FOLLOWERS

Sunday 11 October 2009

MALAYSIA LAW JOURNAL : KES KECUAIAN DOKTOR / GANTI RUGI !


[1995] 2 MLJ 646
Inderjeet Singh a/l Piara Singh v Mazlan bin Jasman & Ors
Case Details:

Malaysia HIGH COURT (SHAH ALAM) — SUIT NO 23–19–89

Judges JAMES FOONG J

Date 31 OCTOBER 1994

Citation [1995] 2 MLJ 646


Bahasa Malaysia Summary:



Plaintif telah dilanggar oleh sebuah motokar yang dipandu oleh defendan pertama apabila beliau sedang menunggang motosikalnya. Tulang pelvis, tulang femur dan tulang tibia dan fibulanya patah. Beliau telah dirawat di Hospital Besar Tengku Ampuan Rahimah Klang (‘hospital itu’), di mana defendan kedua ialah penyelia perubatannya, dan yang dipunyai oleh defendan ketiga, iaitu Kerajaan Malaysia.

Doktor di hospital itu mensyaki bahawa plaintif juga mengalami kecederaan uretra, dan dengan serta-merta memasukkan kateter ke dalam uretra plaintif. Kateter itu telah dikeluarkan empat hari kemudian, apabila keadaan plaintif bertambah baik. Kemudiannya, darah dijumpai dalam air kencing plaintif dan beliau menjadi demam.

Bakteria dijumpai di dalam kultur air kencingnya dan suatu gumpulan suprapubik juga dijumpai di abdomennya. Selepas itu, beliau telah dikateter semula sebanyak lima kali. Plaintif telah mengalami keadaan koma, dan pada tahap yang sangat lewat ini, baharulah beliau dipindahkan ke Hospital Universiti, di mana ahli urologi yang telah melakukan ujian uretrogram ke atasnya mendapati seluruh uretranya telah ruptur, terdapat suatu bengkak yang bernanah di rongga pelvisnya dan ginjalnya juga tersisih daripada uretra.

Seorang lagi pakar perunding neuro yang telah memeriksa plaintif juga mendapati bahawa plaintif kini tidak boleh bercakap, menelan dengan senang atau berjalan, dan kesemua ini mungkin disebabkan oleh septisemia (peracunan darah) dan kekurangan bekalan darah ke otak akibat daripada infeksi urinarinya. Isu di hadapan mahkamah ialah sama ada doktor-doktor tersebut cuai dalam pemberian rawatan kepada plaintif, apabila beliau berada di bawah jagaan mereka.

Diputuskan:

Diputuskan, mengawardkan RM523,978 untuk mana defendan pertama didapati bertanggungan sebanyak 20% dan defendan kedua dan ketiga bertanggungan sebanyak 80%:

(1) Doktor-doktor mesti mencapai standard berjaga-jaga dan kemahiran yang berpatutan dan munasabah seperti yang dikehendaki daripada seorang profesional yang mempunyai kemahiran dan seni demikian apabila mengubati plaintif, dan jika tidak, mereka adalah cuai di dalam menjalankan profesion mereka.

(2) Doktor-doktor tersebut telah mengabaikan ujian dan rawatan yang sewajarnya ke atas plaintif. Pertama sekali, bertentangan dengan amalan am perubatan, doktor-doktor tersebut tidak menjalankan sama ada ujian uretrogram atau sistoskopi untuk menentukan keadaan uretra plaintif dengan tepatnya sebelum memberikan rawatan kepada plaintif. Selain daripada itu, menurut amalan perubatan yang tidak dipertikaikan lagi, kateter yang dimasukkan ke dalam uretra tidak harus dikeluarkan selepas empat hari, tetapi harus ditinggalkan untuk dua hingga tiga minggu untuk membolehkan uretra sembuh dengan sendirinya. Pemasukan kembali kateter itu sebanyak lebih daripada lima kali kemudiannya juga merupakan suatu amalan yang amat merbahaya, kerana ia boleh menyebabkan suatu uretra yang separa pecah itu untuk pecah keseluruhannya.

(3) Doktor-doktor tersebut juga telah melakukan diagnosis yang salah, sebagai ‘suatu bengkak di ginjil yang mungkin disebabkan oleh keadaan sejak lahir’ yang tidak kena-mengena kerana kesemua tanda-tanda yang ada membayangkan kecederaan uretra. Walaupun kecederaan uretra telah disyaki sejak awal lagi, penyiasatan yang lebih rapi ke arah itu tidak pernah dilakukan.

(4) Lagipun, doktor-doktor tersebut telah gagal melakukan suatu sistostomi suprapubik, yang menurut amalan perubatan yang telah diterima umum, dapat menghalang kecederaan otak plaintif. Sebaliknya, plaintif telah dikateter untuk banyak kali lagi, menyebabkan kecederaan selanjutnya yang lebih teruk dan menambahkan risiko jangkitan.

(5) Mahkamah mengawardkan sebagai ganti rugi am jumlah sebanyak RM500 sebulan untuk jagaan jururawat selama 26 tahun; RM12,000 untuk pematahan tulang femur; RM12,000 untuk pematahan tulang tibia dan fibula;RM16,000 untuk pematahan tulang pelvis; RM4,000 untuk lelasan dan luka; dan RM200,000 untuk kecederaan otak dan kuadriplegia separa, dengan faedah 8% setahun dari tarikh penyampaian writ ke tarikh penghakiman. Ganti rugi khas sebanyak RM79,978 juga diawardkan dengan faedah 4% setahun dari tarikh kemalangan ke tarikh penghakiman. Atas keseluruhan jumlah penghakiman, faedah 8% setahun diawardkan dari tarikh penghakiman ke tarikh penyelesaian.

Penghuni Gua : Semuga dengan paparan kes ini semua pembaca dan pelajar mendapat menafaatnya. Kecuaian tiada maafnya. Tq

No comments:

Post a Comment

PETA PELAYAR