FOLLOWERS

Tuesday 9 June 2009

AWANG RASIS ? SAMBUNGAN !


Utusan Malaysia
9 jun 2009

1. SEJAK kebelakangan ini, ruangan pojok Awang Selamat menjadi hangat. Di kalangan politikus, penganalisis politik dan tidak kurang juga portal-portal anti kerajaan mula mengambil kesempatan untuk menangguk di air yang keruh.

2. Alasannya hanya satu - ruangan itu cuba mengisahkan kembali fakta sejarah mengenai tokoh-tokoh politik silam bukan Melayu dalam mengiktiraf pengorbanan yang telah dilalui oleh orang Melayu (UMNO) ketika itu.

3. Sejarah adalah kenyataan yang berpaksikan kepada realiti dan rekod. Semua pihak harus menerima dan fakta sejarah tidak boleh dipolitikkan demi populariti. Malangnya, persepsi mengenai politik hari ini jauh berbeza.

4. Apa sahaja yang dikatakan 'putih' oleh sejarah, pihak yang sebelah lagi akan mengatakannya 'hitam.' Rakyat seluruhnya akan terheret dalam gaya politik 'separuh masak' ini. Yang hak diputar belitkan dan yang batil diagung-agungkan.

5. Kita perlu fahami bahawa Malaysia yang berjaya, aman, damai dan makmur pada hari ini tidak datang bergolek. Ia telah disulami dengan pengorbanan serta peranan bertanggungjawab bersama semua pemimpin terdahulu yang terdiri daripada berbilang kaum.

6. Mereka ini telah hidup saling bergantungan dan bermuafakat antara kaum sejak Malaysia mencapai kemerdekaan lebih 52 tahun yang lalu.

7. Secara peribadi, saya berani mengatakan bahawa pemimpin-pemimpin bukan Melayu terdahulu seperti Tun Sambanthan dan Tun Tan Siew Sin adalah contoh pemimpin politik yang lebih jujur, tulus dan pasrah terhadap realiti politik negara. Mereka bukan sahaja telah membuktikan pengorbanan sejagat dalam berpolitik malah menunjukkan teladan yang amat baik untuk dijadikan tauladan kepada pemimpin politik bukan Melayu pada masa ini.

8. Namun, mengapa tulisan Awang Selamat tiba-tiba menjadi polemik serta igauan kepada sesetengah pemimpin pada hari ini harus menjadi renungan bersama.

9. Saya cukup hairan apabila pemimpin seperti Datuk Seri S. Samy Vellu sendiri mengecam rencana pojok Awang Selamat itu berbentuk perkauman? Apakah Sami Vellu lupa atau beliau buat-buat buta sejarah? Apakah Samy Vellu menidakkan kenyataan yang pernah dibuat oleh Tun Sambanthan, pengasas MIC dahulu?

10. Sekadar untuk mengingatkan Samy Vellu, kaum apakah yang menjadi sebilangan besar pengundi di Parlimen beliau selama ini? Bukankah ini satu bentuk pengorbanan orang Melayu?

11. Kini, dalam negara sedang berusaha untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan yang prihatin, saya kira apa yang tertulis di dalam ruangan Awang Selamat itu adalah suara serta denyutan nadi dan jantung orang Melayu yang juga merupakan sebahagian besar daripada rakyat Malaysia.

12. Sebagai orang Melayu, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Awang Selamat yang dapat merasai nadi serta kegusaran orang Melayu di setiap pelosok tanah air yang mula resah dengan keghairahan sesetengah pihak mengambil kesempatan terhadap slogan 1 Malaysia.

13. Harapan saya agar pihak kerajaan serta pemimpinnya peka dengan apa yang cuba disampaikan dan jangan sampai sudah terhantuk baru hendak terngadah.

14. Sudah sampai masanya. Kerajaan tidak hanya cuba menjadi popular dengan melaksanakan berbagai-bagai konsep liberalisasi tetapi pada hakikatnya hak dan kedaulatan orang Melayu terhakis.

15. Mungkin tidak ramai yang sedar bahawa liberalisasi Melayu telah lama terlaksana tanpa pemimpin-pemimpin Melayu sendiri menyedarinya. Tidak perlulah kita ulangi kisah tongkat Melayu, meritokrasi, bahasa dan sebut apa sahaja yang melibatkan orang Melayu yang telah sedikit demi sedikit dimamah atas nama liberalisasi.

16. Mungkin belum terlambat untuk saya mengingatkan kepada pemimpin politik terutamanya pemimpin Barisan Nasional supaya ditanamkan semangat Satu Barisan Nasional agar ia dapat memupuk semangat Satu Malaysia dalam kita mengharungi zaman kegawatan politik di negara ini.

17. Kurangkan membuat kenyataan-kenyataan yang melibatkan sensitiviti orang Melayu di akhbar-akhbar dan jangan jadikan media massa tempat untuk berdialog di antara sesama pemimpin perihal dalaman parti.

18. Marilah kita sokong dan dokong teguran yang di buat oleh Datuk Seri Najib Tun Razak kepada pemimpin-pemimpin BN supaya jangan terlalu asyik mengejar jawatan dalam parti sehinggakan mengabaikan kebajikan rakyat. Penyakit ini harus dihentikan sebelum parti ini dihukum oleh rakyat.

19. Yang penting, segenap pemimpin yang telah diberi amanah dan mandat oleh rakyat harus melaksanakan dengan adil dan jujur. Lakukanlah yang terbaik dan ia harus juga dipikul bersama oleh semua pemimpin parti komponen BN.

20. Harapan rakyat menggunung agar transformasi kali ini adalah transformasi tulen dan bukan sekadar ala transformasi Akademi Fantasia yang penuh dengan retorik dan publisiti yang menghampakan .


Penghuni Gua : Ini adalah tulisan terakhir yang PG akan siarkan berkaitan Awang Selamat Rasis ? Apa pun , kepada Awang Selamat, teruskan dengan paparan anda yang amat menarik dan memaparkan keluhan, rintihan dan pandangan serta denyut nadi orang Melayu walaupun berapa banyak tekanan yang anda terima. ramai lagi yang menyokonh anda.


2. Orang Melayu yang tidak menyokong dan mendokong anda adalah mereka yang hipokrit dan mementingkan diri sendiri serta mereka yang mempunyai motif kepentingan politk sempit. Kepada yang bukan Melayu, bezakan fakta sejarah dengan andaian dan emosi perkauman anda semua.


3. Semangat perkauman anda yang tebal tersebutlah yang mencetuskan segala-galanya. Semuanya dipandang dari sudut kaum dan semua perkara termasuk kontrak sosial yang telah dipersetuji serta termeterai dalam perlembagaan hendak diubah kerana sifat kebodohan dan perkauman yang menebal di hati anda semua.

No comments:

Post a Comment

PETA PELAYAR