FOLLOWERS

Saturday 24 October 2009

MALAYSIA LAW JOURNAL : KES BERKAITAN BEBERAPA KELEMAHAN PENGHAKIMAN MAGISTRATE !


[1993] 2 MLJ 131
Por Choo Aik lwn Pendakwa Raya
Case Details:

Malaysia MAHKAMAH TINGGI (KUALA LUMPUR) mdash; RAYUAN
JENAYAH NO 41–234–91

Judges MOHD HISHAMUDIN PK

Date 20 FEBRUARY 1993

Citation [1993] 2 MLJ 131


Catchwords:
Acara Jenayah — Perbicaraan — Penangguhan — Sama ada perbicaraan patut ditangguh kerana perayu baru sahaja melantik seorang peguambela

Acara Jenayah — Pembelaan — Tertuduh tidak diwakili oleh peguambela — Kegagalan majistret mematuhi kehendak peruntukan s 257(1) Kanun Acara Jenayah (FMS Bab 6) — Sama ada tertuduh dimudaratkan — Kanun Acara Jenayah (FMS Bab 6) s 257(1)

Acara Jenayah — Alasan penghakiman — Pentingnya seseorang majistret menghuraikan pendapatnya — Sama ada alasan penghakiman memadai

Facts:

Perayu telah dituduh menipu sebanyak RM2,400 daripada seorang yang bernama Lai Suet Onn. Peguambela perayu telah mengemukakan empat alasan rayuan, iaitu, bahawa majistret telah silap kerana:

(a) enggan membenarkan penangguhan perbicaraan kes walaupun perayu baru sahaja melantik seorang peguam pada hari perbicaraan itu;

(b) gagal mematuhi s 257(1) Kanun Acara Jenayah (FMS Bab 6) (‘Kanun itu’);

(c) dalam alasan penghakimannya, telah gagal untuk menjelaskan bagaimana beliau berpendapat bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan suatu kes prima facie terhadap perayu; dan

(d) dalam alasan penghakimannya, telah gagal mempertimbangkan pembelaan yang dikemukakan oleh perayu.

Holdings:

Diputuskan, membenarkan rayuan itu:

(1) Majistret mestilah tegas dalam menimbangkan sesuatu pemohonan untuk penangguhan dan tidak seharusnya menangguhkan sesuatu kes kecuali atas sebab yang benar-benar munasabah. Adalah tidak munasabah bagi seseorang tertuduh untuk melantik peguambela di saat-saat terakhir dan kemudiannya memohon penangguhan perbicaraan. Jadi tindakan majistret di dalam kes ini tidak menangguhkan kes adalah wajar.

(2) Seksyen 257(1) Kanun itu dikehendaki dipatuhi hanya selepas majistret membuat keputusan untuk memanggil tertuduh membuat pembelaan. Tetapi, walaupun majistret telah gagal untuk mematuhi kehendak peruntukan s 257(1), kegagalan majistret untuk mematuhi seksyen ini tidak semestinya menjejaskan perbicaraan sekiranya jelas bahawa kegagalan itu tidak memudaratkan tertuduh. Di dalam kes ini, tertuduh tidak dimudaratkan kerana tertuduh nampaknya memahami prosiding dan keterangan yang dikemukakan oleh pendakwaan terhadapnya, dan tertuduh berupaya memberi jawapan yang boleh diterima akal.

(3) Alasan penghakiman majistret adalah terlalu ringkas dan beliau tidak menjelaskan langsung pendapatnya tentang kes pendakwaan. Ini adalah tidak memadai bagi sesuatu alasan penghakiman. Setiap majistret hendaklah mengambil berat tentang penyediaan alasan penghakiman.

Kanun Acara Jenayah (FMS Bab 6) s 257(1)
Lawyers:
Kuldip Singh (Manjit Singh Sachdev Mohammad Radzi & Partners)bagi pihak perayu.
Ahmadi bin Asmawi (Timbalan Pedakwa Raya) bagi pihak penentang.

Judgment:

Mohd Hishamudin PK:

Section #1

Dalam kes ini, perayu dituduh menipu seorang yang bernama Lai Suet Onn dengan memperdayakannya hingga mempercayai bahawa dia (perayu) boleh mendapatkan untuknya (Lai Suet Onn) sebuah kereta jenis Mercedes 230E yang terletak di kawasan Balai Polis Sentul, Kuala Lumpur, dengan harga yang murah; dengan syarat Lai Suet Onn ini membuat kepadanya bayaran pendahuluan sebanyak RM2,400.

Yang arif peguambela telah mengemukakan beberapa alasan rayuan. Bagi maksud keputusan saya ke atas rayuan ini, saya ingin menyentuh empat alasan sahaja, iaitu:

(a) bahawa yang arif majistret telah tersilap kerana enggan untuk membenarkan penangguhan perbicaraan kes;

(b) bahawa yang arif majistret telah tersilap kerana gagal mematuhi s 257(i) Kanun Prosedur Jenayah (FMS Bab 6)(‘Kanun itu’);

(c) bahawa yang arif majistret telah tersilap kerana, dalam alasan penghakimannya, telah gagal untuk menjelaskan bagaimana beliau berpendapat bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan suatu kes prima facie terhadap perayu; dan

(d) bahawa yang arif majistret telah tersilap kerana, dalam alasan penghakimannya, telah gagal untuk mempertimbangkan pembelaan yang dikemukakan oleh perayu.

Mengenai alasan (a), yang arif peguambela berhujah bahawa yang arif majistret sepatutnya membenarkan penangguhan perbicaraan kerana perayu baru sahaja melantik seorang peguam, perlantikan telah dibuat pada hari perbicaraan itu. Saya dapati bahawa adalah wajar bagi yang arif majistret untuk meneruskan perbicaraan pada hari itu. Pertama, mengikut rekod rayuan, tidak terdapat apa-apa yang menunjukkan bahawa suatu permohonan supaya perbicaraan ditangguhkan telah dibuat oleh perayu kepada mahkamah pada hari tersebut.
Kedua, mengikut rekod rayuan, perayu cuma memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia baru sahaja pada hari itu melantik seorang peguambela. Kali pertama perayu dihadapkan ke mahkamah majistret ialah pada 13 April 1991. Perbicaraan ialah pada 18 Julai 1991. Ini bermakna perayu mempunyai masa yang mencukupi, iaitu, tiga bulan untuk mengambil seorang peguambela. Mengapa pula ia memilih hari perbicaraan untuk melantik peguambela? Ketiga, mengikut rekod rayuan, pernyataan perayu (bahawa dia telah melantik seorang peguambela) telah dinafikan oleh peguam itu sendiri yang kebetulannya hadir di mahkamah pada hari perbicaraan tersebut.
Beberapa Arahan Amalan telah dikeluarkan untuk memperingatkan majistret supaya tegas dalam menimbangkan sesuatu permohonan untuk penangguhan dan majistret tidak seharusnya menangguhkan sesuatu kes kecuali atas sebab yang benar-benar munasabah. Adalah tidak munasabah bagi seseorang tertuduh untuk melantik peguambela di saat-saat terakhir dan kemudiannya memohon penangguhan perbicaraan. Jadi tindakan yang arif majistret dalam kes ini tidak menangguhkan kes adalah wajar.

Mengenai alasan (b), mengikut rekod rayuan, yang arif majistret telah menyatakan bahawa beliau telah mematuhi kehendak s 257(1) Kanun itu sebelum pegawai pendakwa memanggil saksi pendakwa yang pertama. Apa yang tercatit dalam nota prosiding adalah seperti berikut:
PP : Sedia jalankan kes dengan lapan saksi seperti dicatatkan.

OKT : Saya baru lantik peguambela yang berada di mahkamah lain. Saya baru lantik peguambela hari ini.

Mahkamah : Kes akan dijalankan kerana menurut peguambela ia tidak mewakili tertuduh.

En CW Chan : Saya tidak mewakili tertuduh.

PP : Saya panggil SP1.

Peruntukan s 257(1) Kanun itu dipatuhi.

Seksyen 257(1) menyatakan:
At every trial before the court of a magistrate if and when the court calls upon the accused for his defence it shall, if he is not represented by an advocate, inform him of his right to give evidence on his own behalf, and if he elects to give evidence on his own behalf shall call his attention to the principal points in the evidence for the prosecution which tell against him in order that he may have an opportunity of explaining them.

Section #2

Adalah jelas bahawa seksyen ini dikehendaki dipatuhi hanya selepas majistret membuat keputusan untuk memanggil tertuduh membuat pembelaan. Oleh itu, di dalam kes di hadapan saya sekarang, adalah menghairankan bagaimana yang arif majistret boleh ‘mematuhi’ seksyen ini di peringkat yang lebih awal! Kesimpulannya ialah di dalam kes sekarang ini yang arif majistret telah gagal untuk mematuhi kehendak peruntukan s 257(1) Kanun itu.

Yang arif peguambela berhujah bahawa akibat kegagalan ini maka telah berlaku suatu kecacatan (mistrial) dalam perbicaraan. Beliau telah merujuk kepada kes Awaluddin bin Suratman & Ors v PR1. Penting saya menyatakan di sini bahawa kegagalan majistret untuk mematuhi s 257(1) Kanun itu tidak semestinya menjejaskan (vitiate) perbicaraan sekiranya jelas dari nota keterangan bahawa kegagalan itu tidak memudaratkan tertuduh (did not occasion any prejudice) dan tertuduh berkenaan, ketika membuat pembelaannya, berupaya memberi jawapan yang boleh diterima akal, yang mana jika diterima oleh mahkamah, ia harus dibebaskan. Dalam Shaari v PP2, Azmi H (beliau, ketika itu) berkata:

In the case before me, the accused was able, as shown in his evidence, to explain the evidence given and in my opinion, if the magistrate had accepted his denial of the knowledge of the bananas he would be acquitted. In other words, though the magistrate had failed to explain the main points of the evidence against the appellant, he was able in his defence to give an intelligent reply.

I would, therefore, although s 257 of the Criminal Procedure Code did appear at first sight to be mandatory by reason of the words ‘shall call his attention’, I would say that having regard to what had taken place subsequent to that the accused had not been prejudiced in his defence and would, therefore, say that in the present case the failure by the magistrate to comply with the provision of the section had not occasioned any prejudice or a reasonable probability of prejudice but is an omission curable under s 422 of the Criminal Procedure Code.

Dalam kes di hadapan saya, setelah meneliti keterangan tertuduh, saya berpendapat bahawa kegagalan yang arif majistret mematuhi s 257(1) Kanun itu telah tidak memudaratkan tertuduh dan tertuduh nampaknya memahami prosiding dan keterangan yang dikemukakan oleh pendakwaan terhadapnya; dan tertuduh berupaya memberi jawapan yang boleh diterima akal. Tetapi, sama ada majistret harus menerima jawapan tertuduh ataupun sama ada tertuduh dalam jawapannya telah berupaya menimbulkan keraguan menasabah ke atas kes pendakwaan adalah soalan lain yang saya tidak bercadang membincangkan buat ketika ini. Kesimpulannya, peninggalan (omission) yang telah dilakukan oleh yang arif majistret di dalam kes di hadapan saya sekarang adalah suatu peninggalan yang boleh diperbetulkan (curable) di bawah s 422 Kanun itu.

Sekarang, saya beralih pula kepada alasan (c) dan (d). Setelah meneliti rekod rayuan, saya dapati bahawa alasan penghakiman yang arif majistret adalah terlalu ringkas, iaitu, dua setengah muka sahaja. Mengenai kes pendakwaan, beliau cuma menyatakan:

(5) Di dalam kes ini, tertuduh telah terbukti melakukan kesalahan sepertimana beliau dipertuduhkan. Ini jelas dapat dilihat dari keterangan-keterangan terutama sekali yang dikemukakan oleh SP1 dan SP2.

(6) Elemen-elemen yang perlu dibuktikan untuk pertuduhan ini kekal telah dibuktikan melalui keterangan saksi-saksi pendakwaan.

Jelas dari tiga ayat di atas bahawa yang arif majistret telah tidak menjelaskan langsung mengenai pendapatnya tentang kes pendakwaan. Yang arif majistret cuma membuat kesimpulan sahaja. Tetapi, ini adalah tidak memadai bagi sesuatu alasan penghakiman.

Section #3

Mengenai keterangan perayu yang diberi oleh perayu ketika membuat pembelaannya, ini langsung tidak disentuh yang arif majistret.

Saya ingin menekankan di sini bahawa setiap majistret hendaklah mengambil berat tentang penyediaan alasan penghakiman. Penyediaan alasan penghakiman adalah suatu tanggungjawab yang serius. Apabila menyediakan alasan penghakiman, majistret tidak boleh mengambil sikap seperti melepas batuk ditangga sahaja. Kes-kes yang sudah-sudah telah kerap kali menekankan betapa pentingnya untuk seseorang majistret itu menghuraikan pendapat-pendapatnya di dalam alasan penghakimannya, sama ada berhubung dengan kes pendakwaan ataupun berhubung dengan kes pembelaan. Dalam Balasingham v PP,3 Ismail Khan H (beliau, ketika itu) berkata:

The trial court is under a statutory obligation under s 308 of the Criminal Procedure Code to transmit to the appellate court the grounds of decision which convey to my mind a reasoned judgment on the facts and the law, not merely the conclusion arrived at. The advantage of a ‘speaking’ judgment needs no emphasis.

Dalam Augustine v PP,4 Ong Hock Thye HP (beliau, ketika itu) berkata:

I do not consider the simple ipse dixit of the magistrate sufficient to constitute proper grounds of judgment. It is not enough to use the words of Shelley, ‘I cannot argue. I can only feel,’ as the foundation of a judgment (see Holroyd Pearce LJ in Oliver v Ashman [1961] 3 WLR 669, 682). Except in the most straightforward type of cases, where the facts clearly established all the necessary ingredients of an offence, it is the duty of the magistrate to state at least what were his findings of fact.

Dalam Vijayaratnam v PP,5 adalah diputuskan oleh mahkamah bahawa seseorang majistret atau hakim, apabila menolak pembelaan seseorang tertuduh, hendaklah menyatakan dalam alasan penghakimannya bahawa keterangan pembelaan telah diteliti dan diberi pertimbangan yang wajar dan majistret atau hakim itu hendaklah memberi sebab-sebab mengapa keterangan pembelaan itu ditolak; dan adalah tidak memadai bagi majistret atau hakim itu untuk cuma menyatakan bahawa dia menerima keterangan saksi-saksi pendakwaan.

Dalam Tan Puan Chee v PP,6 Mohamed Azmi H (beliau, ketika itu) ada menyatakan:

Although the learned magistrate did not accept the defence evldence regarding Chan Kow and Kamal Batcha before convicting the appellant, it was his duty to consider whether the defence had raised a reasonable doubt in the prosecution case. (See Mat v PP [1963] MLJ 263 and Mahadi v PP [1970] I MLJ 26.) The failure of the learned magistrate to do so would amount to a misdirection in law as to the onus of proof placed on the defence. It is important that the court must give reason or reasons for rejecting the defence story. After that, the court must go one step further before convicting. As stated by Suffian J (as he then was) in Mat v PP:

‘But this does not entitle you to convict if you do not believe that explanation, for he is still entitled to an acquittal if it raises in your mind a reasonable doubt as to his guilt...’

Section #4

Dalam PP v Sharikat Perusahan Makanan Haiwan Berkerjasama,7 ada dinyatakan bahawa majistret:

… should state briefly what were the matters they considered (and this involves both law and facts), what was the care they exercised and what was the doubt created in the mind and how it was reasonable. The law requires them to give the grounds of their decision and not an empty or superficial gloss over the decision itself.

Sila rujuk juga kepada PP v Abang Abdul Rahman8 dan Hashim & Anor v PP9.

Justeru itu, rayuan ini dibenarkan, sabitan dibatalkan, apa-apa hukuman atau perintah diketepikan dan kes ini hendaklah dibicarakan semula di hadapan seorang majistret yang lain. Apa-apa denda atau pampasan, jika telah dibayar, hendaklah dikembalikan kepada perayu.

Perayu hendaklah hadir di mahkamah majistret Kuala Lumpur pada hari Isnin 1 Mac 1993 untuk sebutan kes ini. Perayu boleh dibebaskan atas jaminan sebanyak RM1,000 dan seorang penjamin.

Rayuan dibenarkan dan perbicaraan semula diperintahkan.
Penghuni Gua : Semuga semua pembaca dan pelajar mendapat menafaat dari kes dan alasan penghakiman kes ini. Tq

No comments:

Post a Comment

PETA PELAYAR