FOLLOWERS

Thursday, 13 August 2009

PERTAHAN KUASA PRIBUMI : DATO NOOR AZAM MENULIS !


13 jul 200>

Gembleng tenaga pertahan kuasa pribumi
Oleh NOOR AZAM
(Bahagian Dua)



KEMELUT politik Melayu tidak boleh dihadapi dengan kenyataan marah-marah dalam media dan laporan polis. Yang diperlukan ialah tindakan politik yang konkrit, terancang, bersepadu dan berterusan. Tidak boleh putus asa dan patah di tengah jalan.

Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi amaran: "Dominasi politik Melayu menerusi UMNO sudah menjadi mitos". Maknanya sudah jadi kisah keagungan zaman purba sahaja. Jika pemimpin dan ahli UMNO tidak insaf juga, UMNO akan dikuburkan oleh pembangkang dan orang Melayu yang lupa diri! Kalau sudah jadi begitu, bolehkah Pas yang bersekongkol dengan DAP dan tokoh-tokoh politik baru bukan Melayu dalam Parti Keadilan Rakyat, menggantikan tempat UMNO mempertahankan kuasa politik pribumi?

UMNO kini katanya sedang memperkukuhkan parti dan mengembalikan sokongan rakyat. Tetapi rakyat tidak nampak dan tidak merasa ada perubahan.

Masih terlalu banyak upacara dan sambutan yang memperagakan pembaziran. Siap dengan baju batik aneka warna dan kemeja seragam baru - sama dengan baju untuk menteri.

Kesedaran dan keinsafan belum meresap ke dalam tubuh UMNO. Penyakit lama - terutama bermacam-macam jenis rasuah - masih tidak terubat.

Ramai pemimpin UMNO, terutama generasi baru, masih megah berlagak macam tokoh korporat. Pemimpin masih 'mengajar' pengikutnya di peringkat bahagian dan cawangan makan rasuah. Masih ketara parti dijadikan alat mencari makan dan kemewahan.

Titah Raja Muda Perak, Raja Nazrin Shah: "Ramai yang bercakap tentang rasuah, malah seruan untuk memerangi rasuah ada kalanya digemakan lebih nyaring daripada kalangan orang yang tidak bebas daripada melakukannya, lalu tenggelamlah kesungguhan usaha untuk memerangi rasuah dalam retorik kepura-puraan.

"Ia berlaku di dalam istana, sektor awam, swasta, organisasi politik, organisasi beruniform malah tidak terkecuali, badan-badan agama."

Maka dalam usaha mengembalikan sokongan rakyat kepada UMNO, rasuah para pemimpin dan ahli UMNO mesti diberhentikan.

Penahanan seorang ADUN Terengganu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini sangat memburukkan imej UMNO. Lebih-lebih lagi beliau baru pertama kali bergelar "Yang Berhormat" dan seorang profesional muda Melayu pula.

Selain itu, isu rumah mewah bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohd Khir Toyo, menjadi cerita lucu politik dan sindiran di mana-mana ketika ini. Sama ada kes rasuah dan cerita rumah Mohd Khir itu benar atau tidak, kedua-dua isu itu telah mencemarkan UMNO yang sedang bangkit semula. Maka tanggapan orang - UMNO tidak berubah.

Justeru tindakan pertama, perangai buruk pemimpin UMNO, besar dan kecil, mestilah betul-betul berubah. Jika tidak, akan sia-sia belaka.

Menjatuhkan kerajaan menerusi pilihan raya, tidak salah. Tokoh politik - kecuali melakukan jenayah - tidak boleh dihukum sebagai penjenayah. Sebab itu membuat laporan polis - mengenai ucapan dan tindakan politik oleh pemimpin politik - tiada gunanya.

Politik mesti dilawan dengan politik, bukan dengan undang-undang. Orang politik suka mereka ditentang dengan undang-undang, agar boleh dijadikan isu, kononnya kerajaan zalim.

Dalam demokrasi, kuasa politik ada di tangan rakyat. Kuasa inilah yang sedang digunakan oleh pembangkang. Kuasa rakyat menjatuhkan ramai pemimpin, contohnya Presiden Ferdinand Marcos di Filipina dan Presiden Suharto di Indonesia.

Selain kuasa rakyat, kuasa penentu pemerintahan sebuah negara, berada di tangan tentera. Sebab itulah dalam Wasiat Raja-Raja Melayu 5 Ogos 1957 - Perkara Ketiga, yang dipetik oleh Tuanku Raja Nazrin Shah (Utusan Malaysia, 7 Ogos 2009) menyatakan dengan tegas:

"Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta harta hak milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara."

Peringatan Raja Nazrin ini tepat pada masanya. Terima kasih kerana membongkar fakta sejarah penting yang ramai di antara kita tidak pernah tahu.

Orang Melayu yang prihatin terhadap kelemahan kuasa politik Melayu, perlulah menggembleng kuasa rakyat. Belum masanya kita menggunakan kuasa tentera.

Selepas PRU ke-12 muncul beberapa gerakan spontan. Ada tiga yang nampak aktif iaitu Perkasa pimpinan Datuk Ibrahim Ali, Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) pimpinan Osman Abu Bakar dan Gagasan Melayu Perak (GMP) pimpinan Datuk Seri Mohd Hilmi Ismail.

BBPM dan GMP lahir di Perak. Saya kira ia gema daripada kejatuhan negeri itu ke tangan DAP. Melayu di Selangor - kecuali UMNO - nampaknya tidak ambil kisah, meskipun Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah telah beberapa kali membuat kenyataan berupa amaran keras. Benarlah, kemewahan material dan keselesaan hidup boleh melalaikan manusia. Inilah salah satu sebab kejatuhan bangsa Melayu.

Saya cadangkan agar Ibrahim Ali, Osman dan Hilmi menggembleng tenaga menubuhkan pergerakan baru bertaraf nasional. Mereka perlu gembleng kuasa rakyat pribumi untuk mempertahankan kuasa politik pribumi. Organisasi baru ini bukanlah sebuah parti politik. Saya yakin Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak akan menolak jika diajak serta.

Badan baru ini perlu mengkaji dan merumuskan semua kenyataan Dr. Mahathir dan Raja-Raja Melayu, khususnya beberapa titah Sultan Azlan Shah dan Raja Nazrin yang berasaskan fakta sejarah dan analisis yang jejak ke bumi.

Rumusan ini perlu untuk dijadikan asas, matlamat dan program tindakan politik yang terperinci. Yang perlu bukan publisiti, tetapi strategi politik yang betul dan tindakan yang berterusan.

Senjata perjuangan yang utama, kita semua tahu, iaitu "kita mesti bersatu dengan matlamat dan komitmen yang satu". Ada kata hikmat yang mungkin 'sudah basi', tetapi pengajarannya benar sekali: "Bersatu teguh, bercerai roboh".

Sekarang kita sudah mulai runtuh kerana satu sebab sahaja iaitu bermusuhan sesama sendiri. Kalau tidak mahu bersatu juga, anak cucu kita pasti akan menerima bala. Ingatlah doa Sultan Azlan Shah: "Dijauhkan Allah daripada nasib malang, menang sorak kampung tergadai, akhirnya terpaksa mengemis di bumi sendiri".

PENULIS ialah bekas Setiausaha Politik kepada
Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika
menjadi Perdana Menteri.


Penghuni Gua : Hayati dan fikirkanlah bangsa ku. Fikir dan terus berfikir tulisan dan pandangan di atas . Fikir bukan di atas keseronokan berpolitik tetapi fikirkan tentang masa depan. Masa depan. Kami yang telah tua tidak akan ke mana.

2. Andalah yang muda yang akan mewarisi segalanya. Fikirkan tulisan dan pandangan Dato di atas.

5 comments:

  1. Bersamalah kita membantu mereka untuk menyedarkan Rakyat yang terpesona dengan dakyah pihak pembangkang.
    Jangan biarkan orang ramai merasa selesa dengan pembangkang dengan pelbagai janji manis yang belum tentu dapat ditunaikan.

    Biarlah kita Rakayat Malaysia hidup dengan aman dan damai. Bangsa pendatang ini seharusnya menerima perlembagaan Malaysia. Jangan sesekali mengungkit-ungkit.

    Ketahuilah Bangsa Melayu amat bertimbang rasa.
    Mananya tidak, lihatlah siapa yang kaya raya di Tanah Melayu ?

    Adakah Melayu ??????????

    Lihatlah sendiri.

    ReplyDelete
  2. PG, Ibu dato Noor Azam ni mencecah ratus tahun++ (tak nyanyok pun) tinggal di Jitra. Rasanya baru meninggal 2 tahun lepas. Saja je nak habaq . Kami pun selalu ziarah bila tiba musim raya aidil fitri.

    ReplyDelete
  3. Buat Putrakencana : Sebenarnya sebagai negara yg berpelembagaan dan sebagai parti memerintah maka sangat diperlukan puak pembangkang ni! Sebagai pihak yg memiliki kuasa tak perlulah kita membalas seperti peribahasa yg berbunyi(yg baru ni CCZ sebut) "Pulang batu buah keras". Gunakan lah kebijaksanaan sebab semua tindakan kita dinilai oleh rakyat yg semakin bijak. Yg baik akan diterima dan boleh menguatkan sokongan rakyat tapi sekiranya sebaliknya maka akan datang dari segala penjurulah bahana yg tak sepatutnya.
    Okay sekiranya pembangkang bising sebab RASUAH - Hindarkanlah dgn telus dan kiranya tak mampu hindarkan..itulah yg menjadi masalahnya.
    Membuat pembaikan terhadap system yg dikomplen adalah untuk kebaikan semua!
    Beri kesejahteraan kepada rakyat ketahap optimum 9bukan sekadar tapi juga luar bandar) akan meningkatkan sokongan.
    Banyak lagi lah..
    Pokoknya beri reaksi kearah +ve.

    ReplyDelete
  4. inilah manusia ( dato noor azam) diantara manusia yang paling PG hormati di Malaysia selepas tun M. Tulisannya amat baik dan amat berkesan sekali. sebab itu jika terjumpa tulisannya maka PG akan simpan sejak dari umur 18 tahun lagi semasa ia menulis di dewan bahasa.

    ReplyDelete
  5. ibarat bayang mengikut rupa,
    dunia sempit dibawah telaga,
    ajaran yang baik sudah terlupa,
    nasihat diberi tutuplah telinga.

    ReplyDelete

PETA PELAYAR