FOLLOWERS

Thursday 15 October 2009

MALAYSIA LAW JOURNAL : KES TANGKAPAN / ALASAN TANGKAPAN !


[1994] 3 MLJ 296
Polis DiRaja Malaysia v Keong Mei Cheng Audrey
Case Details:

Malaysia HIGH COURT (KUALA LUMPUR) — CRIMINAL APPLICATION
NO 44–16–94

Judges SYED AHMAD IDID J

Date 15 JULY 1994

Citation [1994] 3 MLJ 296



Bahasa Malaysia Summary:


Suami responden telah dituduh atas kesalahan pecah amanah jenayah (‘PAJ’) di bawah s 409 Kanun Keseksaan (FMS Bab 45) (‘KS’). Responden dikatakan telah memberi jaminan kepada pihak polis bahawa beliau akan menyerahkan semua sijil saham dan wang tunai sebanyak RM70,000 (isi perkara kesalahan yang dikatakan telah dilakukan oleh suaminya) tetapi gagal berbuat demikian.

Beliau kemudiannya telah ditangkap tetapi tidak dibicara atau dituduh atas sebarang kesalahan. Mengikut pihak polis, tingkah laku responden yang tidak memberi kerjasama itu telah menimbulkan syak wasangka yang munasabah bahawa beliau telah bersubahat dengan suaminya untuk melakukan PAJ tersebut. Pernyataan ini telah diesahkan di dalam afidavit seorang pegawai polis tetapi tidak didapati dalam bentuk diari yang dibayangkan oleh s 117(i) Kanun Acara Jenayah (FMS Bab 6) (‘KAJ’).


Pihak polis telah memohon kepada mahkamah majistret untuk melanjutkan penahanan responden supaya meneruskan soal siasatannya. Bagaimanapun, pendaftar telah memerintahkan pelepasan responden dari jagaan polis dan memutuskan bahawa penangkapan responden telah dibuat tanpa waran dan beliau tidak diberitahu sebab mengapa beliau ditahan. Polis telah memohon untuk suatu penyemakan perintah itu. Isu di hadapan mahkamah adalah: (i) sama ada penangkapan dan penahanan responden itu sah; dan (ii) sama ada perintah pendaftar itu betul.

Diputuskan:
Diputuskan, menolak permohonan itu dan mengesahkan perintah pendaftar itu:

(1) Suatu diari yang mengandungi butir-butir mengenai prosiding penyiasatan yang dirujuk di dalam s 117(i) KAJ mesti diberikan kepada majistret di bawah s 117. Mengikut undang-undang, ia mesti disediakan dalam bentuk yang ditetapkan oleh s 119 dan mesti mengandungi alasan lengkap yang menunjukkan bahawa maklumat terhadap tertuduh mempunyai asas yang kukuh. Di dalam kes ini, polis tidak menghantar satu salinan diari itu kepada majistret.

(2) Pihak polis juga diwajibkan memberi laporan kepada pendakwa raya mengenai siasatan di bawah Bab XIII KAJ melalui Borang XXVI di dalam Jadual Kedua. Ini tidak dilakukan.


(3) Kesalahan PAJ di bawah s 409 adalah suatu kesalahan boleh tangkap, iaitu seorang pegawai polis biasanya boleh menangkap tanpa waran. Di dalam kes sedemikian, pihak polis mesti memberitahu orang yang ditangkap itu alasan tangkapannya dan, di bawah ss 108(iii), 109(i) dan 110 KAJ, kuasa untuk menangkap terhad kepada seorang pegawai polis yang sekurang-kurangnya berpangkat sarjan. Di sini, penangkapan responden telah dilakukan oleh seorang konstabel dan beliau tidak diberitahu sebab untuk penangkapannya.

(4) Walaupun mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan seseorang tertuduh meskipun penangkapannya mungkin tidak sah, ini tidak terpakai kerana pendaftar tidak ‘membicarakan’ responden pada masa itu.

(5) Mesti selalu terdapat alasan yang sah untuk penangkapan dan penahanan termasuk suatu hubungan jelas di antara orang yang disyaki dan kesalahan itu. Undang-undang tidak membenarkan suatu penangkapan yang berdasarkan taraf responden sebagai isteri tertuduh atau kemarahan pihak polis semata-mata kerana beliau tidak bekerjasama dengan mereka.

Per curiam


Sesuatu permohonan di bawah s 117 seharusnya dibuat dalam dua salinan dan didaftarkan di mahkamah pada tarikh ia difailkan, dan dicatatkan mengikut nombor bersiri (iaitu satu nombor bagi setiap daerah atau balai polis) untuk setiap tahun. Semua rekod dan dokumen, misalnya diari dan nota prosiding, mesti disimpan di mahkamah sama ada permohonan itu diluluskan atau ditolak.


Pegawai polis itu mesti melaporkan semula kepada majistret mengenai tarikh dan masa bila tertuduh (atau orang yang ditahan) dilepaskan atau diberi jaminan di dalam bentuk yang ditetapkan di dalam Pekeliling Pendaftar No 1 Tahun 1979. Majistret seharusnya mengambil ingat tentang fail itu pada tarikh yang relevan di dalam perintah itu dan jika perintah pelepasan itu tidak diterima dari Ketua Polis Daerah, majistret mesti menyiasat perkara itu. Majistret juga mesti menghantar suatu penyata bulanan berkenaan dengan semua perintah dan siasatan sedemikian kepada hakim Mahkamah Tinggi.]

Penghuni Gua : Semuga semua pembaca dan pelajar dapat sesuatu menafaat dari paparan kes ini.

1 comment:

  1. salam,

    scroll punya scroll nampak lah muka tun, muka ds najib muka tpm dan isteri ... mana muka ds rosmah? ko takut nak tempek muka dia yee.... macam plastik ke????

    ReplyDelete

PETA PELAYAR