FOLLOWERS

Monday 27 April 2009

KEDAULATAN DYMM RAJA-RAJA BUKAN SEKADAR SIMBOLIK


27 apr 2009

Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman

Perlembagaan jamin kedudukan, status Sultan

Ramai antara kita yang biasa mendengar sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan, tetapi tidak ramai yang tahu apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan. Boleh Tan Sri jelaskan?

Ia satu perkara yang panjang. Tetapi apa yang penting, kita perlu balik kepada sejarah, iaitu sejarah Perlembagaan kita. Pentadbiran negara kita sekarang kerangka asasnya ialah Demokrasi Berparlimen dan satu lagi, Raja Berperlembagaan. Ini dua konsep yang penting. Asas pentadbiran negara ialah Perlembagaan iaitu Perlembagaan bertulis yang merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri yang lain. Perlembagaan ini ada sejarahnya, bukan timbul sebegitu saja. Jadi kita kena balik kepada asasnya. Sebelum merdeka, kita sudah ada Perlembagaan, peringkat Persekutuan dikenali Federation of Malaya Agreement atau Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.

Setiap negeri sudah ada Perlembagaan masing-masing. Jadi, kalau kita bincang Perlembagaan sekarang, kita tidak dapat lari daripada memperlihatkan isi kandungan Perlembagaan sebelum merdeka, terutama dari segi status dan kedudukan Raja-Raja Melayu. Saya nak jelaskan, sebelum merdeka, Tanah Melayu ada sembilan negeri yang dinaungi Raja dan dua negeri tidak beraja iaitu Pulau Pinang dan Melaka. Ini disebabkan statusnya sebagai Straits Settlements Crown Colony atau tanah jajahan British. Sembilan negeri itu dikenali 'Protected States' atau negeri dilindungi di bawah jagaan kerajaan Inggeris.

Ini bererti sembilan negeri itu, kedaulatan Raja atau Sultannya masih ada sebab ia bukan jajahan. Pemerintahan di bawah nasihat British tetapi pemerintahan harian diteruskan kerajaan negeri. Ada Menteri Besar, setiausaha kerajaan dan Penasihat Undang-Undang dan Sultan. Sultan itu ada dan kedaulatan serta kemuliaannya tidak terjejas. British cuma nasihat saja tetapi nasihatnya kita kena ikut sebab ada perjanjian dengan British. Sultan tandatangan perjanjian dengan British untuk jaga keselamatan supaya tidak diserang pihak lain kerana ketika itu, negeri Melayu tiada askar atau polis yang kuat.

Saya nak terangkan, kedaulatan Raja-Raja sudah ada apabila kita berunding untuk dapatkan kemerdekaan dengan British. Ia membabitkan pihak yang penting iaitu Raja-Raja Melayu, kerajaan British dan rakyat yang diwakili parti politik.

Dipendekkan cerita, jika Raja-Raja Melayu tidak bersetuju dengan kemerdekaan itu, kita tidak boleh merdeka walaupun British nak bagi kemerdekaan. Ini disebabkan sembilan negeri itu hak Raja-Raja Melayu. Ramai tak tahu fakta ini, terutama bangsa bukan Melayu. Mereka perlu faham fakta ini. Kerajaan British beri syarat, jika penduduk Tanah Melayu tiada persetujuan mengenai hak masing-masing, ia tak nak beri kemerdekaan. Jika kerajaan British tak nak beri kemerdekaan, kerajaan British boleh lepaskan semua negeri itu dan setiap satunya boleh merdeka di bawah Raja-Raja seperti yang berlaku kepada Brunei yang dilepaskan oleh British. Negeri-negeri Melayu pun boleh macam itu, tetapi kita tak buat macam itu sebab kita ada banyak bangsa. Ekonomi pun catat pertumbuhan baik hasil pembabitan dan usaha semua kaum dalam negeri itu.

Berbalik kepada sejarah tadi, memang ada peranan Raja. Ada kedaulatan Raja. Sebab itulah apabila Perlembagaan kemerdekaan 1957 itu dimaktubkan, ada kuasa tertentu dan ada peranan tertentu bagi Raja Melayu, sebab ini negeri baginda. Kita tidak boleh kata Raja ini simbolik saja. Kalau dulu kita kata mereka ini simbolik, sudah pasti mereka takkan setuju. Selepas itu ditubuhkan dalam Perlembagaan ada Majlis Raja-Raja, ada ketua negara, Yang di-Pertuan Agong iaitu raja yang dipilih oleh Majlis Raja-Raja. Majlis Raja-Raja pun bukan simbolik, sebab ada tugas tertentu. Dalam Perlembagaan Persekutuan ini, kita jamin kedudukan Perlembagaan Negeri yang ada, tidak terjejas kedudukan Raja-Raja Melayu di setiap negeri. Artikel 71 dan 181 Perlembagaan misalnya, memberi jaminan kedaulatan dan kedudukan Raja-Raja.

Kewujudan institusi diraja dan Raja Berperlembagaan itu memang sudah jelas termaktub. Persoalannya, apakah kepentingan institusi berkenaan?

Perkara penting yang saya nampak ialah kebesaran, kemuliaan dan prerogatif bagi Raja Melayu di setiap negeri dijamin dalam Perlembagaan. Ini semua memberi pengaruh, persepsi kepada rakyat bahawa tempat rakyat berlindung ialah kedaulatan Raja ini.

Institusi politik dan sebagainya boleh bertukar, tetapi institusi beraja tidak bertukar. Rakyat anggapkan institusi Raja-Raja sebagai tempat terakhir untuk mereka mengadu jika ada perkara besar-besar (pertikaian) yang berlaku. Raja sebagai orang tengah yang tidak memihak mana-mana pihak.

Ini bukan Raja di negara kita saja, tetapi juga sama seperti di negara lain di United Kingdom yang ada Ratu. Jika dilihat di United Kingdom, tidak ada Perlembagaan pun. Tapi ia lebih kepada aspek adat dan amalan mereka, apa yang sudah dipraktikkan sejak zaman berzaman. Rakyat pandang tinggi terhadap Ratu mereka. Jika ada masalah, Ratu memainkan peranan. Apa juga kata Ratu, dihormati semua orang. Itu di England.

Begitu juga di Thailand, pengaruh rajanya amat kuat biarpun dalam Perlembagaannya tidak sebut soal kuasa raja. Walaupun tak disebut, rakyatnya pandang raja sebagai tempat terakhir untuk mengadu. Sebab itu berlaku banyak kali, rajanya terpaksa campur tangan untuk selesaikan isu yang timbul.

Penjelasannya, kuasa raja dalam Perlembagaan tidak tertakluk kepada apa yang bertulis saja tetapi juga apa dikenali sebagai amalan atau praktik yang turut memberi pengaruh. Maknanya kita tidak boleh mengetepikan aspek seperti adat resam.

Satu lagi yang berkait dengan raja ialah agama Islam. Sudah turun temurun, kuasa Raja Melayu ini memang berkait rapat dengan agama Islam. Asas pemerintahan Raja Melayu adalah agama Islam. Oleh itu, apabila kita merdeka, satu perkara yang ditekankan oleh Raja-Raja Melayu dan juga wakil orang Melayu, agama Islam perlu menjadi agama Persekutuan. Perkataan rasmi itu tiada sebab dari awal lagi dan dari dulu lagi, agama Islam sebagai asas pentadbiran Raja-Raja Melayu. Dalam Perlembagaan Negeri sudah pun ada.

Perkara kedua, hak istimewa orang Melayu, yang sudah pun ada dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948. Dalam perundingan itu, tidak timbul keperluan untuk berunding dengan siapa-siapa lagi dan ia dibawa saja ke Perlembagaan 1957 yang bertujuan menjamin Perlembagaan sedia ada. Kita cuma bawa ke depan saja. Ini asasnya dan kita kena faham.

Saya sendiri sudah banyak kali beri syarahan kepada semua penduduk dalam negara kita ini. Semua bangsa, tak kira Melayu atau bangsa lain, perlu faham fakta ini. Ada juga Melayu yang tak faham. Semua kena faham sejarah Perlembagaan. Kalau masih tak faham, kita kena faham peruntukan dalam Perlembagaan. Sebab apa ada Artikel 153? Sebab apa ada bahasa kebangsaan? Sebab apa agama Islam jadi agama Persekutuan? Ini sebabnya, semua perkara ini ada asasnya. Ia merangkumi apa yang sudah termaktub sejak dulu lagi. Apa yang dibuat sudah ada dalam sejarah beratus-ratus tahun lalu.

Jadi kedaulatan Raja-Raja bukan perkara baru dan tidak terjejas. Ia pernah terjejas selama dua tahun disebabkan Malayan Union iaitu pada 1946 dan 1947 kerana dalam Malayan Union, kerajaan British ambil alih semua sekali, termasuk kuasa raja dan kerajaan di bawahnya. Kemudian, orang Melayu diketuai Datuk Onn Jaafar, buat bantahan sekeras-kerasnya sehingga British setuju untuk bubarkan. Selepas 1946, kedaulatan Raja-Raja dan kerajaan Melayu dikembalikan dan diletakkan di bawah perjanjian 1948. Inilah asasnya yang membawa kepada Perlembagaan 1957.

Malangnya, Tan Sri, kita perlu akui hakikat ramai yang terus mempertikaikan institusi ini. Masih ada yang tidak nampak peranan sebenar atau kepentingan Raja-Raja Melayu dalam pemerintahan negara sehingga mencetuskan kekecohan seperti yang berlaku sekarang?

Raja memang ada peranan penting, Raja Berperlembagaan. Satu perkara, dalam Perlembagaan Persekutuan dan Negeri ada sebut beberapa kuasa. Ada sebut mengenai kuasa Raja-Raja. Dalam Perlembagaan Persekutuan, Artikel 40, menyentuh kuasa Yang di-Pertuan Agong, manakala Artikel 48, merujuk kuasa Majlis Raja-Raja. Itu bertulis. Saya rasa ada perkara yang menyatakan Raja (di peringkat Persekutuan) iaitu Yang di-Pertuan Agong dan Raja (peringkat negeri) hendaklah menjalankan tugasnya mengikut nasihat yang diberikan kerajaan dalam sistem Raja Berperlembagaan, iaitu Jemaah Menteri pada peringkat Persekutuan dan peringkat Negeri, jemaah Exco. Ini perkara yang dipanggil sebagai Raja Berperlembagaan. Raja memerintah ikut nasihat kerajaan dan wakil kerajaan ini dipilih oleh rakyat. Rakyat bersuara melalui wakil-wakilnya, menasihat Raja. Ada yang mempersoalkan sekiranya nasihat daripada Jemaah Menteri dan Exco tidak dipersetujui Raja, bagaimana? Jawapannya, kita kena lihat dari segi praktikal atau amalan. Tujuan Perlembagaan dan mana-mana kerajaan lain di dunia ini ialah supaya negara stabil ditadbir dengan saksama dan rakyat dapat faedah dan wujud keharmonian.

Adalah diharapkan semua rakyat dan juga pemerintah supaya negara aman sentosa, boleh maju dan harmoni. Sekiranya keputusan kerajaan negeri menimbulkan masalah besar, kezaliman, saya rasa harapan rakyat kepada raja supaya raja tidak bersetuju dengan keputusan seumpama itu.

Raja-Raja kena bersetuju tetapi sebagai Raja Berperlembagaan jika keputusan itu memberikan kezaliman dan keseksaan kepada rakyat, maka Raja-Raja gunakan budi bicara membantu rakyat. Ini boleh dilakukan secara rundingan yang mana Majlis Raja-Raja dan Jemaah Menteri duduk berunding. Jika hasrat kedua-duanya sama untuk menstabil, mengamankan dan memberikan kemajuan, kecualilah di negara diktator dan komunis yang memerintah..itu lain. Kita di Malaysia mengamalkan Demokrasi Berparlimen yang memang suara rakyat. Suara rakyat bermakna majoriti rakyat setuju dengan keputusannya.

Ini bermakna peranan Raja-raja mewujudkan 'check and balance'. Kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya membuat apa yang mereka suka sungguh pun mendatangkan kezaliman dan sebagainya. Ini tidak bertulis dalam mana-mana nota atau Perlembagaan. Ini adalah adat, amalan dan realistik. Di Malaysia, Perlembagaan kita bertulis tetapi masih wujud pertikaian dan pertengkaran mengenai isu Perlembagaan. Itu sebab semua orang, tua, muda, tidak kira apa bangsa pun perlu faham inti pati, sejarah undang-undang dan Perlembagaan. Kalau tidak, susah dan timbul cakap-cakap di kedai kopi, bertengkar dan timbul balik pertikaian. Buat malu saja sedangkan hakikatnya kita yang tidak faham fakta.

Bagi Tan Sri, bagaimanakah pertikaian mengenai Perlembagaan ini dapat diatasi?

Pertama sekali kita kena beri pendidikan dan penjelasan melalui pelbagai saluran mengenai Perlembagaan Negara dan sejarah negara. Sebelum memahami Perlembagaan kita kena memahami sejarah. Misalnya, Artikel 153 (hak keistimewaan Orang Melayu), perkara ini diungkit ramai dan saya sendiri sudah beratus kali memberi syarahan mengenainya.

Bukan hanya saya seorang yang buat syarahan ini, sepatutnya lebih ramai yang berbuat demikian. Kita perlu letakkan asas Perlembagaan Negara pada peringkat awal supaya mereka dapat memahaminya, terutama di kalangan bangsa lain, Cina dan India.

Malah, saya pernah ditanya oleh pelajar Cina dan India dalam satu sesi syarahan di universiti mengenai Artikel 153 yang mereka katakan sebagai tidak adil. Pelajar Cina itu menyatakan beliau mendapat 9A, manakala kawannya orang Melayu mendapat 6A. Beliau tidak mendapat biasiswa tetapi rakannya orang Melayu boleh mendapat biasiswa. Dalam situasi ini, bagi saya, tidak salah menanyakan soalan berkenaan kerana beliau tidak tahu kedudukan sebenarnya.

Jadi, saya terangkan bahawa Artikel 153 diwujudkan kerana orang Melayu ketinggalan dari segi pendidikan dan ekonomi. Jadi kerajaan wujudkan kuota untuk orang Melayu. Jika tiada kuota, orang Melayu akan terus mundur dan kemungkinan jauh ketinggalan.

Ketika ini ramai yang tidak faham Artikel 153, sedangkan ia sudah wujud sejak dulu sebelum merdeka lagi. Hasrat itu sudah ada sejak 1948 lagi. Contohnya dalam sistem kuota, sudah ada sejak dulu lagi. Malah sewaktu saya masuk universiti pada 1950-an, saya diterima mengikut sistem kuota ini. Begitu juga isu tanah rizab Melayu yang sudah ada sejak 1930-an di bawah pemerintahan British. British kata orang Melayu kena ada tanah dan kena buat rizab. Jika tidak, nanti orang Melayu terpaksa tinggal di dalam hutan.

Kerajaan British dan Raja-Raja Melayu mengubah enakmen di negeri masing-masing berkaitan rizab Melayu ini di semua negeri kecuali Pulau Pinang. Di Melaka dan Negeri Sembilan, ada tanah adat. Saya tahu, sebab saya pernah menjadi pegawai tadbir di Kelantan. Saya mula memasuki alam pekerjaan sebelum merdeka lagi ketika itu dilantik menjadi Penolong Pegawai Daerah (ADO), Pegawai Daerah – ketika itu adalah orang Inggeris.

Jadi dalam isu tanah ini, sudah ada enakmennya sebelum merdeka lagi dalam tahun 1930-an. Cetusan dalam enakmen itu dibawa dalam Perlembagaan di bawah Artikel 89 dan Artikel 90. Artikel 153, Artikel 89 dan 90 tidak boleh dipersoalkan kerana perkara ini dibawa sebelum merdeka. Kedudukan Raja-Raja Melayu, status, kuasa, kebesaran tidak boleh dipersoalkan di mana-mana pun, walaupun dalam Parlimen. Mereka yang berbuat demikian (persoalkan Raja Melayu ) boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Hasutan.

Saya tahu perkara ini kerana saya yang buat draf ini kerana waktu itu saya menjadi pegawai Undang-undang di Majlis Gerakan Negara (Mageran) pada 1969. Ada empat perkara sensitif yang tidak boleh dipersoalkan di mana-mana iaitu Hak Keistimewaan Orang Melayu yang termaktub dalam Artikel 157, keduanya, kerakyatan, ini termasuk orang Melayu tidak boleh persoalkan kerakyatan dimiliki India dan Cina, ketiga, kedudukan atau status Raja-Raja Melayu dan keempat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (Artikel 152). Mengapa ia tidak boleh dibangkitkan? Ia tidak perlu dibangkitkan kerana sudah lama ada dan bukannya direka oleh sesiapa pun. Mana-mana saya pergi, perkara ini sering dibangkitkan dan saya nampak ia dijadikan modal politik dan bawa keluar macam-macam. Mereka perlu sedar hakikat ini.

Tan Sri menyatakan perkara ini tidak boleh dibangkitkan kerana sudah termaktub tetapi masih ada yang berani dan membangkitkan isu ini? Contohnya, pemimpin Melayu membangkitkan isu orang Melayu, orang Cina dengan isu orang Cina begitu juga India atas alasan Perlembagaan?

Semua ini wujud oleh dua kumpulan manusia iaitu satunya mereka ini faham tetapi sengaja gunakan untuk kepentingan diri, manakala satu lagi kelompok, golongan yang tidak faham mengenai Perlembagaan tetapi menggunakannya. Kedua-dua kelompok ini tidak berguna.

Kita mahu rakyat yang stabil, berfikiran waras dan faham ini semua bagi menstabilkan negara. Politik memang boleh, sesiapa saja boleh berpolitik tetapi kena berpolitik ideologi. Jangan politik dengan menyentuh perkara sensitif seperti Perlembagaan.

Bagaimana pula dengan alasan segelintir pihak yang mengakui tindakan mereka mempersoalkan Perlembagaan itu adalah selaras dasar demokrasi yang diamalkan di negara ini?

Itu sebab awal tadi saya katakan Demokrasi Berperlembagaan. Ini bermakna kita boleh bersuara tetapi kena merujuk kepada hak asasi. Boleh bersuara tetapi bersyarat. Mereka yang menggunakan alasan ini tidak baca habis Perlembagaan kerana dalam Artikel Hak Asasi memang menyatakan sesiapa saja bebas bersuara tetapi kena mematuhi dan tidak melanggar beberapa syarat ditetapkan seperti tidak boleh menyentuh hal ehwal berkaitan keselamatan negara, tidak menyentuh isu perkauman dan sebagainya. Artikel 3, Kebebasan Beragama. Ini juga menetapkan syarat iaitu orang Islam tidak boleh bertukar ke agama lain. Demokrasi tidak bermakna kita bebas tanpa sebarang syarat dan batasan. Contohnya, bolehkah seseorang itu berbogel di khalayak ramai dan kita katakan itu sebagai demokrasi?

Apakah langkah yang boleh diambil kerajaan untuk mengatasi ketidakfahaman rakyat berhubung Perlembagaan Negara ini?

Sebenarnya banyak juga usaha kerajaan menghebah dan menerangkan mengenai Perlembagaan negara di media massa. Namun, saya rasa cara yang paling berkesan ialah dengan memasukkan perkara berkaitan Perlembagaan negara dalam sukatan mata pelajaran sistem pendidikan negara. Ini bermakna dari kecil lagi rakyat sudah memahami apa yang termaktub dalam Perlembagaan. Janganlah pula kita masukkan perkara yang sukar dan pelik yang menyulitkan mereka. Masukkan perkara pokok. Perlembagaan negara yang dipraktikkan sekarang sebenarnya sudah difikirkan pemimpin terdahulu. Saya tahu mengenainya kerana menjadi penasihat undang-undang pada ketika itu. Pemimpin terdahulu seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Razak Hussein, Tun Tan Siew Sin dan Tun V Sambanthan ketika merangka perkara ini sudah fikirkan kesannya kepada rakyat. Saya tahu semua itu kerana membantu menulis draf berkenaan.

Bagaimana pula kenyataan yang menyatakan Raja-raja Melayu hanya untuk orang Melayu saja. Apakah ini tepat?

Rakyat kena faham Raja adalah payung negara begitu juga Sultan. Ini tidak tertulis dalam Perlembagaan tetapi kebesaran, kemuliaan dan kedudukan Raja itu adalah dalam amalan dan budaya, jadi dengan sendirinya ada pengaruh tertentu yang mana rakyat biasa dapat perlindungan daripadanya. Rakyat itu bukan merujuk kepada orang Melayu saja, tetapi juga kaum lain. Maka, tidak tepat dakwaan yang menyatakan Raja-Raja Melayu hanya untuk orang Melayu.

Jika kita lihat Akta Hasutan 1948 itu sudah jelas menerangkan mengenai tindakan yang boleh dikenakan ke atas mereka yang membangkitkan perkara sensitif ini. Tetapi ia seperti tidak berkesan untuk menghalang pihak yang terus mempertikaikannya. Mengapakah ini boleh berlaku?

Memang undang-undang sudah ada tetapi jika tidak dilaksana dan penguatkuasaan ia akan lemah. Maka kredibiliti kerajaan pasti akan dipersoalkan. Oleh itu kerajaan perlu mengambil berat soal penguatkuasaan dan langkah pencegahan yang bersesuaian. Jadi, perkara seperti ini perlu diselesaikan dengan lebih awal supaya ia dapat diatasi dan tidak merebak sehingga menjadi budaya dalam masyarakat.

Oleh itu, pendidikan ialah cara paling berkesan mengatasi perkara ini. Lagipun, Malaysia mendapat kemerdekaan dengan cara yang unik tanpa melalui proses pertumpahan darah. Kemerdekaan negara dicapai menerusi perundingan dan daripada sejarah negeri Melayu yang bersejarah.

Saya percaya rakyat sekarang tidak tahu bahawa semua yang dicapai ini wujud daripada sejarah lalu. Contohnya mengenai Malayan Union, saya percaya generasi muda tidak memahaminya. Malah saya sendiri pun ketika itu tidak faham walaupun pernah terbabit bersama dengan penduduk kampung menghantar memorandum kepada British di Kota Bharu membantah Malayan Union. Generasi selepas saya tidak merasainya dan mereka tidak tahu pun adanya memorandum dihantar kepada British ketika itu.

Saya pasti sangat tidak semua orang faham mengenai sejarah dan Perlembagaan ini. Malah, mereka yang arif mengenai undang-undang seperti peguam pun ada yang tak faham. Saya yakin dengan pendidikan yang baik, keadaan ekonomi yang baik dan kerajaan adil dan tidak zalim, orang ramai pula perlu berfikiran waras dan bertolak ansur supaya kita aman di negara ini.

Konsep 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak adalah usaha yang mahu melihat semua bangsa di negara ini bersatu padu dan negara menjadi aman. Saya percaya cadangan baik yang mahu melihat rakyat bekerjasama, hormat menghormati dan tidak berpecah belah. Dalam hal itu, kita kena beritahu semua pihak berpandukan kepada Perlembagaan. Kini sudah 52 tahun Perlembagaan diwujudkan, malah pindaan dibuat untuk disesuaikan dengan keadaan semasa.

No comments:

Post a Comment

PETA PELAYAR