FOLLOWERS

Friday, 3 April 2009

TAHANAN DAN ISA : HATI-HATI MENGENAINYA

Berita Harian
3 mac 2009

Senarai 13 tahanan ISA yang dibebaskan


KUALA LUMPUR: Berikut adalah senarai 13 orang tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dibebaskan serta merta seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini:

1. Pakana Selama
2. Amir Hussain
3. Sundaraj Vijay
4. San Khaing
5. R.Kenghadharan
6. V.Ganabatirau
7. Wan Amin Wan Hamat
8. A Artas A Burhanuddin
9. Francis Indanan
10. Mohd Nazri Dollah
11. Mohd Arasad Patangari
12. Idris Lanama
13. Binsali Omar - Bernama

Penghuni Gua : Perdana Menteri juga mengatakan bahawa ISA akan dikaji semula. Dua perkara yang perlu direnung. Pertama pembebasan 13 tahanan ISA. Penghuni kira ok lah pada yang telah lama dan telah insaf setelah berada lama dalam pemulihan. Tetapi sebahagiannya aku tak setuju kerana pendirian dan sikap mereka ini masih tak berubah.



Apa pun tentunya PM ada alasan tersendiri dalam keputusanya membebaskan tahanan ini. Walau apa pun sekiranya , sekirannya mereka masih melakukan aktiviti yang mengancam negara, kerajaan wajar mengambil tindakan sekeras mungkin dan menahan mereka ini selama mungkin di bawah ISA.

Hasrat PM untuk mengkaji semula ISA, yang ini Penghuni Gua tidak berapa setuju. ISA yang ada sudah begitu baik. Cuma apa yang boleh diperbaiki atau mungkin diperketatkan lagi dari segi prosedur tahanan dan beratkan juga dari segi hukuman. Asas kepada undang-undang ini jangan sesekali dilonggarkan kerana inilah sahaja benteng terakhir kita dalam menjaga ketuanan negara ini dari dirosakkan oleh mereka yang tidak senang dengan keamanan yang telah sekian lama ujud.

Dalam meminda dan mengkaji semula ISA, juga tidak patut dilupakan ialah keutamaan adalah kepada kepentingan Hak Asasi Awam berbanding Hak Asasi Individu. Jangan memberikan kelebihan dan keutamaan hak asasi beberapa kerat individu melebihi hak asasi awam.

Mungkin pada masa ini ISA dianggap kurang baik kepada setengah orang atau pemimpin. tetapi ingat bahawa beberapa pimimpin US dan Indonesia yang sempat Penghuni Gua dengan ucapan dan tulisan mereka pernah mengatakan bahawa Malaysia amat bertuah kerana telah terlebih dahulu bersedia dengan ISA.

Sekiranya US dan Indonesia mempunyai ISA seperti Malaysia dari dulu lagi peristiwa 911 dan serangan bom di Kuta Balik Indonesia pasti tidak berlaku. Dan mereka berkata lagi bahawa kalau ada ISA tentunya Abu Bakar Bashir ( pemimpin JI ) tidak terlepas begitu sahaja di atas kesalahannya dalam mengerakkan JI di Indonesia ( termasuk Malaysia ).


Penghuni Gua : Kita lihat dahulu. Mungkin PM ada perancangan tertentu yang terbaik untuk negara yang mungkin kita tidak tahu. Apa pun pembangkang tetap akan kata bahawa 2 hadiah dari PM baru ini adalah gula-gula pilhanraya kecil di tiga kawasan tersebtu. Inilah pembangkang. Bebas salah , tak bebas pun salah.


Kemaskini terbaru 2245 hrs
Teks perutusan Datuk Seri Najib Razak


KUALA LUMPUR: Berikut adalah teks perutusan Datuk Seri Najib Razak, yang disiarkan televisyen malam ini, sempena penerimaan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia Keenam.


Bismillahirrahmanirrahim

Bagi pihak seluruh Rakyat Malaysia, pertama sekali saya merakamkan rasa penghargaan dan ucapkan terima kasih kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi atas sumbangan khidmat cemerlang sepanjang 31 tahun kepada negara. Begitulah juga komitmen Tun dalam pengukuhan demokrasi dan institusi penting dalam negara, serta teladan kepemimpinan yang cukup berhikmah. Secara peribadi, saya amat berterima kasih atas keyakinan Tun Abdullah menamakan saya sebagai penggantinya. Saya juga merakamkan ucapan junjungan kasih setinggi-tingginya atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong melantik saya sebagai Perdana Menteri dalam istiadat mengangkat sumpah jawatan pagi tadi.


Dengan penuh rasa tawaduk dan kerendahan hati, saya menerima amanah tanggungjawab ini untuk berkhidmat kepada Rakyat dan Negara. Sesungguhnya seawal usia yang masih muda, dan sepanjang hidup dewasa, telah saya abdikan berkhidmat untuk rakyat. Semua ini lahir, hasil dari inspirasi dan dorongan serta suri teladan Allahyarham Ayahanda saya. Memang saya tersentuh dan terpanggil untuk meneruskan agenda besar kerajaan untuk membasmi kemiskinan, menstrukturkan semula masyarakat Malaysia, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti untuk semua, serta meniupkan semangat sebuah generasi baru untuk menumpah khidmat kepada Malaysia.


Justeru itulah, sepanjang khidmat awam saya, pentingnya aspek keberhasilan sentiasa ditekankan. Sama ada melalui kemudahan yang lebih selesa bagi para pendidik, meningkatkan kualiti hidup para perwira tanah air, mahupun dalam memperkasakan ekonomi bagi memelihara kesejahteraan rakyat di saat kita menghadapi cabaran ekonomi global. Dalam waktu terdekat ini, saya akan bertukar-tukar pendapat dengan pelbagai lapisan pemimpin masyarakat dari seluruh negara dalam menentukan keutamaan kerajaan.



Dalam hal ini, saya amat menyedari bahawa kita perlu mengambil manfaat dari kejayaan kini dan beriktibar pula dengan pengajaran masa lalu. Pada asasnya, kepimpinan yang bakal diwujudkan wajar membawa pendekatan baru, bagi menempa sebuah zaman baru, demi menjelmakan sebuah kerajaan yang mengutamakan prestasi berpaksikan keutamaan rakyat. Rakyat diutamakan akan merentasi seluruh lapisan masyarakat dan kumpulan etnik di setiap pelosok tanah air. Tidak ada sesiapa yang patut merasakan diri mereka tercicir atau terpinggir daripada wacana nasional.


Kita akan rapatkan hubungan Rakyat dan Kerajaan dari dikelirukan dan diperdaya oleh permainan muslihat politik. Dalam hal ini, potensi golongan anak muda akan kita bangunkan setinggi-tingginya. Kita percaya merekalah generasi pewaris bakal pendidik, doktor, peguam, akauntan, saintis, jurutera, tokoh perniagaan, cerdik pandai dan saf pemimpin masa depan.

Maka dengan itu, pada hari yang bersejarah ini saya berikrar untuk bekerja tanpa mengenal erti jemu atau penat lelah, berkhidmat dan membela untung nasib rakyat. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengumumkan bahawa pihak kerajaan akan menarik balik larangan penerbitan sementara bagi dua surat khabar serta membebaskan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berkuat kuasa serta-merta.


Proses kajian semula terhadap Akta ISA akan juga dimulakan. Saya sedar sudah tepat masanya kita mengambil langkah-langkah demikian untuk mengukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap pihak yang berwajib atas soal keselamatan negara serta mengembalikan keutamaan kita untuk menangani ancaman-ancaman yang dianggap berbahaya dan munasabah. Kementerian Dalam Negeri akan memberikan butir-butir selanjutnya selepas ini. Atas segalanya, saya menyedari bahawa sekarang adalah masa yang cukup mencabar bagi setiap warga. Saya komited memastikan kepimpinan terus berdiri teguh bagi menghadapi krisis ekonomi yang kini melanda seluruh dunia termasuk di negara kita.


Saya akan tetap berpegang kepada iltizam untuk memenuhi keperluan, kepentingan dan aspirasi setiap warga Malaysia. Dengan ini, saya mengajak seluruh warga untuk sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat Negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan.


Saya panjatkan doa ke hadrat Ilahi supaya terus dikurniakan kekuatan, kemudahan serta hikmah dalam menjalankan amanah besar ini. Dengan izin Allah jua, marilah kita memulakan langkah perjalanan hebat ini - bersama-sama. - Bernama

1 comment:

  1. salam,
    saya menyokong bahawa perlaksanaan ISA perlu DITERUSKAN untuk memastikan keselamatan negara tidak di ancam. kepada PM DSN minta tolong fikirkan kembali kepentingan ISA kepada malaysia

    ReplyDelete

PETA PELAYAR