FOLLOWERS

Monday 18 January 2010

MALAYAN LAW JOURNAL : KES PEMBUANGAN KERJA PEGAWAI POLIS / HAK PENDENGARAN LISAN !


[1995] 1 MLJ 308
Raja Abdul Malek Muzaffar Shah bin Raja Shahruzzaman v Setiausaha Suruhanjaya Pasukan Polis & Ors
Case Details:

Malaysia COURT OF APPEAL (KUALA LUMPUR) — CIVIL APPEAL NO
A01–20 OF 1994

Judges GOPAL SRI RAM JCA
SITI NORMA YAAKOB JCA
MAHADEV SHANKAR JCA

Date 30 JANUARY 1995

Citation [1995] 1 MLJ 308



Catchwords:
Administrative Law — Rules of natural justice — Dismissal of police officer — Whether right to be heard necessarily includes right to oral hearing — Whether failure to give oral hearing may be challenged — Whether extraneous matters not put to plaintiff considered — Failure of judge to address issue — Whether failure of justice occasioned

Constitutional Law — Public servants — Dismissal — Police officer — Right to be heard — Extraneous matters not put to plaintiff considered — Whether constitutional right infringed — Federal Constitution art 135(2)

Civil Procedure — Pleadings — Necessity for express pleadings — Dismissal of plaintiff from police force — Fairness of procedure raised in pleadings — Whether all matters relevant thereto put in issue — Whether further specific plea needed

Administrative Law — Rules of natural justice — Dismissal of police officer — Measure of fairness — Standards and values to be applied — Whether foreign concept of fairness applicable

Bahasa Malaysia Summary:

Ini adalah satu rayuan terhadap satu keputusan yang menolak tuntutan plaintif untuk satu deklarasi bahawa pemecatannya sebagai seorang anggota polis adalah tidak sah dan terbatal. Di perbicaraan, defendan telah berhujah bahawa tidak terdapat kes terhadap mereka dan memilih supaya tidak mengemukakan keterangan. Plaintif adalah seorang penolong penguasa Polis Di Raja Malaysia apabila beliau dipecat. Pada 16 Disember 1988, Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (defendan pertama) telah menulis kepada plaintif untuk memberitahunya tentang keputusan suruhanjaya itu memulakan prosiding tatatertib terhadapnya atas tuduhan, antara lainnya, pengabaian tugas yang keterlaluan dan rasuah.

Setiap tuduhan itu telah dirangka dengan teliti dan perinci. Plaintif telah menjawab dan memberi penerangan yang penuh kepada dakwaan-dakwaan terhadapnya. Beliau juga meminta satu pendengaran lisan serta beberapa dokumen tertentu yang kemudiannya diberikan kepadanya. Selepas itu plaintif telah membuat jawapan bertulis lanjutan. Tiada pendengaran lisan diadakan dan melalui sepucuk surat bertarikh 4 April 1990, defendan pertama telah memberitahu plaintif tentang keputusan suruhanjaya itu untuk memecatnya setelah mempertimbangkan penerangan plaintif dalam kedua-dua suratnya, ‘serta lain-lain maklumat’.

Di dalam rayuan ini, plaintif berhujah bahawa defendan-defendan berkewajipan untuk bertindak secara adil terhadapnya dan tugas itu meliputi obligasi memberikannya satu pendengaran lisan. Kegagalan berbuat demikian telah menyebabkan plaintif kehilangan haknya untuk didengar yang termaktub di dalam perkara 135(2) Perlembagaan Persekutuan. Plaintif secara alternatif berhujah bahawa defendan telah mempertimbangkan maklumat penting yang tidak pernah dikemukakan kepada plaintif tanpa memberi beliau kesempatan untuk membuat komen tentangnya. Defendan berhujah bahawa:

(i) perkataan-perkataan ‘serta lain-lain maklumat’ di dalam surat bertarikh 4 April 1990 itu cumalah berlebihan sahaja dan sepatutnya tidak diendahkan; (ii) perkara yang mengasaskan aduan di dalam hujah alternatif plaintif tidak dijadikan pli secara mencukupi di dalam pernyataan tuntutannya; dan (iii) aduan plaintif adalah tanpa merit kerana beliau telah bersetuju semasa pemeriksaan balas bahawa beliau telah menerima peluang melawan dakwaan-dakwaan yang dibuat terhadapnya.

Diputuskan:
Diputuskan, membenarkan rayuan plaintif itu dan memerintahkan supaya beliau dikembalikan semula ke jawatannya:

(1) Hak untuk didengar tidak dalam semua kes merangkumi tugas untuk memberikan pendengaran lisan. Namun demikian, ianya tidak bermaksud bahawa kegagalan atau keengganan untuk memberikan pendengaran sedemikian tidak boleh dicabar. Di dalam kes ini, ketiadaan satu pendengaran lisan tidak menyebabkan kemudaratan kepada plaintif. Tuduhan-tuduhan itu telah dirangka dengan baik dan defendan telah bercermat untuk memastikan yang perincian penuh diberikan. Peluang yang mencukupi telah diberikan kepada plaintif untuk membuat representasi untuk mematahkan tuduhan-tuduhan itu.

(2) Perkataan-perkataan ‘serta lain-lain maklumat’ di dalam surat bertarikh 4 April 1990 itu meninggalkan seorang yang munasabah dengan tanggapan yang ketara bahawa defendan telah mempertimbangkan maklumat yang penting yang tidak pernah dikemukakan kepada plaintif. Satu prosedur yang adil meliputi tugas seseorang pengadil supaya tidak mempertimbangkan perkara-perkara yang tidak terlebih dahulu dikemukakan kepada tertuduh dengan peluang diberikan kepada beliau untuk mencabar perkara itu.

(3) Defendan sememangnya boleh menerangkan penggunaan perkataan tersebut tetapi memilih untuk tidak mengemukakan keterangan. Pembacaan secara tersirat oleh mahkamah bahawa perkataan yang digunakan di dalam konteks yang begitu penting itu cumalah berlebihan sahaja tentunya melebihi had fungsi kehakiman. Hakim perbicaraan nampaknya tidak memikirkan tentang aspek ini dan ini adalah satu salah arahan yang serius yang telah menyebabkan suatu ketidakadilan.

(4) Pernyataan tuntutan merujuk kepada surat pemecatan itu dan mengandungi dakwaan bahawa plaintif tidak diberikan peluang yang munasabah untuk didengar. Sebaik sahaja keadilan prosedur itu telah ditimbulkan dengan secukupnya dan dicabar, maka kesemua perkara yang relevan berkenaan dengannya menjadi isu kes tanpa keperluan satu pli spesifik tambahan tentang perkara itu. Oleh yang demikian, tidak boleh dikatakan bahawa hujah alternatif plaintif tidak dijadikan pli dengan mencukupi dan telah mengejutkan defendan.

(5) Kenyataan plaintif bahawa beliau telah mendapat peluang untuk mencabar dakwaan yang dibuat terhadapnya cumalah satu persetujuan atas satu perkara yang ketara kerana memanglah benar bahawa surat bertarikh 16 Disember 1988 itu telah memberikannya peluang untuk menjawab tuduhan itu. Namun demikian, plaintif tidak diberikan peluang untuk menghadapi ‘lain-lain maklumat’ itu kerana tiada notis sama sekali diberikan tentang maklumat itu hingga selepas pemecatan itu telah berkuatkuasa.

Per curiam

Pengukuran keadilan yang diberikan kepada seseorang plaintif adalah satu soalan fakta dan takat, yang patut diputuskan menurut taraf dan nilai tempatan dan bukannya mengikut nilai-nilai seorang hakim luar negeri, betapa terkemuka sekalipun hakim itu.]

Penghuni Gua : Semuga paparan ini memberi menafaat kepada semua pembaca dan pelajar serta kakitangan awam yang lain. Tq

1 comment:

  1. salam tuan.jika penjawat awam dijatuhi hukuman penjara 10 hari boleh dpt keja semula?

    ReplyDelete

PETA PELAYAR