jemur di tengah hari. Kita jadikan makanan macam Kellogs. Boleh kita buat. Tapi semangat seperti ini mesti ada di kalangan kita. Kita jangan sesekali kata kita kalah. Kita mesti berjuang terus dengan ilmu kita dan kebolehan kita dan seramai ini yang ada pada kita.


Kita boleh terbalikkan perjuangan dan memberi segala yang boleh pada negeri Perak.

Saudara saudari ,
Jadi kalau saya teruskan lagu itu, dia jadi ceramah politik. Saya telah diperingatkan oleh Datuk Abu dan Datuk Lah. Kata mereka bab Datuk Seri hanya perundangan. Jadi saya fikir 98 peratus saya sudah cuba penyampaian ini dalam konteks tersebut, yang dua peratus tadi tuan-tuan, saudara saudari timbanglah. Saya mengakhiri dengan serangkap pantun;

Megatakan kuih bahulu sudah dikirim,
tidak lama lagi sampai lah ia,
sekian dahulu sidang hadirin,
lain kali disambung pula.

Wassalmualaikum warahmatullah hiwabarakatuh

No comments:

Post a Comment

PETA PELAYAR