FOLLOWERS

Wednesday, 6 May 2009

PASUKAN PERUNDING TEBUSAN : DSP BEH ENG LAI


Penghuni Gua dapat mendapat kertas kerja ini kiriman kawan lama DSP Beh Eng Lai untuk disiarkan di Blog ini yang mungkin boleh dimenafaatkan oleh pihak yang terlibat. Terutama muka baru dalam bidang ini.

Pasukan Perunding Tebusan Dalam Menghadapi Situasi Tebusan

Pendahuluan

Kejadian penjenayah menahan orang tebusan untuk pencapaian sesuatu objektif telah berlaku beberapa dekad yang lampau. Di Old Testament, orang Israel dan musuhnya saling tangkap menangkap orang tawanan, kadang kala bertujuan untuk menghentikan peperangan dan ada kalanya sebagai motif untuk mengindoktrinasikan negara yang ditawan supaya mematuhi kehendak negara penawan di samping melemahkan sumber-sumber asli negara yang kalah.


Sementara itu di Afrika, orang-orang tawanan dijadikan sebagai tebusan untuk dijual atau digunakan sebagai hamba abdi. Pada zaman dahulu, orang tebusan sering dijadikan sebagai jaminan kepada bayaran atau cagaran menentang peperangan. Orang Roman pula, penahanan orang tebusan lebih bermotifkan sebagai jaminan untuk membuat sesuatu perjanjian (Call, 1999).


Di Eropah, pedagang ditangkap untuk menebus pulangan hutang daripada pedagang lain (Souchon, 1976). Dalam situasi tertentu, orang tebusan pula digunakan oleh penjenayah untuk mengugut bayaran daripada pihak ketiga. Umpamanya, lanun menangkap orang tebusan and meminta ufti daripada orang lain yang menghargai nyawa orang tebusan (Call, 1999).


Konsep pengendalian orang tebusan pada zaman dahulu adalah lebih ringkas yang mana kurang pertimbangan diberi nyawa penjenayah terbabit. Banyak insiden yang berlaku telah mengakibatkan para penjenayah ditembak mati oleh pihak berkuasa yang tidak cenderung bertoleransi dan berunding dengan penjenayah. Fenomena ini mungkin disebabkan kekurangan pengetahuan dan kemahiran berunding di kalangan pegawai polis.


Namun begitu, polis moden kini perlu menganjak paradigma memanipulasikan konsep teknik berunding yang lebih bersistematik untuk menjamin keselamatan nyawa orang tebusan serta menghadap penjenayah ke muka pengadilan. Pada zaman moden, penjenayah-penjenayah dan orang-orang terganggu emosi tidak lagi menahan orang tebusan untuk memperoleh kuasa politik atau ekonomi yang besar; sebaliknya mereka menggunakan orang tebusan untuk memaksa pihak berkuasa atau keluarga mangsa mematuhi permintaan mereka atau bagi tujuan untuk meluahkan perasaan emosi mereka.


Kebelakangan ini, penahanan seseorang orang tebusan telah dijadikan sebagai cubaan untuk memperoleh kuasa peribadi oleh individu yang terperangkap dalam suatu perbuatan jenayah, atau oleh mana-mana orang yang telah lama mengalami kesengsaraan ketiadaan kuasa (American Justice, 1994).

Peredaran zaman dan kemajuan teknologi telah membuka minda dan penambahan pengetahuan manusia sejagat, arus perkembangan tersebut telah menghasilkan pelbagai teknik penebusan yang canggih digunakan oleh para penjenayah. Situasi ini sekaligus menambahkan cabaran kepada pihak berkuasa untuk mencari penyelesaian sempurna tanpa menjejaskan keselamatan mangsa tebusan atau anggota keselamatan itu tersendiri.
Oleh itu, anggota keselamatan khususnya pihak polis yang seringkali menjadi barisan hadapan dalam menghadapi krisis sedemikian perlu melengkapkan diri dengan pelbagai strategi dan taktik yang relevan untuk memastikan kejayaan menyelesaikan sesuatu situasi tebusan, (Lewicki et. al, 1993). Kesilapan atau kecuaian pemakaian strategi dan teknik yang tepat dalam perundingan jenayah tebusan akan mengakibatkan risiko tinggi seperti kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda.


Beberapa insiden kegagalan menangani krisis di negara luar dapat dijadikan ikhtibar oleh pasukan keselamatan negara sebagai rujukan dan panduan untuk meningkatkan pengetahuan dan pengalaman diri.

Objektif-objektif penugasan ini adalah:

i. Meneliti sejauh mana kepentingan peranan Pasukan Perunding Tebusan (Hostage Negotiation Team) dalam menghadapi situasi tebusan.
ii. Menghuraikan peranan ahli-ahli Pasukan Perunding Tebusan dalam menentukan kejayaan menangani kes tebusan.
iii. Mengkaji insiden-insiden tebusan yang lampau, dan melihat keberkesanan mereka dalam mengaplikasikan strategi dan teknik perundingan yang relevan.

Metodologi Penugasan

Penugasan ini dibuat dengan mengumpul sumber sekunder melalui rujukan kepustakaan dan internet. Sumber sekunder yang dimaksudkan antaranya adalah buku-buku ilmiah, jurnal, latihan ilmiah, dan rencana. Matlamat utama pengumpulan bahan perpustakaan adalah untuk memberi input yang membina kepada penulis supaya dapat menyediakan kerangka penulisan yang berilmiah.

Definisi Aktor-Aktor Krisis Tebusan

Orang Tebusan (Hostage)

Orang yang ditahan sebagai cagaran untuk memperoleh sesuatu syarat atau permintaan tertentu (Michael J. McMains & Wayman C. Mullins, 1996:19). Orang tebusan akan berada dalam keadaan bahaya dan nyawa terancam jika situasi tebusan tidak dikendalikan dengan sempurna. Matlamat utama perundingan tebusan dibuat adalah untuk menyelamatkan nyawa orang tebusan, dan bukan memelihara keselamatan harta benda.

Schlossberg (1979a) menyatakan “pertimbangan yang paling penting dalam situasi ini adalah menyelamatkan nyawa dan keselamatan orang tebusan yang terancam, pegawai-pegawai polis, orang awam yang berada di tempat kejadian (bystanders) dan penjenayah-penjenayah itu sendiri.”

Penjenayah Tebusan (Hostage Taker)

Penjenayah tebusan adalah orang yang menangkap atau menahan seseorang mangsa sebagai tebusan atau objek penghalang, dan mengancam untuk melakukan keganasan ke atas mangsa tersebut. Orang-orang yang mempunyai gangguan mental, banduan dan pengganas, lazimnya menjadi penjenayah tebusan. Sifat seseorang penjenayah menahan orang tebusan adalah berbeza-beza berdasarkan faktor persekitaran.

Mereka menjadikan orang tebusan sebagai benteng pertahanan untuk memaksa kerajaan, suatu organisasi atau individu bagi memperoleh sesuatu yang diingini. Umpamanya kejadian rompakan yang berlaku pada tahun 1973 di John and Al’Sporting Good Store di Williamsburg, perompak yang terperangkap di tempat kejadian apabila dikepung oleh polis telah menjadikan pekerja dan pelanggan kedai sebagai orang tebusan atau benteng pertahanan untuk melepaskan diri (John 1986:6).


Kejadian yang berlaku disebabkan gangguan mental penjenayah tebusan adalah kes penahanan seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun di Baton, Rouge berhampiran New Orleans, Ameriksa Syarikat pada tahun 1981. Penjenayah tebusan Jullet Dyne Dudler menghadapi tekanan jiwa kronik, setelah dibuang kerja telah menangkap kanak-kanak perempuan itu yang sedang bermain dengan ibunya, dan membawanya ke tingkat atas bangunan.


Perunding telah memenuhi permintaan Dudler dengan membawa penyelia tempatnya bekerja ke tempat kejadian bagi mendengar keluhan Dudler tentang perasaan tidak berpuas hati beliau dibuang kerja. Akhirnya Dudler menyerah diri kepada polis sesudah merasai kekecewaannya diketahui umum.

Sementara itu, penjenayah-pejenayah tebusan yang bertindak atas faktor-faktor lain seperti ajaran sesat, penyalahgunaan dadah dan pembuatan senjatapi, serta fahaman anarki ialah pengepungan di Ruby Ridge, Idaho pada 1992, pengepungan di Waco, Texas pada 1993, dan pengepungan di Jordan, Montana pada 1996. Ketiga-tiga kes tersebut akan dikaji secara lebih teliti dalam penugasan ini.

Situasi Tebusan (Hostage Situation)

Situasi tebusan boleh berlaku di kalangan ahli-ahli keluarga, ahli keluarga dengan pekerja, perbalahan di kalangan pekerja yang mabuk, pelangan yang marah ke atas pekerja atau sebaliknya pekerja yang marah ke atas pelanggan di tempat kerja. Situasi tebusan merujuk kepada keadaan di mana seorang atau sekumpulan manusia ditahan secara tidak sah dan tanpa kerelaan mereka; tidak diberikan hak untuk bergerak dan bertindak; dan keadaan di mana penjenayah menahan seorang atau beberapa orang tanpa kerelaan sebagai alat tawar-menawar di suatu lokasi, dan menyerahkan diri kepada pihak polis selepas motif mereka dicapai (Hacker 1976: 36).

Melihat motivasi dan objektif penjenayah tebusan, Miron dan Goldstein (1979) mengatakan bahawa kejadian itu berlaku dalam dua nilai: nilai penting (instrumental value) atau nilai perasaan (expressive value). Perbuatan menahan orang tebusan dibentuk untuk mencapai sesuatu tuntutan - situasi yang berunsur nilai penting wujud untuk pertahanan dan keselamatan diri; sementara itu, nilai perasaan terjadi dalam keadaan penjenayah tebusan ingin mempamerkan kuasa mereka terhadap pihak berkuasa.
Seorang perompak terserempak dengan polis sewaktu melakukan rompakan, lalu menahan orang tebusan untuk memaksa pihak berkuasa bagi tujuan melepaskan diri – ini dikatakan tuntutan penting. Manakala, pengganas yang menahan orang tebusan untuk menarik perhatian pihak berkuasa, dan menunjukkan kelemahan kerajaan yang sedia ada adalah menggunakan jenis nilai perasaan. Memahami perbezaan motivasi tersebut adalah penting untuk menentukan jenis strategi, taktik and kemahiran yang diperlukan untuk menangani sesuatu situasi krisis.

Lazimnya, situasi tebusan akan melalui tiga fasa untuk selesai: Fasa Permulaan – kekerasan digunakan untuk menahan dan menguasai orang tebusan. Ia akan berakhir dalam tempoh yang singkat setelah tuntutan penjenayah tercapai. Fasa Kedua – ketika ini, pegawai-pegawai penguatkuasa undang-undang sudah sampai di tempat kejadian, dan tuntutan penjenayah diterima. Fasa ini boleh mengambil beberapa jam, hari atau bulan, atau boleh dikenali sebagai ”standoff phase”. Penjenayah dan orang tebusan berada di tempat yang sama.


Perundingan akan dijalankan dalam fasa ini sama ada mencapai persetujuan (making a deal) atau tidak mencapai persetujuan (not making a deal). Rundingan yang mencapai penyelesaian lazimnya terhad kepada persetujuan yang kecil seperti membekalkan minuman dan makanan, pengangkutan, liputan media dan sebagainya. Contohnya kejadian yang luar biasa merampas pesawat TWA Flight 847 pada tahun 1985.


Kerajaan Israel terpaksa memenuhi tuntutan pengganas Hezbollah dan membebaskan 766 banduan Shiites di penjara. Manakala rundingan yang mencapai penyelesaian akan mengakibatkan kemudaratan sama ada kematian atau kecederaan. Contohnya seperti kejadian tebusan oleh pengganas bersenjata Muslim Chechen di panggung wayang Russia pada Oktober 2002. Kerajaan Russia menolak perundingan dan melancarkan serangan ke atas pengganas. Akhirnya 129 orang tebusan mati kerana keracunan ”knockout gas” yang dilemparkan ke dalam panggung wayang.


Fasa Ketiga – fasa penamatan yang memperlihatkan penjenayah menyerah diri secara aman dan ditangkap; polis menyerang semua penjenayah dan membunuh atau menangkap mereka; penjenayah melarikan diri apabila tuntutan mereka dipenuhi.

Perunding Tebusan (Hostage Negotiator)

Perunding tebusan adalah jurucakap kepada pihak berkuasa yang mempunyai tanggungjawab utama untuk berkomunikasi dengan penjenayah tebusan. Perundingan merupakan suatu proses perbincangan atau tawar-menawar di antara penjenayah dengan pihak berkuasa dalam sesuatu krisis orang tebusan ditahan dengan tujuan untuk mencapai suatu persetujuan atau keputusan yang memberi faedah bersama (win-win situation) (Cohen 1980: 49).


Perundingan krisis adalah lebih kompleks dan berlainan dengan perundingan kehidupan harian manusia, yang mana perunding hendaklah terdiri daripada seseorang yang mempunyai pengetahuan, kemahiran, pengalaman serta pernah menjalani latihan yang rapi tentang situasi krisis tebusan. Kegagalan perundingan mungkin membawa padah dan menyebabkan nyawa orang tebusan terancam.

Menurut James (1998:35), seorang perunding perlu melaksanakan empat prasyarat asas untuk membantu strategi dan taktik perundingan iaitu memahami situasi tebusan, mengisolasikan kawasan (contain the area), membina hubungan baik (rapport), dan menentukan had setakat mana sesuatu perundingan itu berjalan. Kaedah perundingan adalah cara penyelesaian terbaik dalam menghadapi sesuatu situasi tebusan.

Kata Remsberg (1986:206), kaedah penyelesaian tanpa melalui perundingan lazimnya akan mengakibatkan kematian dan kerosakan yang besar. Beliau juga mengatakan bahawa strategi perundingan tebusan yang efektif adalah memujuk, menyedarkan, meyakinkan, mewujudkan kepercayaan dan membangkitkan perasaan positif dalam diri penjenayah sewaktu perundingan dijalankan untuk mengelakkan penjenayah daripada membahayakan nyawa orang tebusan.


Sarjana lain yang turut memberi sumbangan idea tentang kaedah perundingan yang berkesan adalah Taft (1980 ) dan Skolnick (1996): memastikan proses perundingan yang berterusan, mengelak daripada terlampau banyak memberi cadangan kepada penjenayah tebusan, bersikap sabar dan tenang, menolak untuk menentukan dan menerima had masa, mendorong penjenayah melepaskan kekecewaan, bersikap reflektif, tidak membangkang, menggunakan logik serta memberitahu jenis-jenis bantuan dan kerjasama yang mampu diberi kepada penjenayah tebusan. Walau bagaimanapun strategi perundingan adalah berbeza-beza bergantung kepada kerumitan sesuatu situasi tebusan (Panzarella & Alecia, 1997).

Hak Asasi Manusia Orang Tebusan

Seseorang ditahan untuk tujuan tebusan oleh penjenayah adalah tersekat dan terlucut hak untuk bergerak, berdamping dan bercakap keluarga, berkomunikasi dengan kawan, tersekat haknya untuk menikmati kehidupan secara bebas, dan lain-lain lagi. Hak-hak tersebut sebenarnya adalah hak asasi yang diberi kepada setiap manusia sejak mereka lahir di dunia ini.


Hak asasi ini juga boleh diertikan sebagai hak yang dasar atau hak pokok seperti kebebasan mengeluarkan pendapat, menganut agama, bergerak, berpelajaran, memiliki harta, menuntut kesamarataan dan lain-lain lagi. Nickel (1987) menyatakan bahawa . “Human rights are, literally, the rights that one has simply because one is a human being”.


Hak asasi manusia juga boleh dikatakan sebagai hak abadi yang tidak boleh dilucutkan: seseorang tidak boleh diberhentikan menjadi manusia, tidak kira sejauh mana buruknya tindaklaku seseorang itu, atau bagaimana kekejamannya seseorang itu dilayani. Dalam erti kata lain, hak asasi manusia adalah hak sejagat yang dimiliki oleh setiap umat manusia. Sekiranya hak tersebut dicabuli atau dinafikan, maka seseorang itu atau pemegang hak tersebut boleh membuat tuntutan khas untuk pampasan atau gantirugi.

To have a right to x is to be entitled to x. It is owed to you, belongs to you in particular. And is x is threatenend or denied, right-holders are authoriszed to make special claims that ordinarily “trump” utility, social policy, and other moral or political grounds for action (Dworkin 1977:xi, 90).

Selain daripada hak untuk membuat tuntutan sivil seperti di atas, seseorang yang dicabul hak kebebasan bergerak, juga wajib mendapat perlindungan undang-undang daripada pihak berkuasa. Penahanan orang tebusan merupakan suatu perbuatan jenayah di sisi undang-undang yang mana penjenayah yang terbabit boleh ditangkap dan dituduh dengan pelbagai jenis pertuduhan mengikut bentuk kesalahan yang dilakukan.

Perundangan Yang Berkaitan

Perbuatan penjenayah tebusan menahan orang tebusan bermakna dengan sengaja menahan orang itu daripada pergi ke mana-mana yang orang itu berhak pergi, adalah melakukan kesalahan halangan salah. Halangan salah itu akan menjadi pengurungan salah apabila orang tebusan itu tidak dibenarkan keluar dari lengkongan dinding atau sesuatu bangunan atau premis. Berikut adalah peruntukan undang-undang berkaitan:

a. Seksyen 341 Kanun Keseksaan – halangan salah
b. Seksyen 342 Kanun Keseksaan – pengurungan salah
c. Seksyen 343 Kanun Keseksaan – pengurungan salah selama tiga hari atau lebih.
d. Seksyen 344 Kanun Keseksaan – pengurungan salah selama sepuluh hari atau lebih.

Peruntukan undang-undang di atas hanya dikenakan ke atas penjenayah tebusan jika mereka tidak memiliki senjata atau senjatapi. Kesalahan bertambah serius jika mereka didapati menggunakan senjata pisau atau objek-objek lain yang membahayakan nyawa untuk mencapai matlamat mereka. Penjenayah tebusan akan dikenakan pertuduhan tambahan yang lebih berat jika perbuatan itu melibatkan penggunaan senjatapi atau bahan letupan. Pertuduhan-pertuduhan yang boleh dikenakan adalah:

a. Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357) – memiliki senjata berbahaya.
b. Seksyen 7(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357) – memiliki senjata yang dijadualkan.
c. Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) – memiliki bahan letupan tanpa tujuan yang sah di sisi undang-undang.
d. Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 (Akta 206) – memiliki senjata atau amunisi yang tidak sah di sisi undang-undang.
e. Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta37) – melepaskan tembakan sewaktu melakukan kesalahan berjadual.
f. Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta37) – melakukan kesalahan berjadual dengan menunjukkan senjatapi untuk mendatangkan ketakutan mati atau cedera kepada seseorang.

Pasukan Perunding Tebusan (Hostage Negotiation Team)

Di dalam apa-apa situasi krisis tebusan, dua orang pegawai yang paling penting: Komander Operasi – orang yang mempunyai kuasa penuh ke atas keseluruhan tempat kejadian dan kawalan ke atas semua pegawai penyelamat yang terlibat, dan Perunding – orang berkomunikasi secara langsung dengan penjenayah tebusan. McMains (1992) menyatakan bahawa suatu perkara penting yang membezakan perunding-perunding dengan pegawai-pegawai jalanan adalah kebolehan mereka untuk bekerja sebagai satu pasukan.
Mereka mengakui kejayaan penyelesaian suatu situasi krisis memerlukan kerjasama dan usaha gigih ramai orang. Mereka lebih gemar membangunkan kebolehan untuk bekerjasama dengan orang lain, berkomunikasi dengan orang lain, dan menyelesaikan masalah dengan orang daripada bekerja seorang diri (IACP, 1983).

Kerjasama pasukan perunding memerlukan kemahiran tertentu yang perlu dibina secara sistematik (IACP, 1983). Setiap ahli pasukan hendaklah mengetahui secara mendalam peranan masing-masing, serta peranan ahli lain supaya penggantian antara ahli dapat dibuat pada masa-masa tertentu. Pasukan perunding tebusan hendaklah mempunyai suatu matlamat yang sama untuk menyelesaikan masalah secara kolektif. Mereka haruslah mengakui bahawa dalam sesuatu situasi krisis luar biasa, sumbangan idea daripada setiap ahli amat mustahak untuk menjana suatu penyelesaian yang pantas dan efektif: dua otak berfikir adalah lebih baik daripada satu.


Namun begitu, setiap kumpulan harus mempunyai seorang ketua, dan prinsip yang sama dipakai dalam konteks ini. Seorang ketua atau penyelia perunding adalah diperlukan untuk menyelaras dan menyepadukan segala tanggungjawab serta kemahiran ahli-ahli agar misi operasi dapat dicapai dengan jayanya.

Noesner (1999) menekankan bahawa kerjasama berkumpulan dibentuk dan dimantapkan melalui proses kerjasama, latihan serta pembelajaran yang mencukupi supaya kekuatan dan kelemahan setiap ahli dikenalpasti. Sebaliknya, beliau menyatakan kerjasama yang baik bukan terbentuk semulajadi, tetapi adalah dibina. McMains (1995) dan Katzenbach & Smith (1993) menyatakan bahawa kejayaan sesuatu Pasukan Perunding Tebusan berkait rapat dengan faktor-faktor: size pasukan yang kecil, pemilihan orang yang berkemahiran, keseragaman idea dan matlamat yang jelas dan komited di kalangan ahli-ahli, dan sikap kebertanggungjawab semua ahli.


Sementara itu, Katzenbach & Smith (1993) juga telah menggariskan lapan langkah penting untuk membina suatu pasukan yang efektif iaitu mewujudkan hala tuju dan keperluan tindakan segera, memilih ahli-ahli yang berkemahiran dan berkeupayaan untuk membina kemahiran, tetapi bukan atas faktor keperibadian; berhati-hati mengadakan mesyuarat pertama pasukan, menetapkan peraturan-peraturan kelakuan untuk menjaga disiplin setiap ahli, berani mencuba dan mencari kaedah penugasan yang produktif, mencabar dan menguji kekuatan pasukan dari masa ke semasa, memperbanyakkan masa interaksi di kalangan ahli-ahli pasukan, dan mempercepatkan maklum balas yang positif, pengiktirafan, and ganjaran kepada ahli-ahli.


Bilangan Ahli Pasukan Perunding Tebusan


Pasukan perunding tebusan boleh terdiri daripada dua hingga lima orang. FBI (1993) mencadangkan saiz pasukan perunding yang ideal adalah tidak kurang daripada dua orang kerana terlampau banyak perkara hendak dilaksanakan dalam situasi itu, dan beban tugas yang berat itu sukar dipikul oleh seorang diri. Sebuah pasukan perunding hendaklah: mengumpul risikan mengenai insiden, penjenayah tebusan, orang tebusan dan lain-lain lagi dengan segera supaya perancangan yang strategik dapat, mengguna taktik yang efektif untuk meredakan situasi, mempengaruhi penjenayah tebusan, dan mengurangkan risiko kehilangan nyawa, menjalinkan komunikasi yang baik dengan penjenayah tebusan, merekodkan maklumat risikan yang relevan, mencatatkan rekod perundingan temasuk tuntutan dan janji, menyelenggara peralatan, serta menyelaras dan berkomunikasi dengan Komander Operasi dan Pasukan Taktikal.

Struktur Organisasi Pasukan Perunding


McMains (1991) menerangkan struktur organisasi sebuah pasukan perunding tebusan yang ideal yang diikuti oleh FBI harus merangkumi aktor-aktor penting iaitu:


1. Penyelia Pasukan: orang yang bertanggungjawab ke atas penugasan duti pasukan.
2. Perunding Pertama: orang yang bertanggungjawab untuk bercakap terus dengan penjenayah tebusan bagi membina taktik perbualan lisan, dan mengawas serta menilai tahap bangkitan emosi penjenayah tebusan, dan juga memberi perhatian ke atas maklumat yang tidak relevan daripada penjenayah tebusan.
3. Perunding Kedua: orang yang bertanggungjawab untuk memelihara rekod perhubungan dengan penjenayah tebusan (buku log / rakaman suara perundingan), membina pertuturan lisan dengan penjenayah tebusan, dan memberi sokongan moral kepada perunding pertama. Bertindak sebagai orang penghubung komunikasi antara perunding pertama dengan ahli-ahli pasukan lain, dan bersedia untuk mengganti perunding pertama bila perlu.
4. Pegawai Risikan: orang yang bertanggungjawab untuk mengumpul risikan mengenai keperibadian penjenayah tebusan; lokasi fizikal dan senjata yang digunakan dalam insiden; keadaan insiden; temubual dengan kawan-kawann, keluarga dan/atau tebusan yang telah dibebaskan; dan memelihara papan kenyataan maklumat.
5. Pakar Kesihatan Mental: orang yang bertanggungjawab untuk menilai keperibadian penjenayah tebusan, mencadangkan teknik merunding yang sesuai, mengawas tekanan mental pasukan, dan memberi nasihat yang sesuai. Beliau boleh terdiri daripada seorang ahli psikologi, pakar psikiatri, atau pekerja sosial yang terlatih serta berpengalaman dalam campur tangan krisis, konflik penyelesaian, and prinsip perundingan.


Setiap ahli pasukan harus boleh berfungsi dalam pelbagai peranan. Semua ahli akan berperanan sebagai pegawai risikan, dan aktiviti-aktiviti mereka adalah dikawal oleh Penyelia Perunding. Sebanyak sahaja strategi dibina dan komunikasi dengan penjenayah tebusan dilaksanakan, semua ahli akan kembali ke penugasan hakiki masing-masing. Aliran komunikasi Pasukan Perunding Tebusan yang lebih jelas digambarkan dalam


Rajah 1 di bawah.


Rajah 1. Aliran Komunikasi Pasukan Perunding Tebusan


Komander
Operasi
Pegawai
Risikan
Penyelaras
Perunding
Penjenayah
Tebusan
Perunding
Pertama
Perunding
Kedua
Pakar
Kesihatan Mental


(Sumber: McMains, 1992)

Pemilihan Perunding Yang Sesuai


Pemilihan perunding yang berkualiti adalah elemen penting dalam menentukan kejayaan sebuah pasukan perunding yang efektif. Setiap masa situasi tebusan memerlukan perunding yang berpengetahuan, berkemahiran dan berkebolehan untuk memujuk atau meyakinkan penjenayah-penjenayah tebusan menghentikan perjuangan mereka, dan menyerah diri kepada pihak berkuasa tanpa mencederakan orang tebusan.

Fuselier (1986) mencadangkan bahawa perunding mesti memperoleh sifat-sifat personaliti seperti berikut: kematangan emosi. perunding mesti boleh menerima serangan psikologi, tekanan bertoleransi, and elak daripada diganggu oleh emosi orang lain;

pendengaran yang baik dan kemahiran menemubual: boleh dipercayai, jujur, telus, dan boleh diharapkan. Seorang perunding harus dilihat sebagai ikhlas oleh orang lain; kebolehan menggunakan hujah yang logik untuk meyakinkan dan memujuk orang lain; kebolehan untuk berkomunikasi dengan semua lapisan masyarakat dan berlainan status sosial, serta mempunyai minat dan pengalaman yang banyak serta prasangka yang mininum;

kecerdasan otak yang tinggi; kebolehan untuk menghadapi keadaan yang berubah-ubah, dan mengenalpasti perubahan persekitaran, menilai sumber, fleksibel, dan menukar rancangan apa masa yang perlu; kebolehan untuk menerima tanggungjawab tanpa perlu diawasi; berkomitmen penuh ke atas pendekatan berunding dan percaya kepada falsafah perundingan; pemahaman tentang keperluan membantu perancangan melancarkan serangan apabila rundingan gagal


Mengikut Majlis Keselamatan Negara, Arahan No. 18, Kumpulan Perunding adalah terdiri daripada mereka yang terlatih dan berpengalaman dalam bidang perundingan dan berperanan sebagai kumpulan perhubungan dengan pihak pengganas dalam menerima, mengumpul dan menyampaikan maklumat untuk memudahkan Pasukan Pengurusan Krisis membuat keputusan.

Kuasa utama kumpulan ini adalah untuk mengekalkan perhubungan dan mengadakan perundingan dengan pihak pengganas bagi mencari penyelesaian secara damai tanpa menggunakan kekerasan berpandukan kepada arahan dasar Jawatan Kuasa Kawalan Keganasan dan pelan tindakan operasi Pasukan Pengurusan Krisis. Jawatan Kuasa Kawalan Keselamatan adalah bertanggungjawab membuat pemilihan dan perlantikan ke atas perunding-perunding berdasarkan kepada penilaian dan perakuan oleh Pasukan Pengurusan Krisis mengenai situasi di lapangan.

Pakar Kesihatan Mental (PKM)


Seorang pakar kesihatan yang mempunyai latar belakang atau pemahaman kerja polis atau perundingan tebusan akan menjadi aset bernilai untuk diserapkan kepada pasukan perundingan (Fuselier, 1986; FBI, 1993).

Peranannya amat penting untuk memberi input di situasi krisis kepada perunding dan komander operasi tentang kedudukan mental atau psikologi penjenayah tebusan. Input tersebut bernilai dan berfaedah untuk membantu perunding atau komander operasi bagi merancang atau menukar strategi perundingan mengikut keperluan situasi. Mengikut McMains (1991), pakar kesihatan mental akan dapat membekal empat nilai penting untuk membantu perunding dan jabatan polis sewaktu berlakunya situasi tebusan:

kepakaran tentang kelakuan manusia - dapat menilai sifat penjenayah tebusan, menilai keupayaan membunuh diri dan keagresifan penjenayah tebusan, dan membantu membina taktik perundingan yang efektif; membantu mengurangkan pendedahan tanggungan pihak berkuasa - tidak tersilap langkah dalam membuat sesuatu keputusan, dan memberi input yang penting agar situasi tebusan dapat diselesaikan dengan baik dan cepat;

meningkatkan imej awam terhadap jabatan polis - berusaha menyelesaikan situasi dengan kemudaratan yang minimum, terbuka kepada input bukan polis, dan menggunakan segala sumber yang ada termasuk kepakaran dalam perhubungan manusia, tekanan dan motivasi; menambahkan moral pasukan perunding -mengawas dan mengurangkan tahap tekanan mereka, dan membekal sokongan emosi dan input taktik bila perlu.


Kepentingan peranan PKM tidak dapat dinafikan dalam konteks penyelesaian situasi tebusan. Kehadiran mereka sudah tentu akan membantu pasukan perunding untuk memujuk penjenayah tebusan menyerah diri, atau mengurangkan kematian atau kecederaan orang tebusan. Di samping itu, mengikut Fuselier (1988), selain daripada menilai penjenayah tebusan, PKM juga digunakan untuk memberi kaunseling kepada pegawai-pegawai selepas insiden, menaklimatkan semula kepada pasukan, mencadangkan teknik berunding, berinteraksi dengan pakar kesihatan mental yang lain, menemubual ahli keluarga mangsa, serta memberi perkhidmatan kaunseling kepada mangsa.

Kesiapsagaan Malaysia Menghadapi Situasi Tebusan


Kerajaan Malaysia memang sedar akan peri pentingnya mewujudkan suatu garis panduan atau prosedur operasi piawaian (standard operating procedure) untuk menggemblengkan tenaga dan kepakaran semua agensi kerajaan untuk menangani sebarang situasi keganasan termasuk tebusan. Usaha dan kerjasama yang bersepadu (integrated) serta terselaras (coordinated) di antara agensi awam seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tenteram Malaysia (ATM), Bomba dan Pasukan Penyelamat, JPA3 dan lain-lain lagi amat mustahak untuk menyelesaikan sesuatu krisis keganasan. Sehubungan itu,


Majlis Keselamatan Negara, Arahan No. 18 (MKN 18)

– ‘Pengurusan Dan Pengendalian Krisis Keganasan’ telah dikeluarkan dengan mengambil kira beberapa insiden keganasan yang berlaku di dalam negara:


1. Penahanan ke atas Duta Besar Malaysia ke Peru oleh Kumpulan Pergerakan Revolusi Tupac Amaru (MRTA) pada Disember 1996.
2. Penculikan serta pembunuhan ke atas dua anggota polis di Bukit Jenalik, Sauk Perak oleh Kumpulan Al-Ma’unah pada 2 Jualai 2000.
3. Penculikan ke atas sembilan rakyat Malaysia dan dua puluh satu rakyat asing di Pulau Sipadan, Sabah yang kemudiannya dijadikan tebusan di Pulau Jolo, Selatan Filipina pada 23 April, 2001.
4. Penculikan ke atas tiga rakyat Malaysia di Pulau Pandanan, Sabah yang kemudiannya dijadikan tebusan di Jolo, Selatan Filipina pada 10 September 2001.

Dasar Mengenai Keganasan


Melihat beberapa insiden keganasan yang telah berlaku di dalam negara dan luar negara, kerajaan tidak boleh tidak mengambil berat tentang ancaman yang wujud sama ada secara nyata atau tersembunyi. Untuk itu, kerajaan telah menyediakan mekanisme serta dasar yang relevan untuk menghadapi situasi keganasan: menentang sebarang bentuk keganasan; melindungi nyawa orang tebusan atau harta benda; mencari penyelesaian menerusi rundingan; tidak menggunakan pertukaran orang tebusan sebagai langkah penyelesaian; dan menyetujui tindakan menggempur sebagai pilihan terakhir sekiranya usaha-usaha secara rundingan gagal.


Kajian Kes Situasi Tebusan


i. Pengepungan di Ruby Ridge, Idaho


Pengepungan di Ruby Ridge, Idaho berlaku pada 22 Ogos 1992 selepas seorang Timbalan U.S. Marshal, William Degan mati ditembak dalam suatu kejadian tembak-menembak dengan Randy Weaver (penjenayah utama), Sammy Weaver dan Kevin Harris pada pagi sebelumnya. Insiden tersebut juga mengakibatkan anak Randy bernama Sammy Weaver turut terkorban. Pasukan Penyelamat Tebusan (Hostage Rescue Team) dari Biro Penyiasatan Persekutuan (Federal Bureau of Investigation, FBI) di bawah komander operasi Richard Rogers diarahkan untuk mengendalikan krisis tersebut. Komander operasi menukar polisi menembak FBI atau lebih dikenali sebagai peraturan pertempuran (rules of engagement) daripada pertahanan kepada menyerang.

Penembak hendap (sniper) FBI boleh menembak mana-mana lelaki yang bersenjata di luar kabin sekiranya tembakan itu tidak membahayakan nyawa kanak-kanak.


Seramai 11 ahli penembak hendap FBI mengambil kedudukan di sekitar kabin, tempat penginapan Randy Weaver dan keluarga serta Kevin Harris setelah sampai di Ruby Ridge pada 22 Ogos 1992. Tiada perunding (negotiator) dihubungi atau dipanggil untuk datang ke tempat kejadian, dan tiada sesiapa memanggil Randy Weaver menyerah diri.

Pada hari yang sama jam lebih kurang 4.00pm, Randy Weaver, Kevin Harris (24 tahun) dan Sarah Weaver (15 tahun) keluar dari kabin untuk melihat mayat Sammy Weaver (14 tahun) yang diletak di rumah pam di belakang kabin. Sebaik sahaja melihat mereka keluar dari kabin, helikopter FBI berlepas (airborned). Randy Weaver terus mengangkat senjatapinya untuk menembak helikopter FBI.

Pada masa yang sama, penembak-penembak hendap FBI melepaskan tembakan lalu mencederakan tangan Randy Weaver. Randy, Sarah dan Kevin melarikan diri menghala ke kabin. Penembak hendap melepaskan lagi tembakan terhadap Randy tetapi salah satu butir peluru terkena badan Kevin Harris lalu menembusi pintu kabin dan membunuh Vicky Weaver yang sedang membuka pintu kabin untuk mereka bertiga masuk ke dalam.


Pengalaman pahit tersebut mengambil tempoh 10 hari untuk berakhir. Randy menyerah diri setelah FBI menggunakan orang tengah yang disanjungi Randy untuk memujuk dan meyakinkannya bahawa beliau akan dibela oleh seorang peguam yang masyhur. Hasil perbicaraan, Randy dan Kevin Harris dibebaskan daripada pertuduhan bunuh. Namun begitu, Randy dipenjarakan 13 bulan atas kesalahan pemilikan senjatapi.

Sebelum tuntutan sivil bermula, kerajaan Amerika Syarikat membuat penyelesaian di luar mahkamah dengan membayar pampasan kepada Randy sebanyak USD 3.2 juta. Sementara itu, lebih kurang 12 pegawai FBI yang terlibat dalam misi tersebut dikenakan tindakan disiplin, dan dipaksa bersara atas kesalahan menyembunyikan fakta sebenar. Malangnya, kelemahan dan kesilapan yang dibuat oleh FBI di Ruby Ridge berulang lagi di Waco, Texas pada tahun 1993.


Melihat senario yang berlaku dalam kes ini, dihujahkan bahawa kesilapan yang jelas berlaku adalah perunding tebusan tidak dipanggil untuk membantu. Struktur Pasukan Perunding Tebusan yang sebenar tidak dibentuk. Komander operasi Richard Rogers hanya mengharapkan pasukan taktikal iaitu penembak-penembak hendap (sniper) untuk memainkan peranan utama.

Kaedah pertempuran (rule of engagement) penembak hendap telah diubah daripada ala responsif kepada agresif. Walaupun perubahan kaedah tersebut tidak menampakkan berlaku kesilapan, namun tembakan berterusan setelah tembakan pertama yang mencederakan tangan Randy Weaver sewaktu beliau bersama anaknya, Sarah serta kawannya, Kevin melarikan diri ke kabin adalah suatu tindakan keterlaluan.

Sepatutnya, penjenayah-penjenayah tersebut dibiarkan masuk ke dalam kabin dahulu, dan kemudiannya memanggil Pasukan Perunding Tebusan untuk menyelesaikan situasi. Perunding yang datang kemudian telah menjalankan tugas dengan baik, dan disokong oleh bantuan pegawai risikan yang menyiasat latar belakang serta kelemahan Randy Weaver, dan akhirnya melalui orang tengah berjaya memujuknya menyerah diri. Adalah dirumuskan bahawa sekiranya Pasukan Perunding Tebusan digerakkan lebih awal, nescaya kes tersebut akan dapat diselesaikan dengan mudah, dan mengurangkan tanggungan kerajaan atas pemberian pampasan besar kepada penjenayah.

ii. Pengepungan di Waco, Texas


Pengepungan yang berlaku di Waco, Texas pada 28 Februari 1993 berikutan cubaan serangan yang dilancar oleh Bureau of Alcohol, Tobacco and Firearms (ATF) ke atas kawasan yang didiami oleh penjenayah Vernon Wayne Howell atau dikenali sebagai David Koresh bersama lebih kurang 100 orang pengikutnya termasuk beberapa dozen wanita dan dua dozen kanak-kanak.

David Koresh didapati membuat bom tangan, mengubahsuai senjatapi separuh-auto untuk menembak secara automatik, memproses dadah serta mencabul kehormatan ahli-ahli kumpulanm wanita. Kerahsiaan misi serangan ATF terbongkar akibat seorang pemberita yang sesat jalan ke destinasi untuk membuat liputan tertanya adik ipar David Koresh tentang lokasi operasi. Namun begitu, operasi serangan diteruskan ke atas kawasan tersebut walaupun telah diarahkan untuk membatalkan operasi oleh pegawai atasan disebabkan unsur-unsur mengejut (element of surprise) telah hilang.

Ekoran itu, operasi mengalami kekalahan yang teruk kerana David Koresh mempunyai kelengkapan senjata dan keanggotaan yang lebih besar daripada ATF. Dalam insiden tersebut, empat orang anggota ATF telah terkorban dan ramai lagi yang cedera. Sementara itu, enam orang ahli David Koresh turut mati.


ATF menarik diri dan kes diambilalih oleh FBI. Komander operasi dilantik daripada pegawai tempatan yang memahami tanggungjawab kawasan geografi, dan bukan berdasarkan kebolehan, kemahiran, pengalaman dan latihan. Krisis bermula pada 28 Februari 2009 dan tamat pada 19 April 2009 dengan melibatkan lebih kurang 720 pegawai keselamatan termasuk 25 orang perunding. Semua pegawai yang terlibat dalam operasi tidak dibenarkan bertukar orang dan dikekalkan sehingga operasi berakhir.


Semua talian komunikasi di kawasan itu dipotong oleh polis. Perunding bercakap dengan Koresh dan pembantunya melalui telefon. Koresh bersetuju melepaskan 2 orang kanak-kanak sebagai syarat untuk mendengar khutbah Kristian melalui radio. Pada 2 Mac, seramai 14 orang kanak-kanak telah dibebaskan atas syarat yang sama. Berikutnya Koresh menukar pemikiran, dan enggan membebaskan kanak-kanak lagi dengan alasan Tuhan memberitahu dan melarangnya untuk berbuat demikian.


Pada 15 Mac, perundingan berdepan muka telah dijalankan dengan pembantu kanan Koresh iaitu Steve Schneider tetapi tidak berkesan. Selepas 50 hari perundingan dibuat, para perunding mula kelihatan letih dan hilang kesabaran. Komander operasi terpaksa membuat keputusan menembak gas pemedih mata untuk menghalau penghuni keluar dari kawasan kepungan. Apabila ini gagal, kereta kebal digunakan untuk merempuh bangunan penjenayah. Tembakan gas pemedih mata itu telah mengakibatkan bangunan terbakar. Dalam itu melebihi 70 mayat ditemui, 30 daripadanya adalah mati kerana lemas, dua orang mati akibat dicederakan dengan benda tumpul, 20 mati ditembak dari jarak dekat dan sebagainya.


Hasil analisis yang dibuat oleh ATF, dua masalah utama dikenalpasti dalam pengendalian krisis iaitu gagal menggunakan risikan dan mengawal perimeter polis. Kegagalan bertindakbalas ke atas risikan yang diperoleh daripada agen pengintipan. Koresh dan pengikut-pengikutnya telah mengetahui lebih awal tentang serangan segera polis dan telah pun membuat persiapan awal. Sementara itu, kegagalan mengawal perimeter polis dan membenarkan wakil media mengikuti agen ATF masuk ke dalam kompound kepungan untuk membuat penggambaran kejadian tembak-menembak.


Scenerio kes ini menunjukkan bahawa pada mulanya perunding-perunding berjaya mendapatkan pembebasan 2 orang kanak-kanak sebagai tukar ganti penyiaran khutbah Kristian. Akan tetapi perunding gagal mendapatkan pembebasan kanak-kanak seterusnya setelah 14 orang dibebaskan berikutan Koresh menukar pendiriannya dengan alasan bahawa beliau mendapat arahan daripada Tuhan untuk tidak berbuat demikian. Sepatutnya perunding-perunding tersebut mengamalkan strategi yang dicadangkan oleh Fuselier (1986) yang antara lain mesti mempunyai kebolehan untuk menghadapi keadaan yang berubah-ubah dan menukar rancangan perundingan pada masa yang diperlukan.

Perundingan yang panjang sehingga memakan masa 50 hari adalah mudarat kerana ia bukan sahaja meletihkan fizikal, bahkan melemahkan mental para perunding. PKM tidak digunakan dalam kejadian ini untuk membantu meredakan tekanan mental yang dihadapi oleh perunding-perunding juga merupakan suatu kelemahan operasi. Tindakan lambat Komander Operasi ke atas maklumat pegawai risikan untuk menyerang kawasan kepungan membawa padah kepada situasi itu.

Keadaan memihak kepada penjenayah apabila mereka mengetahui lebih awal rancangan serangan polis, dan ini membolehkan mereka membuat persiapan rapi sehingga mengakibatkan empat orang pegawai ATF terbunuh serta ramai lagi tercedera. Pendek kata, Komander Operasi dalam kes ini tidak membuat perancangan teliti iaitu tidak mengutamakan kepakaran perunding, sebaliknya lebih mengharapkan pasukan taktikal untuk menamatkan pengepungan dengan lebih pantas.

iii. Pengepungan di Jordan, Montana


Kejadian berlaku pada awal tahun 1996, selepas pihak berkuasa menangkap dua orang ahli kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai “Freemen” iaitu LeRoy Schweitzer, umur 57 tahun dan Daniel Peterson, umur 53 tahun atas kesalahan menipu bank dan perniagaan melibatkan kerugian sebanyak USD 1.8 juta, serta mengugut nyawa seorang hakim persekutuan. Mereka berdua telah beroperasi di suatu kawasan terpencil sebesar 960 ekar di Clark Ranch dan menamakannya semula sebagai “Perbandaran Justus”. Kumpulan ini menentang kerajaan, dan enggan membayar apa-apa tax serta pinjaman perladangan kerajaan. Mereka seolah-olah penganut fahaman anarki dan akhirnya tercetus konfrontasi dengan pihak berkuasa.


Demi menangani krisis ini, pasukan FBI yang dipilih adalah jauh lebih cekap dan berpengalaman daripada pasukan bagi kedua-dua kes Ruby Ridge dan Waco. Anggota-anggota pasukan yang terlibat ditugaskan mengikut syif dan ditukarganti dalam tempoh satu ke dua minggu berdasarkan kepentingan tugas. Kejadian berlarutan selama 81 hari. Pasukan FBI tidak mengalami sebarang keletihan kerana penugasan digilir-gilirkan, dan sebaliknya memberi penekanan kepada pihak lawan.

Perundingan secara bersemuka telah dijalankan oleh perunding yang berpengalaman dalam suatu jarak yang dipersetujui oleh penjenayah dan dikawal rapi oleh ahli-ahli penembak hendap. Akhirnya, “Freemen” berjalan keluar dari ladang dan menyerah diri pada 13 Jun 1996.


Kejayaan FBI di Jordan, Montana adalah disebabkan beberapa faktor. Faktor yang paling utama adalah penukaran falsafah organisasi bertindak krisis. Ketua operasi krisis dipilih berdasarkan kebolehan serta pengalaman. dan bukan geografi. Perunding yang cekap serta pasukan taktikal yang seimbang, dan giliran tugas yang baik juga merupakan faktor-faktor penting kejayaan ini. Dengan mengambil iktibar kegagalan kes-kes di Ruby Ridge dan Waco, perancangan yang lebih rapi dan praktikal diambil oleh Komander Operasi.

Walaupun perundingan berdepan muka dibuat antara perunding dengan penjenayah adalah bahaya, namun perunding telah menggunakan strategi itu untuk meyakinkan penjenayah serta mendapatkan kepercayaan penjenayah untuk menyerah diri. Sesungguhnya, perunding telah mengeksploitasikan kelemahan penjenayah-penjenayah “Freemen” (pesakit paranoia) yang mengharapkan orang yang ikhlas dan boleh dipercayai untuk menyelesaikan masalahnya.

Pendek kata, seorang Komander Operasi yang berpengalaman dan berpengetahuan dengan dibantu oleh Pasukan Perundingan Tebusan yang berkemahiran dan berkomitmen akan dapat menangani sesuatu situasi tebusan dengan lebih berkesan tanpa mengakibatkan mana-mana nyawa terkorban atau tercedera.

Kesimpulan


Pasukan Perunding Tebusan yang mantap dengan komitmen, kemahiran dan personaliti merupakan kunci kejayaan untuk menghadapi krisis tebusan. Kepakaran dan kebolehan pasukan ini dalam berurusan dengan situasi tebusan bukan terbentuk semula jadi, tetapi harus melalui pelbagai latihan yang panjang, program pemupukan interaksi antara ahli-ahli yang kukuh, serta semangat kerjasama yang tinggi.

Setiap ahli hendaklah memainkan peranan penting dalam bidang masing-masing untuk mencapai satu matlamat utama iaitu menyelamatkan nyawa orang tebusan. Perunding-perunding yang berhadapan dengan penjenayah mempunyai tanggungjawab yang lebih berat dan signifikan berbanding dengan ahli-ahli lain pasukan. Kesabaran dan kepintaran otak perunding amat penting untuk memastikan kejayaan sesuatu rundingan.


Fisher & Danny (1995:56) menyatakan bahawa seseorang perunding perlulah melihat rundingan yang dijalankan sebagai satu proses penyelesaian masalah yang memerlukan kerjasama, dan bukan memerlukan konfrantasi dan persaingan. Perunding harus memahami konsep perundingan untuk mencapai suatu persetujuan atau keputusan yang memberi faedah bersama (win-win situation). Beliau mesti cekap dalam menentukan sesuatu rundingan sama ada mencapai persetujuan (making a deal ) atau tidak mencapai persetujuan (not making a deal). Dalam konteks kualiti dan kebolehan seorang perunding, ia harus dipilih secara teliti agar orang yang direkrut betul-betul berminat , dan mempunyai sifat-sifat peribadi yang baik seperti saranan Fuselier (1986).

Selain itu, pegawai risikan dan pakar kesihatan mental yang berkomitmen tinggi dan bertauliah harus juga diberi penekanan. Kedua-dua ahli dalam Pasukan Perunding Tebusan memainkan peranan yang signifikan dalam menentukan kejayaan sesuatu perundingan. Dalam konteks Malaysia, adalah didapati pakar kesihatan mental masih belum diberi perhatian yang utama, dan diharapkan kepentingan peranannya dapat diiktirafkan kelak.

Nota : Nak lebih cari dan baca e sendiri. Jangan main tiru buta aje. Buat bacaan tambahan. Semuga tulisan ini bermenafaat untuk semua samada yang masih belajar dan juga yang bekerja atau baru kerja. Tulisan ini bukan yang terbaik tetapi ia mungkin membantu. Rujukan terpaksa dibuang dari kertas kerja ini bagi mengelakkan dari pengklonan bulat-bulat dan nak mengajar supaya jangan cut and paste aje. Itu kerja pemalas namanya.

No comments:

Post a Comment

PETA PELAYAR