FOLLOWERS

Wednesday, 7 April 2010

SEKURITASIKAN PERLEMBAGAAN NEGARA : PERKASA




Tragedi 13 Mei 1969 membuktikan kegagalan kerajaan mencegah fenomena perkauman yang disemarakkan menerusi konsep Malaysian Malaysia hingga mengakibatkan umat Islam, Melayu dan Bumiputera diinjak- injak maruah dan harga dirinya.

Tragedi ini meletus dalam suasana Pilihan Raya Umum (PRU) 1969. Ketika itu, elemen- elemen antinasional bertindak sesuka hati tanpa menginsafi Islam adalah agama rasmi negara, sementara Melayu dan Bumiputera adalah bangsa teras di Malaysia.

Akibatnya, parti politik Chinese-based termasuk DAP, mendapat kemenangan besar dalam PRU 1969. Beberapa kerajaan negeri juga turut dikuasai oleh parti-parti tersebut.

Dalam beberapa perarakan kemenangannya di Kuala Lumpur, pada 12 Mei 1969, mereka menjerit dan melolong sambil melemparkan kata-kata kesat dan lucah kepada umat Islam, Melayu dan Bumiputera.

Mereka mendesak bangsa teras ini gulung tikar, balik kampung, dan tanam kacang! Lantas, pembunuhan antara kaum terjadi di sekitar bandar raya, dan ramai rakyat terkorban.

Sistem pemerintahan demokrasi turut mati, Parlimen Malaysia digantung buat sekian tahun lamanya, dan Malaysia ditadbir menerusi sistem Majlis Gerakan Negara atau Mageran.

Demikianlah senarionya apabila masalah etnik gagal ditangani secara tegas dan berkesan, dan apabila ada segolongan rakyat Malaysia mempertikaikan status bangsa teras yang dimiliki oleh umat Islam, Melayu dan Bumiputera.

Inilah hakikatnya apabila Perlembagaan Persekutuan dipersenda-sendakan, dan nilai-nilai teras yang menjadi paksi keselamatan negara, termasuk permuafakatan kaum, keharmonian beragama, kesejahteraan rakyat, keselamatan ekonomi, dan ketenteraman awam, tidak dipelihara dalam negara berbilang bangsa.

Sejarah hitam ini jangan direlakan untuk berulang di Malaysia pada abad ke-21. Ia mesti dihindarkan. Seluruh warganegara Malaysia wajar berusaha mencegahnya.Oleh itu, karenah, kenyataan dan tindak- tanduk antinasional, anti-Perlembagaan, anti- Islam, anti-Melayu, dan anti-Bumiputera yang kini muncul semula di Malaysia mesti ditumpaskan habis-habisan.

Bukti-bukti kemunculan ini terkandung dalam jawapan Menteri Dalam Negeri di Parlimen, 22 Mac 2010 bahawa sejak April 2008 hingga 31 Januari 2010, terdapat 129 laporan polis mengenai isu-isu melibatkan Islam, Bahasa Melayu, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan keistimewaan Melayu dan Bumiputera dibuat oleh orang ramai dan badan bukan kerajaan (NGO).

Inilah bukti padat dan jelas bahawa seluruh peruntukan strategik dalam Perlembagaan Persekutuan kini memang tercabar dan tergugat. Fenomena ini adalah ibarat api dalam sekam.
Seterusnya, kenang kembali peristiwa menjelang PRU 1999, bila Sequi menghimpunkan 2,095 NGO untuk mengemukakan 85 tuntutan di bawah 17 perkara yang disertakan dengan ugutan memboikot pilihan raya umum tersebut jika apa yang dituntut tidak dipenuhi oleh kerajaan.

Anehnya, tidak ada kaum Cina di Malaysia mengatakan tindakan seperti ini rasis walaupun tuntutan Sequi melampau dan ada yang melanggar beberapa peruntukan strategik dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tuntutan dua pertubuhan pendidikan Cina iaitu Gabungan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina (Dong Zhong) dan Gabungan Persatuan Guru-Guru Sekolah Cina (Jiao Zhong) pun sama coraknya.

Kedua-duanya bergabung menjadi Dong Jiao Zhong dan mengemukakan pelbagai tuntutan yang mengguris hati orang Melayu kerana bertentangan dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan dan mencanggahi Perkara 152 dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

NGO ini juga tidak dituduh rasis. Sebaliknya, ia mendapat sokongan masyarakat dan akhbar-akhbar Cina. Tetapi, apabila Perkasa wujud dan mula bersuara, organisasi ini pula dituduh dan dikecam sebagai rasis dan Melayu ultra.

Apabila 76 NGO Melayu berhimpun di Dewan Kelab Sultan Sulaiman pada 27 Februari 2010, dan berjaya mewujudkan Majlis Perunding Melayu (MPM), pun sesetengah pihak mengecam dan menyatakan MPM rasis dan ketinggalan zaman.

Pelbagai laman web, termasuk milik pemimpin DAP pula menyifatkan saya dan Perkasa sebagai syaitan. Kecaman juga dilemparkan oleh halaman 'blogger Melayu dan Melayu liberal' yang lupakan nasib bangsanya.

Amat menyedihkan lagi, kini terdapat parti Islam menjual Islam demi kepentingan diri sendiri, dan segelintir pemimpin Melayu yang menjadi dalang perpecahan Melayu. Pemimpin Melayu terbabit, nampaknya disokong oleh segelintir pemimpin Amerika Syarikat, Australia dan beberapa negara Islam liberal. Beliau tergamak memperdagangkan nama baik ulama besar Yusuf Al-Qardhawi untuk kepentingan dirinya.

Perkembangan seperti ini menjadikan perpecahan Melayu sampai ke kemuncaknya. Sebab itulah Melayu dan Islam tergugat, kalimah Allah tergadai, ayat suci al-Quran diizinkan dibaca oleh bukan Islam dalam ceramah politik, peruntukan membina masjid diungkit oleh pihak tertentu dan tidak dipertahankan, dan kepala khinzir dihumbankan ke dalam masjid.

Pada waktu yang sama, ada juga parti politik Melayu yang kini teragak-agak untuk bersuara dan mempertahankan Melayu dan Bumiputra secara jelas dan tegas, semata-mata demi menjaga kepentingan politik.

Inilah senario mutakhir kini. Ia menuntut kita insaf untuk menggerakkan semula kesedaran mengembalikan perpaduan dan maruah umat Islam, Melayu dan Bumiputera. Bersatu Teguh Bercerai Roboh!

Oleh itu, institusi Yang di-Pertuan Agong dan Kesultanan Melayu jangan dipersenda- sendakan. Hakikat Islam adalah agama rasmi jangan dipertikaikan. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan jangan diungkit-ungkit. Hak-hak istimewa ekonomi serta pendidikan umat Islam, Melayu dan Bumiputera dalam Perlembagaan Persekutuan jangan diancam status-quonya.

Dasar-dasar yang disifatkan sebagai memihak kepada Melayu dan Bumiputera dalam konteks jurang perbezaan ekonomi yang masih lebar, juga jangan sekali-kali cuba disanggah dan dirobah hakikatnya.

Berasaskan perkembangan semasa juga, Perkasa dan MPM mengadakan sidang meja bulat membincangkan cadangan Model Ekonomi Baru (MEB). Sidang ini menghasilkan memorandum yang telah disampaikan kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, dan Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara.

Antara kandungannya, MEB mesti mengandungi tindakan afirmatif yang memastikan Bumiputera memiliki 30 peratus ekuiti kekayaan ekonomi negara dalam semua sektor selaras dengan matlamat Dasar Ekonomi Baru sebelum Malaysia menjadi negara maju pada 2020.

Tuntutan itu selaras dengan Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai sosial-ekonomi, di mana pembahagian kekayaan negara harus berdasarkan kepada peratusan kaum.

Bumiputera kini merupakan 67 peratus penduduk Malaysia. Jika Piagam PBB ini dijadikan aras tanda yang rigid, semestinya 67 peratus kekayaan negara ini dibahagikan kepada Bumiputera. Namun begitu, Bumiputera hanya menuntut 30 peratus. Tetapi, kerajaan mesti menjamin bahawa asas MEB perlu mengambile kira Perkara 152 dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Jika ini dilakukan, Perkasa, MPM, umat Melayu dan Bumiputera akan memberikan sokongan jitu kepada Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Bagaimanapun, UMNO juga mesti tegas dalam hal berkaitan kepentingan dan tuntutan umat Islam, Melayu dan Bumiputera jika mahu kekal relevan dan terus mendapat sokongan padu.

Oleh itu, sebarang keputusan dasar mengenai Islam, Melayu dan Bumiputera mesti dibuat secara berhati-hati. Jiwa dan hati nurani umat Islam, Melayu dan Bumiputera jangan sekali-kali diguris, dihiris dan dilukakan.

Insaflah, tanpa kuasa politik yang majoritinya diperoleh daripada undi umat Islam, Melayu dan Bumiputera, keselamatan rejim dan keselamatan politik yang menjadi paksi kekuasaan di negara ini pasti akan terancam dan mungkin pupus.

Hakikat ini pahit. Tetapi, inilah realitinya kerana sejak merdeka sampai sekarang, umat Islam, Melayu dan Bumiputera adalah penyumbang terbesar dan menjadi benteng paling kukuh kepada struktur kekuasaan, keselamatan rejim, keselamatan politik, dan keselamatan negara di Malaysia.

Tidak dinafikan bahawa undi bukan Melayu dan bukan Bumiputera memang menyumbang kepada dinamika dan struktur kekuasaan negara. Tetapi, undi mereka di Malaysia adalah faktor yang berubah-ubah mengikut pertimbangan politik sewaktu pilihan raya umum diadakan.

Berdasarkan semua kenyataan di atas, terbuktilah bahawa Perlembagaan Persekutuan adalah sumber utama kepada keamanan dan keselamatan negara. Oleh itu, Perkasa mendesak kerajaan mensekuritisasikan atau securitized Perlembagaan Persekutuan sebagai objek rujukan kepada ancaman negara.

Maksudnya, kerajaan mesti menjadikan pemeliharaan Perlembagaan Persekutuan oleh seluruh warganegara Malaysia sebagai satu daripada nilai-nilai teras yang mesti dipertahankan menerusi konsep keselamatan negara.

Maknanya, kerajaan mesti menjadikan tindak-tanduk mempersenda-senda atau mempertikaikan Perlembagaan Persekutuan sebagai tindakan yang mengancam keselamatan negara.

Hakikatnya begitu kerana perjuangan memelihara dan mempertahankan keselamatan negara dalam senario Malaysia moden mutakhir ini terpaksalah dilaksanakan secara keras dan tegas. Jika tidak, umat Islam, Melayu dan Bumiputera yang akan terjejas, dan status-quo kekuasaan dan pemerintahan negara masa kini juga yang mungkin pupus.

Kerajaan juga mesti insaf bahawa Perkara 149 dan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan adalah sumber yang mewujudkan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA, sebagai undang-undang cegah rintang kepada pelbagai tindakan antinasional yang menjejaskan keselamatan rejim, keselamatan politik, keselamatan masyarakat, keselamatan ekonomi, dan keselamatan negara.

Oleh itu, segerakanlah proses pensekuritisasian Perlembagaan Persekutuan. Ini kerana Perkara 149, Perkara 150, dan ISA tidak akan memberikan sebarang makna jika Perlembagaan Persekutuan dipertikai, dipersenda-senda dan cuba untuk dimansuhkan menerusi beberapa mekanisme neo-imperialis antarabangsa.

Lantaran itu juga, kerajaan mesti bertindak radikal dan berani demi keselamatan negara. Kerajaan mesti tegas dan keras untuk melakukan pensekuritisasian ini demi keselamatan politik dan keselamatan rejimnya.

Kerajaan mesti proaktif untuk memperjuangkan status umat Islam, Melayu dan Bumiputera yang menjadi warganegara teras di Malaysia. Ini penting kerana perjuangan memelihara keselamatan negara adalah hak negara dan pemerintah untuk menentukannya.

Proses mensekuritisasikan sesuatu objek rujukan kepada keselamatan negara, dalam konteks ini mensekuritisasikan Perlembagaan Persekutuan, juga adalah proses yang dalam bidang kuasa kerajaan untuk melakukannya.

Ini kerana dalam konteks keselamatan negara, kerajaan adalah pihak yang menjadi autoriti untuk melaksanakan proses pensekuritisasian atau proses securitization tersebut.

(Artikel ini adalah sebahagian daripada ucapan Presiden Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali di Perhimpunan Kebangkitan Perpaduan Melayu sempena Mesyuarat Agung Perkasa Kali Pertama pada 27 Mac 2010 di PWTC)

Penghuni Gua : Tahniah PERKASA. Teruskan perjuangan anda dan pertahankan terus hak Melayu yang tercatat dalam perlembagaan. Jangan mundur walau sikit pun. Anda semua adalah pejuang. Anda yang mempertahankan perlembagaan. Tak lebih atau tidak kurang.


2. Kecaman adalah asam garam dalam perjuangan. Hidup PERKASA.

1 comment:

PETA PELAYAR